TANGERANG, Banten: Kebakaran besar yang memusnahkan hampir separuh kawasan Tempat Pelupusan Akhir (TPA) Jatiwaringin bukan sekadar kejadian kebakaran biasa.

Ia menjadi amaran jelas bahawa sistem pengurusan sisa pepejal di Indonesia memerlukan perubahan menyeluruh sebelum bencana lebih besar berlaku.

Selama lebih seminggu, lebih 200 penduduk terpaksa berlindung di pusat pemindahan selepas asap tebal dan gas berbahaya daripada kebakaran menyelubungi kawasan penempatan mereka.

“Sukar untuk bernafas. Tekak saya sakit dan mata terasa pedih,” kata seorang penduduk, Cik Fitriah, 34 tahun, yang berpindah bersama dua anaknya.

Meskipun api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 9 Julai selepas operasi besar-besaran melibatkan kira-kira 300 anggota bomba, 19 jentera, empat lori tangki air dan tiga helikopter, persoalan yang lebih besar kini timbul – adakah tragedi sama akan berulang?

Bagi ramai pakar, jawapannya adalah ‘ya’, sekiranya Indonesia gagal meninggalkan amalan pelupusan sampah secara terbuka atau open dumping’ iaitu kaedah melupuskan sampah secara terbuka tanpa pemadatan, penutupan tanah atau pengurusan gas metana yang sempurna.

Menteri Alam Sekitar Indonesia, Encik Moh Jumhur Hidayat, mengakui kebakaran di Jatiwaringin bukan berpunca daripada faktor semula jadi.

“Kebakaran TPA ini bukan bencana alam, tetapi berlaku akibat kelemahan dalam pengurusan tapak pelupusan,” katanya.

Beliau turut menetapkan sasaran supaya semua amalan pelupusan terbuka dihentikan menjelang akhir 2026.

Langkah itu dilihat sebagai titik perubahan penting dalam usaha memperbaharui sistem pengurusan sisa negara.

TPA Jatiwaringin menerima kira-kira 1,200 tan sampah setiap hari.

Apabila sampah organik bercampur dengan plastik, kertas, kayu, tekstil dan bahan mudah terbakar lain tanpa diurus secara sistematik, proses pereputan menghasilkan gas metana dalam jumlah besar.

Gas itu sangat mudah terbakar, terutama ketika cuaca panas dan kering.

Profesor Kejuruteraan Alam Sekitar Universiti Indonesia, Encik Mahawan Karuniasa, berkata kebakaran di tapak pelupusan sebenarnya boleh tercetus hanya dengan percikan api yang kecil.

“TPA tidak pernah kekurangan bahan bakar. Sampah organik yang kering, plastik, tekstil, kayu, getah malah bateri dan sisa elektronik semuanya boleh menjadi bahan bakar.

“Apabila gas metana terkumpul, api mudah menyala, cepat merebak dan terus membakar di bawah timbunan sampah sehingga amat sukar dipadamkan,” katanya.

Fenomena El Nino yang dijangka kembali pada 2026 ini dijangka meningkatkan lagi risiko kebakaran apabila suhu menjadi lebih tinggi dan kelembapan semakin rendah.

Data Kementerian Alam Sekitar menunjukkan sekurang-kurangnya 35 kebakaran TPA direkodkan ketika El Nino melanda pada 2023.

Walaupun keadaan cuaca lebih lembap ketika La Nina pada 2024 dan 2025, kebakaran masih terus berlaku.

Ini menunjukkan masalah utama bukan hanya faktor cuaca, bahkan juga kaedah pengurusan sisa yang masih lapuk.

Kebakaran Jatiwaringin mungkin berjaya dipadamkan, namun pakar memberi amaran bahawa ancaman sebenar terletak di TPA Bantar Gebang di pinggir Jakarta.

Jika Jatiwaringin meliputi kawasan seluas 33 hektar, Bantar Gebang pula mempunyai keluasan lebih 108 hektar dan menempatkan kira-kira 56 juta tan sampah yang dikumpulkan selama beberapa dekad.

Profesor Kejuruteraan Alam Sekitar Universiti Indonesia yang juga Penasihat Khas Gabenor Jakarta, Firdaus Ali, menyifatkan Bantar Gebang sebagai “bom jangka” alam sekitar.

Menurut beliau, timbunan sampah yang begitu besar menghasilkan gas metana pada kadar yang amat tinggi.

“Risiko yang ada di Bantar Gebang sama seperti di Jatiwaringin, cuma dalam skala yang jauh lebih besar.

“Jika berlaku kebakaran di sana ketika musim kemarau, kesannya terhadap mutu udara Jakarta dan kawasan sekitarnya akan menjadi jauh lebih serius,” katanya.

Kajian Institut Emmett, Universiti California Los Angeles (Ucla), menganggarkan tapak pelupusan itu membebaskan kira-kira 6.2 tan gas metana setiap jam.

Gas metana mempunyai kesan pemanasan sejagat sehingga 28 kali lebih kuat berbanding karbon dioksida dalam tempoh tertentu, selain sangat mudah terbakar apabila cuaca menjadi panas.

Encik Firdaus berkata kebakaran di Jatiwaringin sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa pengurusan sisa bukan lagi sekadar isu kebersihan, malah, turut melibatkan keselamatan awam, kesihatan dan perubahan iklim.

Beliau menyifatkan langkah Jakarta memperkenalkan pengasingan sisa menerusi Arahan Gabenor Jakarta No. 5/2026 sebagai pendekatan yang tepat.

“Semakin sedikit sisa organik dihantar ke tapak pelupusan, semakin rendah penghasilan gas metana dan semakin kecil risiko kebakaran,” katanya.

Bagi pakar, tragedi Jatiwaringin membuktikan Indonesia tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah lama yang sekadar mengangkut dan menimbunkan sampah.

Daripada kira-kira 550 TPA di seluruh negara, Kementerian Alam Sekitar menganggarkan lebih 340 masih menggunakan sistem open dumping, walaupun amalan itu telah diharamkan menerusi Undang-Undang Pengurusan Sisa sejak 2013.

Peralihan kepada sistem tapak pelupusan terkawal dan kaedah pelupusan sanitari dilihat sebagai langkah paling penting bagi mengurangkan risiko kebakaran.

Dalam sistem pelupusan terkawal, sampah dipadatkan dan ditutup dengan lapisan tanah secara berkala bagi mengurangkan pembentukan gas metana, bau serta risiko kebakaran.

Pelupusan sanitari pula menawarkan tahap perlindungan yang lebih tinggi melalui pemasangan sistem saliran air larut resap (air lindi), penangkapan gas metana serta kawalan pencemaran air bawah tanah.

Walaupun kos pembinaannya jauh lebih tinggi, pakar berpendapat manfaat jangka panjang terhadap kesihatan awam dan alam sekitar jauh mengatasi pelaburan tersebut.

Profesor Kejuruteraan Kimia Universiti Gadjah Mada, Encik Chandra Wahyu Purnomo, berkata kekangan terbesar ketika ini ialah pembiayaan.

“Masalah utamanya ialah dana. Banyak pemerintah daerah hanya memperuntukkan kira-kira 1 peratus daripada belanjawan mereka untuk pengurusan sisa, malah ada yang lebih rendah daripada itu,” katanya.

Namun, beliau berpendapat kos menaik taraf TPA perlu dilihat sebagai pelaburan untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar akibat kebakaran, pencemaran dan masalah kesihatan.

Pada masa sama, pakar menegaskan penyelesaian sebenar tidak bermula di tapak pelupusan, tetapi di setiap rumah.

Pengasingan sisa organik dan bukan organik mampu mengurangkan jumlah bahan yang menghasilkan gas metana di TPA.

Bahan berbahaya seperti bateri litium, bank kuasa, telefon bimbit, komputer riba, rokok elektronik, tin aerosol dan pemetik api juga tidak sepatutnya dibuang bersama sampah biasa.

Encik Mahawan Karuniasa menjelaskan bahawa bateri litium yang rosak boleh mengalami fenomena “thermal runaway”, iaitu peningkatan suhu secara mendadak sehingga mencetuskan kebakaran.

“Bateri boleh rosak akibat dihimpit, tertusuk atau mengalami litar pintas ketika berada dalam timbunan sampah. Keadaan itu mampu mencetuskan api sebelum merebak ke seluruh tapak pelupusan,” katanya.

Beliau mengesyorkan setiap daerah menyediakan pusat pengumpulan khas bagi sisa elektronik dan bahan berbahaya supaya ia boleh dihantar ke syarikat kitar semula yang mempunyai lesen.

Sementara itu, organisasi alam sekitar Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (Walhi) berpendapat pengurangan sisa organik yang dihantar ke TPA juga perlu dipercepat melalui program mengitar semula sisa organik di peringkat masyarakat.

“Kebakaran Jatiwaringin mengingatkan kita bahawa selagi punca masalah tidak diselesaikan dari peringkat awal, tragedi seperti ini akan terus berulang,” kata wakil Walhi, Encik Wahyu Eka Styawan.

Selain memperbaiki sistem pelupusan, pakar mencadangkan penggunaan teknologi moden bagi mengesan risiko lebih awal.

Encik Mahawan berkata setiap TPA perlu memantau suhu permukaan dan bawah timbunan sampah secara berkala.

Penggunaan dron yang dilengkapi kamera inframerah atau pengimejan haba boleh membantu mengesan titik panas sebelum ia berkembang menjadi kebakaran besar.

“Setiap TPA juga perlu mempunyai pelan tindak balas kecemasan yang lengkap, termasuk peta kawasan berisiko, prosedur operasi standard dan bekalan topeng perlindungan untuk penduduk sekitar,” katanya.

Beliau turut menyarankan sistem penangkapan gas metana diperluaskan supaya gas itu dapat dimanfaatkan sebagai sumber tenaga, sekali gus mengurangkan risiko letupan dan kebakaran.

Pada masa sama, pembangunan loji jana kuasa berasaskan sisa, pusat pengkomposan serta kemudahan pemprosesan bahan api alternatif perlu dipercepat bagi mengurangkan jumlah sampah yang dihantar ke TPA.

Kebakaran Jatiwaringin berlaku ketika Indonesia sedang berdepan musim kemarau yang dijangka menjadi lebih panas akibat fenomena El Nino.

Greenpeace Indonesia juga menggesa semua TPA yang masih menggunakan sistem pelupusan terbuka dipercepat peralihannya kepada pelupusan terkawal dan pelupusan sanitari.

Bagi Profesor Firdaus Ali, tragedi Jatiwaringin perlu dilihat sebagai peluang mempercepat pembaharuan nasional dalam pengurusan sisa.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan bandar-bandar besar seperti Jakarta bukan lagi bergantung kepada kemampuan memadam kebakaran, malah, kepada keberkesanan menghalangnya daripada berlaku.

“Kita tidak boleh menunggu sehingga Bantar Gebang terbakar sebelum menganggap pengurusan sisa sebagai isu keselamatan negara,” katanya. - Agensi berita.