Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Insiden kebakaran di Jakarta melebihi tahun 2024, pasukan bomba kekurangan anggota

Aug 4, 2025 | 8:04 PM
Seorang anggota bomba mengajar murid tadika cara menggunakan hos air dalam sesi pendidikan keselamatan kebakaran di Banda Aceh pada 17 Jun 2025.
Sementara itu di Jakarta, kekurangan anggota bomba terus menyukarkan usaha pihak berkuasa memadam kebakaran yang semakin kerap berlaku.
Seorang anggota bomba mengajar murid tadika cara menggunakan hos air dalam sesi pendidikan keselamatan kebakaran di Banda Aceh pada 17 Jun 2025. Sementara itu di Jakarta, kekurangan anggota bomba terus menyukarkan usaha pihak berkuasa memadam kebakaran yang semakin kerap berlaku. - Foto AFP

JAKARTA: Jakarta kini berdepan lonjakan membimbangkan dalam jumlah insiden kebakaran sepanjang tahun 2025 ini, dengan kebakaran besar memusnahkan kawasan kejiranan padat dan infrastruktur penting sementara pasukan bomba bandar raya itu bergelut dengan kekurangan anggota yang kronik.

Salah satu kebakaran terbesar tahun 2025 berlaku di Kapuk Muara, Jakarta Utara, pada Jun lalu yang menyebabkan 3,200 orang hilang tempat tinggal dan sekurang-kurangnya 485 rumah separa kekal musnah.

Beberapa minggu kemudian, tragedi melanda lagi di Bukit Duri, Tebet, Jakarta Selatan apabila empat kanak-kanak terkorban dalam kebakaran rumah. Pada 2 Ogos, sebuah gudang milik pemerintah di Pasar Minggu turut terbakar, dipercayai berpunca daripada litar pintas elektrik.

Ketiga-tiga insiden ini hanyalah sebahagian daripada 907 kes kebakaran yang direkodkan oleh Agensi Bomba dan Penyelamat Jakarta setakat awal Ogos - angka yang jauh lebih tinggi berbanding keseluruhan 789 insiden yang dicatat sepanjang tahun 2024.

Ketua agensi, Encik Bayu Meghantara, berkata Jakarta hanya mempunyai sekitar 4,000 anggota bomba yang beroperasi dari 172 balai bomba di enam wilayah. Jumlah ini jauh lebih rendah daripada anggaran keperluan sebenar iaitu 11,000 anggota untuk merangkumi kesemua 267 kecamatan di bandar raya itu.

“Secara ideal, setiap wilayah (kecamatan) perlu mempunyai satu balai bomba sendiri,” jelas Encik Bayu.

Walaupun anggota bomba beroperasi 24 jam tanpa henti, kekurangan tenaga kerja menyebabkan mereka sukar bertindak balas dengan pantas dalam situasi kecemasan — apatah lagi apabila skop tugas mereka semakin luas.

Selain memadamkan api, anggota bomba kini turut dipanggil untuk menyelamatkan haiwan, membantu mangsa terperangkap dalam kemalangan domestik, dan pelbagai lagi kes bukan kebakaran.

Pada tahun 2023 sahaja, lebih 6,800 kes bukan kebakaran telah direkodkan oleh agensi tersebut. Keadaan paling ketara dapat dilihat di Jakarta Barat, yang mencatat jumlah insiden kebakaran tertinggi setakat ini.

Ketua operasi Agensi Bomba dan Penyelamat Jakarta Barat, Encik Syarifudin, berkata ada balai bomba yang hanya mempunyai tiga orang anggota sahaja.
“Bila bertugas, seorang perlu kekal di balai. Bayangkan cabaran dan kekangan yang wujud apabila hanya dua orang yang keluar ke lokasi,” katanya.

Akhir Julai lalu, kebakaran besar berlaku di kawasan Tambora, sebuah kawasan yang memang terkenal dengan risiko kebakaran. Untuk mengawal kebakaran itu, sebanyak 29 jentera bomba dan 145 anggota dikerahkan dan operasi mengambil masa hampir sembilan jam.

Namun menurut anggota bomba Hari Widodo yang terlibat, usaha memadamkan api menjadi perlahan kerana kekurangan sumber air, kekurangan anggota, dan kesesakan lalu lintas.

Encik Hari bertugas di Balai Bomba Jati Baru, berhampiran Tanah Abang, antara kawasan paling sibuk di Jakarta Pusat. Balai tersebut hanya mempunyai lima orang anggota. “Beban kerja kadang-kadang sangat berat,” akui beliau.

Encik Abdul, anggota bomba veteran yang telah berkhidmat selama 20 tahun di Balai Bomba Tanjung Duren, Jakarta Barat, turut berkongsi pandangan yang sama. “Kami bertugas dalam apa jua keadaan dan masa, malah sering berdepan dengan situasi yang mengancam nyawa,” katanya.

Mengiktiraf tekanan yang semakin meningkat terhadap pasukan bomba ibu kota, Gabenor Jakarta, Pramono Anung, mengumumkan pada April lalu bahawa gaji bulanan anggota bomba akan dinaikkan sebanyak 1 juta rupiah (S$80) menjadikan jumlah gaji bulanan kepada 6.4 juta rupiah.

Beliau juga berjanji untuk menambah bilangan anggota secara berperingkat bermula tahun 2025, langkah yang dilihat ramai sebagai sudah lama tertangguh.

Risiko kebakaran di Jakarta dijangka terus meningkat, didorong oleh sistem elektrik yang usang, penempatan padat dan kelemahan dalam perancangan bandar.

“Kita perlukan lebih ramai anggota di lapangan,” kata Encik Hari dari Balai Bomba Jati Baru kepada The Jakarta Post. “(Dengan kekurangan anggota), beban kerja memang boleh menjadi sangat membebankan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg