Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran musnah 485 rumah di Jakarta Utara

Jun 10, 2025 | 2:01 PM
Kebakaran berlaku di kawasan penempatan padat Kapuk Muara pada Jumaat, 6 Jun, memusnahkan sepenuhnya rumah penduduk dan bangunan lain. Tiada kematian dilaporkan, namun kira-kira 1,900 orang terpaksa berlindung di khemah pelarian.
Kebakaran berlaku di kawasan penempatan padat Kapuk Muara pada Jumaat, 6 Jun, memusnahkan sepenuhnya rumah penduduk dan bangunan lain. Tiada kematian dilaporkan, namun kira-kira 1,900 orang terpaksa berlindung di khemah pelarian. - Foto INSTAGRAM #KAPUKMUARA#

JAKARTA: Ribuan mangsa kebakaran di Kapuk Muara, Jakarta Utara kini berdepan situasi getir selepas kebakaran besar memusnahkan ratusan rumah mereka pada 6 Jun lalu.

Insiden itu telah menyebabkan lebih 3,200 penduduk kehilangan tempat tinggal dan memusnahkan 485 buah rumah serta bangunan lain, dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak 8 bilion rupiah ($639,410).

Walaupun tiada kematian dilaporkan, seramai 1,900 orang kini terpaksa berlindung di khemah pelarian sementara, dalam keadaan cuaca panas yang memburukkan lagi kesulitan harian mereka.

Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka, turut meninjau keadaan di lapangan dan menyatakan keprihatinannya.

“Pemerintah Pusat dan tempatan mesti memastikan khemah pelarian berada dalam keadaan layak diduduki,” tegas beliau.

Encik Gibran menyebut bahawa keperluan asas seperti makanan berkhasiat, air bersih, tandas dan sistem pengagihan makanan perlu diurus dengan baik dan bersepadu.

Ketika lawatan itu, beliau turut menyerahkan bantuan berupa makanan, selimut dan barangan keperluan lain kepada mangsa.

Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, yang melawat tapak kejadian pada 8 Jun lalu, mengarahkan beberapa agensi utama seperti Pejabat Datuk Bandar Jakarta Utara, Badan Pengurusan Bencana, Jabatan Kesihatan serta Jabatan Pendaftaran Penduduk mempercepatkan proses bantuan dan penggantian dokumen penting yang musnah.

“Bagi mereka yang kehilangan kad pengenalan dan dokumen penting lain, proses penggantian mesti dipercepatkan,” katanya dalam kenyataan media.

“Cuaca panas telah menyulitkan keadaan. Penduduk minta kipas elektrik dan kami berusaha penuhi semua keperluan dengan segera,” tambahnya.

Beliau turut memberi jaminan, pemerintah akan terus memantau keadaan dan sedang menilai pilihan untuk penempatan sementara serta bantuan jangka sederhana kepada mangsa.

Timbalan Pengerusi Dewan Bandaraya Jakarta, Encik Wibi Andrino, pula menyeru agar disediakan penempatan sementara yang baik, disertai bantuan makanan, pakaian dan rawatan perubatan. Beliau mencadangkan pembinaan perumahan bertingkat sebagai penyelesaian jangka panjang.

“Pendekatan penempatan semula mesti bersifat berperikemanusiaan. Rumah ganti perlu mampu dimiliki dan selesa didiami,” ujar Encik Wibi.

Sementara itu, Pakar Risiko Bencana daripada Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional, Dr. Gusti Ayu Ketut Surtiari, menegaskan bahawa kawasan padat seperti Kapuk Muara sememangnya berisiko tinggi untuk berlakunya kebakaran.

“Kita perlukan penilaian menyeluruh, daripada punca kebakaran hingga ke tahap kesiapsiagaan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menyebut bahawa bahan binaan mudah terbakar, pendawaian terbuka dan jarak rumah yang rapat adalah punca utama kebakaran di kawasan seperti ini.

Koordinator advokasi Konsortium Miskin Kota (UPC), Cik Nafisatul Khoidah, pula menyatakan bahawa tragedi ini mencerminkan isu struktur perancangan bandar Jakarta.

“Golongan miskin adalah paling terdedah kepada bencana. Pemerintah mesti memastikan akses kepada hak tanah, pengagihan ekonomi yang adil dan keperluan asas lain dipenuhi,” katanya.

Ketua RW 04 Kampung Kapuk Muara, Encik Sudiono, menyatakan bahawa bantuan yang datang daripada pelbagai pihak termasuk pemerintah telah tiba dengan cepat dan diagihkan secara tersusun.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada kekurangan,” ujarnya ringkas.

Namun, harapan utama penduduk seperti Mustaqim tetap sama: “Saya harap dapat bina semula rumah kami dengan bantuan pemerintah.” - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg