Sebuah tapak purba di wilayah Jambi, Pulau Sumatera, Indonesia, yang dipercayai sebagai universiti tertua di Asia Tenggara, kini berada di landasan untuk diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Kompleks Hindu-Buddha seluas hampir empat hektar itu sedang melalui proses pemulihan besar.
Ia termasuk pembinaan muzium baru dan konsep pelancongan yang diperbaharui untuk menarik lebih ramai pelawat, meskipun mengalami beberapa kekangan akibat pemotongan bajet oleh pemerintah.
Ketua Pejabat Pemeliharaan Warisan Budaya Wilayah Jambi, Encik Agus Widiatmoko, berkata kontraktor yang bertanggungjawab membina muzium dan pusat kebudayaan dijangka menyerahkan projek itu kepada Kementerian Kebudayaan pada Ogos.
Namun, projek itu mungkin belum dapat beroperasi segera.
“Disebabkan langkah kecekapan bajet, tapak ini mungkin hanya dapat beroperasi pada 2026, dengan Januari sebagai sasaran pembukaan,” kata Encik Agus kepada Berita Harian (BH) ketika ditemui di Jambi pada 19 Mei.
“Kami akan menumpukan sepanjang tahun ini (2025) untuk mengumpul lebih banyak data bagi melengkapkan dokumen yang kami serahkan kepada Unesco termasuk pengurusan prasarana dan pemerkasaan masyarakat setempat,” tambahnya.
Kerja pemulihan kuil itu telah bermula sejak 2024 dengan lebih banyak candi yang ditemui dan dipulihkan di kawasan sepanjang 7.5 kilometer dari timur ke barat di tepi Sungai Batanghari, meliputi beberapa buah kampung.
Kompleks Muara Jambi itu masih kurang dikenali berbanding tapak seumpamanya di Jawa seperti Borobudur dan Prambanan.
Ini meskipun saiznya lapan kali ganda lebih besar dari Borobudur – candi Buddha terbesar di dunia dan penting dari segi sejarah sebagai pusat pembelajaran Buddha terbesar antara abad ketujuh dengan ke-14.
Tapak ini mula mendapat perhatian nasional selepas Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo melawatnya pada 2022.
Sejak itu, dana pemerintah telah disalurkan untuk pemulihannya, dengan jumlah keseluruhan 1.5 bilion rupiah ($128,000) bagi 2023 dan 2024.
Terdapat usaha untuk menarik lebih ramai pelawat termasuk dengan menyediakan beca elektrik dan basikal elektrik bagi memudahkan pergerakan di sekitar kompleks yang kini dilengkapi dengan laluan batu kelikir yang menghubungkan setiap kompleks kuil.
Staf Khas Menteri Kebudayaan untuk Diplomasi Budaya dan Hubungan Antarabangsa, Cik Annisa Rengganis, berkata pakar arkeologi telah mengenal pasti lebih 80 tapak kuil yang belum diterokai, manakala 11 kompleks utama telah berjaya dipulihkan.
Tapak itu kini berada dalam senarai sementara Tapak Warisan Dunia Unesco selepas permohonannya pada 2009.
Menurut Encik Agus, pengiktirafan sejagat memerlukan usaha pemuliharaan kawasan sekitarnya dan kesedaran anggota masyarakat setempat.
“Kami membantu mereka untuk mengeluarkan peraturan bersama antara kampung pada 2024 supaya ada persetujuan antara lapan kampung di sekitar kuil ini,” kata Encik Agus.
Peraturan bersama ia menggariskan cara penduduk kampung mengekalkan kelestarian budaya dan alam sekitar tanpa menjejas sumber pendapatan mereka.
Ini memandangkan penanaman kelapa sawit sering dianggap lebih menguntungkan di wilayah itu yang merupakan salah satu pengeluar minyak sawit utama Indonesia.
Peraturan itu juga memberi panduan tentang pengurusan rangkaian terusan yang mengelilingi kompleks kuil.
Pakar arkeologi percaya terusan itu telah dibina pada zaman kuno untuk membawa batu bata merah yang digunakan dalam pembinaan candi serta mengangkut pelajar Buddha dari seluruh Asia ketika era pemerintahan kerajaan Melayu dan Sriwijaya.
Encik Agus menyamakan peranan kompleks itu pada zaman dahulu dengan pondok pesantren Islam pada abad ke-20 yang wujud tanpa bergantung kepada pengaruh politik semasa.
“Muara Jambi sebagai pusat pendidikan Buddha tidak terikat pada kuasa politik ketika itu, walaupun wujud pada era kerajaan Sriwijaya.
“Analogi ini sama seperti pondok pesantren Islam di Indonesia sebelum kemerdekaan, yang tetap wujud tanpa mengira pemerintahan Belanda atau Jepun,” katanya.
Pengarah Promosi Budaya di Kementerian Kebudayaan, Encik Undri, pula berkata pemerintah turut berusaha untuk melibatkan penduduk tempatan agar mendapat manfaat daripada projek nasional itu.
Ia termasuk mendorong mereka menyediakan daya usaha khidmat hospitaliti dan pengalaman budaya kepada pengunjung.
“Dengan cara ini, Muara Jambi menjadi contoh bagaimana kita boleh menggabungkan pemeliharaan budaya dan alam sekitar secara harmoni di kawasan warisan budaya terbesar Indonesia,” katanya kepada BH.
Candi itu juga menjadi lokasi utama sambutan Hari Vesak, iaitu hari terpenting dalam kalendar oenganut agama Buddha yang jatuh pada 12 Mei lalu.
Ia disambut oleh masyarakat Buddha di Jambi pada 19 Mei di Kuil Kedaton, salah satu kuil yang terbesar di kawasan tersebut.
Wakil masyarakat Buddha di Jambi Encik Rudy Chang, yang mempengerusikan sambutan Hari Vesak di candi itu, berkata mereka kini menyambutnya setiap tahun di tapak tersebut.
Pada 2025 merupakan menjadi detik penting kerana ia bertepatan dengan ulang tahun ke-100 kepulangan guru Buddha, Guru Athisa Dipankara, ke India dari Suwarnadwipa, wilayah yang kini dikenali sebagai Sumatera.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg