Indonesia usaha bawa pulang puluhan ribu jemaah umrah terkandas di Arab Saudi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia usaha bawa pulang puluhan ribu jemaah umrah terkandas di Arab Saudi

Mar 6, 2026 | 12:47 PM

Indonesia usaha bawa pulang puluhan ribu jemaah umrah terkandas di Arab Saudi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Konsulat Jeneral Indonesia di Jeddah melaporkan seramai 10,060 jemaah umrah Indonesia telah tiba semula di tanah air ketika ketegangan di Asia Barat semakin meningkat. Jumlah itu merujuk kepada jemaah yang berjaya pulang ke Indonesia sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari 2026, yang turut menjejaskan perjalanan penerbangan di rantau tersebut.
Konsulat Jeneral Indonesia di Jeddah melaporkan seramai 10,060 jemaah umrah Indonesia telah tiba semula di tanah air ketika ketegangan di Asia Barat semakin meningkat. Jumlah itu merujuk kepada jemaah yang berjaya pulang ke Indonesia sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari 2026, yang turut menjejaskan perjalanan penerbangan di rantau tersebut. - Foto Tempo

JAKARTA: Pemerintah Indonesia sedang berusaha membawa pulang puluhan ribu jemaah umrah yang terkandas di Arab Saudi selepas penutupan ruang udara di beberapa negara Asia Barat akibat konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran.

Kementerian Haji dan Umrah Indonesia memaklumkan bahawa sehingga 3 Mac ini seramai 10,060 jemaah telah berjaya dibawa pulang ke tanah air sejak 28 Februari lalu. Namun lebih 50,000 lagi jemaah masih berada di Arab Saudi dan menunggu giliran untuk pulang.

Timbalan Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Encik Dahnil Anzar Simanjutak, berkata pemerintah sedang menjalankan penyelarasan intensif antara beberapa agensi bagi memastikan keselamatan rakyat Indonesia di rantau yang terjejas akibat konflik tersebut.

“Keselamatan jemaah adalah keutamaan kami. Kami terus berkoordinasi secara intensif dengan Kementerian Luar serta semua pihak berkaitan bagi memastikan jemaah dapat pulang dengan selamat,” katanya kepada wartawan pada 3 Mac.

Beliau berkata pemerintah juga sedang menyiapkan pelbagai langkah mitigasi bagi mengatasi gangguan penerbangan yang berpunca daripada penutupan ruang udara di beberapa negara Asia Barat.
“Kami sedang menyediakan beberapa langkah mitigasi. Jika perlu, kapasiti pesawat tambahan serta pelarasan laluan penerbangan akan dilakukan bagi memastikan jemaah dapat pulang dengan selamat dan tepat pada masanya,” katanya.

Encik Dahnil turut menasihatkan bakal jemaah umrah supaya menangguhkan perjalanan mereka buat sementara waktu sehingga keadaan keselamatan di rantau tersebut kembali stabil.

Kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Indonesia di Asia Barat semakin meningkat sejak konflik antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat meluas ke seluruh rantau itu.

Beberapa negara Teluk telah menutup ruang udara mereka sebagai langkah keselamatan, sekali gus mengganggu salah satu laluan penerbangan paling sibuk di dunia.

Negara yang menutup ruang udara termasuk Iran, Iraq, Israel, Qatar, Bahrain, Kuwait, Syria dan Amiriah Arab Bersatu, manakala Jordan melaksanakan penutupan ruang udara secara berkala setiap hari.

Langkah tersebut menyebabkan banyak penerbangan ke dan dari Arab Saudi tergendala serta menjejaskan perjalanan jemaah umrah dari pelbagai negara, termasuk Indonesia.

Dalam mesyuarat bersama Suruhanjaya VIII Dewan Perwakilan Rakyat yang menyelia urusan agama dan sosial, beberapa ahli parlimen menggesa pemerintah mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan kira-kira 58,000 jemaah Indonesia yang masih berada di Arab Saudi.

Ahli parlimen Abidin Fikri berkata pemerintah perlu menyediakan pelan sokongan yang jelas bagi membantu jemaah yang terjejas. “Pemerintah perlu menjalankan koordinasi intensif bagi memetakan data jemaah yang terjejas serta memastikan penyediaan tempat penginapan kecemasan dan bantuan logistik,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa langkah pencegahan perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan jemaah terus berada dalam keadaan tidak menentu. “Langkah antisipasi mesti disediakan segera. Jemaah tidak boleh dibiarkan berada dalam ketidakpastian terlalu lama,” katanya.

Selain jemaah umrah di Arab Saudi, pemerintah Indonesia juga sedang berusaha membawa pulang rakyatnya yang terkandas di beberapa negara Asia Barat lain, termasuk Iran dan Amiriah Arab Bersatu.

Pada 5 Mac, seramai 30 rakyat Indonesia yang terkandas di Amiriah Arab Bersatu berjaya pulang selepas pemerintah menyelaraskan penerbangan dari Abu Dhabi ke Singapura sebelum mereka meneruskan perjalanan pulang ke Indonesia.

Walaupun konflik semakin memuncak dan pemerintah telah mengeluarkan nasihat perjalanan, beberapa syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa masih meneruskan penerbangan ke Arab Saudi kerana permintaan jemaah umrah masih tinggi sepanjang bulan Ramadan.

Pihak berkuasa Arab Saudi masih mengeluarkan visa umrah dan menegaskan bahawa keadaan di negara itu kekal stabil.

Syarikat penerbangan seperti Garuda Indonesia, Lion Air dan Saudi Airlines terus mengendalikan penerbangan ke Arab Saudi melalui laluan yang masih dibuka.

Di Batam, Kepulauan Riau, ramai jemaah tetap meneruskan perjalanan mereka dengan terbang terlebih dahulu ke Malaysia atau Singapura sebelum ke Arab Saudi.

Ketua Haji dan Umrah Kota Batam, Encik Syahbudi, berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim masih beroperasi seperti biasa dan terus bekerjasama dengan agensi pelancongan umrah.

“Jemaah masih bersemangat untuk berangkat walaupun perang sedang berlaku, terutama kerana mereka ingin merebut kelebihan beribadah pada bulan Ramadan,” katanya.

Beliau menambah bahawa kebanyakan jemaah telah membayar kos perjalanan lebih awal dan agensi pelancongan telah membuat tempahan tiket penerbangan serta penginapan.

Setakat ini, pemerintah Indonesia belum mengeluarkan arahan untuk melarang sepenuhnya perjalanan ke Asia Barat, namun menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan memantau perkembangan keselamatan di rantau tersebut. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg