SYDNEY: Keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk membekukan dana bantuan luar telah menjejaskan pelbagai projek penting di Kepulauan Pasifik, menurut pekerja bantuan dan penganalisis.
Keadaan ini bukan sahaja membahayakan nyawa tetapi juga melemahkan usaha Amerika dalam memperkukuh pengaruhnya di rantau tersebut.
Negara-negara kepulauan Pasifik, yang terkenal dengan kebergantungan tinggi terhadap bantuan asing akibat bencana alam dan ancaman kenaikan paras laut, kini terkesan dengan keputusan Washington untuk membekukan sebahagian besar daripada bajet Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) bernilai AS$42 bilion ($56.3 bilion) selama 90 hari.
Antara program yang terjejas termasuk perolehan ubat-ubatan bagi penyakit tropika, inisiatif menentang penangkapan ikan haram serta usaha menyediakan penduduk pesisir pantai menghadapi gempa bumi dan taufan.
Encik Heyer Vavozo, pengurus sebuah badan pemuliharaan marin di Kepulauan Solomon, menyuarakan kebimbangannya. “Kami telah bekerja keras untuk program ini, tetapi kini komuniti akan hilang kepercayaan kepada kami,” katanya.
Organisasi Positive Change for Marine Life terpaksa memberhentikan kakitangan selepas geran berjumlah $500,000 digantung. Cik Lucy Jepson, penyelaras komuniti organisasi itu, mendedahkan pihaknya kini terdesak mencari dana alternatif. “Kami kejar dana dari mana-mana sumber yang kami boleh dapat,” katanya.
Berdasarkan kajian Institut Lowy Australia, Amerika telah menyalurkan lebih AS$2.1 bilion kepada Kepulauan Pasifik antara 2008 hingga 2022. Menurut pakar dari Universiti Nasional Australia, Encik Graeme Smith, bantuan Amerika selama ini amat penting dalam menangani penyakit seperti HIV, batuk kering dan malaria.
“Jika program ini dihentikan – dan memang telah dihentikan – nyawa akan terancam,” kata Encik Smith kepada AFP.
Dalam keadaan ini, China dilihat mengambil peluang dengan menawarkan lebih banyak dana kepada rantau tersebut, meskipun pakar berpendapat Beijing lebih cenderung membiayai projek infrastruktur berskala besar berbanding bantuan kesihatan dan sosial.
Persaingan antara Amerika dan China dalam meraih pengaruh di Pasifik semakin ketara. Pada 2022, China menyalurkan AS$256 juta dalam bentuk bantuan – meningkat hampir 14 peratus berbanding tiga tahun sebelumnya. Amerika pula membelanjakan $249 juta, meletakkannya di belakang China dan Australia sebagai penyumbang utama di rantau ini.
Peguam alam sekitar dari Papua New Guinea, Peter Bosip, yang pernah menerima geran kecil dari USAID untuk membantu komuniti luar bandar berunding dengan syarikat perlombongan, menyatakan kebimbangan mengenai impak pembekuan ini.
“Orang ramai akan keliru dan akhirnya hilang kepercayaan kepada badan bantuan antarabangsa serta sokongan yang mereka berikan,” katanya. Encik Bosip juga tidak yakin bahawa bantuan Amerika akan kembali selepas tempoh 90 hari tamat.
“Saya tidak fikir pembiayaan Amerika akan kembali, walaupun mereka menyatakan akan mengkajinya selepas tiga bulan. Dengan presiden sekarang, saya rasa ia tidak akan berlaku,” katanya.
Pakar ekonomi dari Institut Lowy, Alexandre Dayant, menegaskan bahawa sekutu Amerika di Pasifik kini perlu mencari alternatif lain. “Pemerintah Amerika semakin tidak boleh dijangka. Sekutunya mungkin tidak lagi bergantung kepada Washington untuk membiayai projek di rantau ini,” katanya kepada AFP.
Australia kini berada dalam dilema, dengan desakan agar Canberra mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Amerika. Namun, Menteri Luar Australia, Penny Wong, mengakui bahawa terdapat batasan dalam belanjawan negara untuk bantuan luar.
“Kerajaan Australia mahu menjadi rakan pilihan utama di Pasifik, tetapi kita juga mempunyai had dalam peruntukan bantuan,” katanya.
Sejak sedekad lalu, China telah menyalurkan berbilion dolar kepada negara-negara Pasifik, membiayai hospital, stadium, jalan raya dan projek infrastruktur utama lain.
Pendekatan China nampaknya semakin berhasil. Beberapa negara, termasuk Kepulauan Solomon, Kiribati, dan Nauru, telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Taiwan bagi menjalin hubungan lebih erat dengan Beijing.
Pada 2022, Kepulauan Solomon menandatangani perjanjian keselamatan dengan China, menimbulkan spekulasi bahawa Beijing mungkin berhasrat menubuhkan pangkalan ketenteraan tetap di rantau itu.
“Kami mahu negara-negara Pasifik mampu memenuhi keperluan pembangunan dan keselamatan mereka sendiri,” ujar Cik Wong.
Walaupun Amerika sebelum ini dilihat sebagai kuasa dominan di rantau ini, perubahan dasar dan pembekuan dana bantuan kini meletakkan kedudukan Washington dalam bahaya. “Kerugian ini bersifat kekal,” kata Encik Dayant. “Imej AS di rantau ini telah tercalar, dan sukar untuk mereka mendapatkan kembali kepercayaan.” - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg