Indonesia telah mempertingkat kerjasama untuk memudahkan pergerakan rentas sempadan antara wilayah domestik dan dengan negara jiran.
Matlamatnya ialah menghapuskan malaria, penyakit yang berpunca daripada nyamuk, di negara itu menjelang 2030.
Sebahagian besar kes malaria di negara itu tertumpu di wilayah hutan tebal Papua di timur Indonesia, iaitu hampir 80 peratus kawasan tanahnya diliputi hutan semula jadi.
“Beban Indonesia tertumpu di bahagian barat Pulau Papua,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perikatan Pemimpin Asia-Pasifik bagi Pembasmian Malaria (APLMA) yang berpangkalan di Singapura, Dr Sarthak Das.
Beliau berkata demikian kepada wartawan semasa sidang media pada 17 Jun di luar sidang puncak serantau dua hari mengenai pembasmian malaria yang diadakan di Nusa Dua, Bali.
Wilayah Papua di Indonesia secara pentadbiran terdiri dari enam wilayah, yang berkongsi sempadan darat sepanjang 820 kilometer dengan Papua New Guinea, yang terletak di bahagian timur pulau tersebut.
Wilayah Papua menyumbang hampir 90 peratus daripada jumlah keseluruhan kes malaria di Indonesia, yang menurut rekod malaria sejagat 2023, mencatat sejumlah 1.1 juta kes – kedua tertinggi di Asia selepas India.
Walaupun penularan penyakit itu tertumpu di Papua, malaria telah dihapuskan di kebanyakan kawasan di seluruh kepulauan, dengan 407 dari 514 daerah dan bandar kini bebas malaria, kata Pemangku Ketua Pengarah Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Indonesia, Cik Murti Utami.
“Namun, risiko penularan kini juga berpunca daripada pergerakan dan migrasi antara wilayah, bukan semata-mata daripada nyamuk pembawa parasit yang menjangkiti manusia melalui gigitan,” katanya.
Pemimpin wilayah Papua dan pegawai kesihatan dari negara jiran Timor Leste, serta negara Pasifik termasuk Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon, turut hadir di forum itu untuk berkongsi pengetahuan dan bekerjasama dalam usaha menghapuskan malaria di rantau tersebut.
“Terdapat banyak kes di Indonesia yang berasal dari wilayah Papua.
“Indonesia tidak akan diisytiharkan bebas malaria jika kita tidak dapat menghapuskan kes di Papua, namun ia memerlukan usaha yang berkesan dan menyeluruh,” kata Dr Ferdinand J. Laihad, pengerusi penilaian nasional pembasmian malaria.
Timor Leste, yang berjiran dengan Indonesia di Pulau Timor dan berkongsi pulau itu dengan wilayah bebas malaria Nusa Tenggara Timur, tidak mencatat sebarang kes malaria tempatan sejak 2021 dan berada di landasan yang baik untuk diisytiharkan sebagai negara bebas malaria oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Dr Sarthak berkata: “Indonesia merupakan sebuah negara yang mewakili keseluruhan spektrum usaha pembasmian malaria dari kawasan yang telah bebas sepenuhnya dan kini menumpukan kepada pencegahan jangkitan semula, sehinggalah kepada 90 peratus daripada keseluruhan kes malaria negara yang masih tertumpu di 14 daerah di Papua.
“Ini bukan isu teknikal, tetapi soal iltizam politik, pembiayaan, dan sokongan teknikal yang mencukupi,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg