Perkembangan pesat teknologi digital telah mempercepat proses radikalisasi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Tempohnya juga kini jauh lebih singkat, iaitu hanya beberapa bulan berbanding beberapa tahun pada era ketika rangkaian pengganas masih bergantung kepada hubungan peribadi secara bersemuka.
Ketua Badan Nasional Pencegahan Pengganasan (BNPT), Encik Eddy Hartono, berkata agensi itu mengesan peralihan bentuk ancaman pengganasan daripada serangan fizikal kepada penyebaran ideologi melalui platform digital, yang kini semakin sebati dalam kehidupan harian golongan muda.
Menurut beliau, proses perekrutan secara dalam talian kini hanya mengambil masa antara tiga dengan enam bulan, berbanding dua hingga lima tahun melalui hubungan peribadi secara langsung pada masa lalu.
Pemantauan oleh Pasukan Tugas Kontra-Radikalisasi BNPT bersama beberapa agensi pemerintah lain telah mengenal pasti kira-kira 21,199 kandungan dalam talian yang mengandungi unsur fahaman melampau, radikalisme atau pengganasan sepanjang 2025.
“Ancaman pengganasan di ruang digital terus berkembang. Propaganda, perekrutan dan pembiayaan kini banyak dilakukan melalui media sosial dan wadah digital, termasuk dengan menyasarkan kanak-kanak,” kata Encik Eddy, semasa taklimat media hujung tahun pada 30 Disember.
Berdasarkan penilaian ancaman pengganasan sepanjang 2025, BNPT meletakkan Indonesia pada tahap “waspada terkawal”, dengan mengambil kira petunjuk berkaitan perekrutan, propaganda dan pembiayaan pengganasan yang berpotensi menimbulkan risiko keselamatan.
Menurut Encik Eddy, penilaian itu selari dengan penunjuk antarabangsa berkaitan tahap keamanan dan keselamatan negara.
Ia termasuk Indeks Keamanan Sejagat 2025 yang meletakkan Indonesia di kedudukan ke-49 daripada 163 negara – naik tiga anak tangga berbanding tahun sebelumnya, dan mengklasifikasikan negara ini dalam kategori “tahap keamanan tinggi”.
Indeks itu dikeluarkan oleh badan pemikir ekonomi dan keamanan yang berpangkalan di Sydney, Institut Ekonomi dan Keamanan.
Sepanjang 2025, pihak penguat kuasa turut menahan anggota beberapa rangkaian pengganas serta penyokong kumpulan ekstremis, Jamaah Ansharut Daulah, yang telah berikrar setia kepada ISIS.
Dalam tempoh sama, pihak berkuasa turut menangani 112 kanak-kanak yang terpengaruh dengan ideologi radikal melalui media sosial dan permainan dalam talian.
Jurucakap Densus 88 Polis Negara, Encik Mayndra Eka Wardhana, berkata jumlah 112 kanak-kanak bawah umur itu menunjukkan peningkatan hasil siasatan lanjut terhadap kes 110 kanak-kanak yang sebelum ini dikenal pasti direkrut secara dalam talian ke dalam rangkaian pengganas.
Ia seperti yang didedahkan polis pada November lalu.
“Namun, kebanyakan mereka telah kembali menjalani aktiviti sosial secara normal,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Encik Eddy berkata 112 kanak-kanak tersebut dikenal pasti di 26 wilayah, dengan sebahagian daripada mereka telah berikrar setia kepada rangkaian pengganas selepas terdedah kepada ideologi ekstremis di Internet.
Pendedahan itu, menurut beliau, dipermudahkan oleh algoritma media sosial yang memaparkan kandungan berdasarkan minat, interaksi dan tempoh tontonan pengguna.
Timbalan bagi Perlindungan Khas Kanak-Kanak di Kementerian Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak, Cik Ratna Susianawati, berkata radikalisme dan pengganasan di ruang digital merupakan ancaman serius kepada kira-kira 80 juta kanak-kanak Indonesia di bawah usia 18 tahun.
Dalam pada itu, agensi penguat kuasa turut mendedahkan 16 kes skim pembiayaan pengganasan sepanjang 2025, melibatkan jumlah dana hampir enam trilion rupiah ($459 juta).
“Berdasarkan perkembangan ini, ancaman pengganasan kekal berterusan dan bersifat adaptif, khususnya melalui penggunaan ruang digital bagi tujuan propaganda, perekrutan dan pembiayaan,” kata Encik Eddy.
Pakar psikologi forensik, Cik Reni Kusumowardhani, berkata perekrut pengganasan dalam talian mempengaruhi 112 kanak-kanak tersebut dengan mengeksploitasi kerentanan mereka serta menggunakan naratif yang selari dengan keperluan emosi golongan muda.
“Naratif ini menawarkan rasa kewujudan, heroisme dan perpaduan, nilai-nilai yang sering dicari oleh golongan muda, dan disampaikan dalam bentuk bahasa slanga, meme, muzik serta visual yang menarik, menjadikannya sangat memikat,” katanya.
Penilaian psikologi terhadap 112 kanak-kanak itu mendapati sebahagian daripada mereka berasal daripada keluarga porak-peranda manakala yang lain direkrut ketika berada dalam keadaan emosi rapuh akibat kekecewaan peribadi, sehingga mendorong mereka mencari naratif yang dapat mengembalikan rasa tujuan dan motivasi hidup.
Namun, Cik Reni berkata terdapat satu lagi faktor membimbangkan yang menjadikan golongan bawah umur itu mudah terpengaruh dengan perekrutan pengganasan dalam talian.
“Mereka mempunyai impian yang musnah. Berdasarkan pengakuan mereka sendiri, kanak-kanak ini berasa keliru dengan keadaan sosial semasa, khususnya kerana kesukaran membezakan antara maklumat palsu dengan maklumat yang boleh dipercayai,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg