Satu suntikan dana baru sebanyak 5 trilion rupiah ($392 juta) ke dalam industri filem Indonesia dijangka membuka ratusan peluang pekerjaan baru, ketika negara itu berdepan peningkatan kadar pengangguran susulan gelombang pemberhentian kerja besar-besaran sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Sektor media dan penyiaran turut terjejas akibat pemberhentian tersebut.
Usahawan dan mantan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Encik Sandiaga Uno, melancarkan daya usaha tersebut pada 6 Mei, dengan kerjasama penerbit kandungan dan pembiaya filem serantau, United Media Asia.
Inisiatif itu bertujuan menghasilkan filem pelbagai genre yang berakar daripada kisah masyarakat di seluruh kepulauan Indonesia.
Encik Sandiaga berkata dana itu akan digunakan untuk keseluruhan aliran proses penghasilan filem, bermula daripada peringkat awal hingga akhir, dengan bekerjasama bersama syarikat penerbitan.
“Setiap produksi filem boleh mewujudkan 300 hingga 400 peluang pekerjaan.
“Kita akan hasilkan filem drama, aksi atau animasi. Kami tidak menetapkan jumlah tertentu filem yang ingin diterbitkan, kerana kami mengutamakan kualiti berbanding kuantiti,” kata Encik Sandiaga kepada Berita Harian di acara tersebut.
Walaupun ekonomi negara masih perlahan, industri filem Indonesia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan, dengan lebih 200 filem diterbitkan pada 2024, kebanyakannya dalam genre seram.
Kebangkitan terkini yang mencuri perhatian ialah filem animasi tempatan bertajuk Jumbo, yang mencatat kejayaan luar biasa dengan menarik lebih 8.4 juta penonton, berdasarkan perangkaan daripada aplikasi rating dan box office, Cinepoint.
Kejayaan itu menjadikan Jumbo sebagai filem animasi paling banyak ditonton dalam sejarah Indonesia, mengatasi filem animasi popular Hollywood, Frozen II, yang pernah mendominasi pada 2019.
Menteri Kebudayaan, Encik Fadli Zon, yang turut hadir semasa majlis pelancaran inisiatif filem baru, berkata menonton filem di pawagam kekal sebagai kegiatan kegemaran utama rakyat Indonesia, meskipun terdapat pelbagai pilihan di wadah penstriman.
“Industri filem Indonesia kini berada dalam kedudukan yang sangat kukuh.
“Filem tempatan menguasai panggung wayang, merangkumi sehingga 70 peratus daripada keseluruhan tayangan di pawagam,” kata Encik Fadli.
“Sangat menguntungkan untuk menghasilkan filem di sini, jadi kita perlukan lebih ramai pelabur.
“Filem berada di barisan hadapan dalam menonjolkan ekspresi budaya kita. Ia merupakan instrumen budaya yang menyeluruh,” tambah beliau.
Walaupun permintaan terhadap filem tempatan semakin tinggi, Encik Fadli berkata Indonesia masih kekurangan skrin besar.
Negara itu sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya 10,000 skrin besar bagi memenuhi keperluan pasaran.
“Setakat ini, kita hanya mempunyai kira-kira 2,500 skrin besar dan masih banyak bandar di seluruh Indonesia yang langsung tidak mempunyai pawagam sendiri,” ujarnya.
Beliau turut menambah bahawa penggambaran filem di pelbagai wilayah dijangka mampu merancakkan ekonomi setempat.
Ketua Pegawai Komersial United Media Asia, Encik Anka Zumi, berkata dana tersebut turut akan disalurkan bagi tujuan latihan dan peningkatan kemahiran bakat kreatif dalam bidang produksi filem, serta pembangunan prasarana penggambaran yang lebih luas.
Syarikat penerbitan dan pengedaran filem milik pemerintah, Perum Produksi Filem Negara, serta agensi pengurusan pelaburan milik pemerintah, Danantara, juga akan terlibat dalam pengurusan dana tersebut untuk menyokong lebih banyak projek, yang akan diumumkan dengan lebih lanjut pada hujung Mei, tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg