Topik diikuti
Pergi ke BHkuKelahiran ‘Cucu Krakatau’: Gunung baharu atau sekadar endapan
Kelahiran ‘Cucu Krakatau’: Gunung baharu atau sekadar endapan
JAKARTA: Kemunculan daratan baharu seluas kira-kira 32.8 hektar di sekitar Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda selepas siri letusan awal September mencetuskan persoalan menarik.
Adakah sebuah gunung berapi baharu sedang ‘dilahirkan’?
Di media sosial, daratan itu malah mendapat julukan dramatik sebagai ‘Cucu Krakatau’, seolah-olah satu lagi generasi gunung berapi sedang muncul selepas Krakatau dan Anak Krakatau.
Namun, dari sudut geologi, penjelasannya jauh lebih kompleks.
Setakat bukti yang ada, daratan tersebut bukan sebuah gunung berapi baharu yang berdiri sendiri.
Sebaliknya, ia terbentuk daripada timbunan abu, batuan, bahan piroklastik dan lava yang dimuntahkan Anak Krakatau sebelum terkumpul di perairan cetek di sekelilingnya.
Fenomena itu penting kerana ia memperlihatkan secara langsung bagaimana gunung berapi bukan sahaja memusnahkan landskap, malah mampu mencipta daratan baru – sebelum ombak, hakisan dan letusan berikutnya menentukan sama ada daratan itu akan kekal atau kembali ditelan laut.
Gunung Anak Krakatau mengalami episod letusan berterusan selama kira-kira 25 jam dari 4 hingga 6 September.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) merekodkan episod itu bermula pada 11.07 malam, 4 September, sebelum berakhir pada 12.04 tengah malam, 6 September.
Analisis citra satelit Sentinel kemudian menunjukkan penambahan daratan pada bahagian barat laut hingga barat daya tubuh Anak Krakatau akibat pengendapan bahan piroklastik dan aliran lava.
Badan Geologi Indonesia menganggarkan pertambahan itu mencapai 32.8 hektar.
Dua lagi timbunan menyerupai pulau kecil turut dikesan, masing-masing di barat laut dan tenggara Anak Krakatau.
Belum boleh dianggap gunung berapi baharu
Anggota Ikatan Ahli Kebencanaan Indonesia, Encik Daryono Perwira Sakti, menolak tanggapan fenomena itu menandakan kemunculan ‘Cucu Krakatau’.
Menurut beliau, daratan berkenaan merupakan pengumpulan bahan letusan Anak Krakatau yang secara beransur-ansur memenuhi dasar laut sehingga akhirnya muncul di atas permukaan air.
Keadaan dasar laut di kawasan kaldera lama Krakatau yang relatif cetek membantu mempercepatkan proses tersebut.
Bahan letusan yang dilontarkan ke sektor berkenaan bertimbun, sementara arus dan ombak turut memindahkan sedimen ke kawasan perairan lebih tenang.
Justeru, apa yang kelihatan seperti ‘pulau baharu’ sebenarnya boleh dianggap sebagai sambungan kepada proses pembentukan semula landskap Anak Krakatau.
Persoalan lebih besar ialah sama ada daratan itu akan terus membesar.
Menurut Encik Daryono, jawapannya bergantung kepada persaingan antara dua kuasa alam – kegiatan gunung berapi yang membina daratan dan hakisan laut yang memusnahkannya.
Jika Anak Krakatau terus meletus dan membekalkan bahan baharu, daratan berkenaan boleh berkembang.
Jika aliran lava menutup permukaannya sebelum membeku menjadi batuan keras, struktur itu juga berpotensi menjadi lebih kukuh.
Sebaliknya, jika bekalan bahan gunung berapi terhenti, ombak dan hakisan boleh mengikis timbunan abu dan pasir yang masih longgar sehingga sebahagiannya kembali tenggelam.
Untuk dianggap sebagai gunung berapi baharu yang bebas, struktur berkenaan perlu menunjukkan ciri jauh lebih jelas.
Ia termasuk mempunyai saluran magma sendiri, menghasilkan letusan magmatiknya sendiri dan menunjukkan kegiatan geologi seperti gempa gunung berapi atau perubahan bentuk tanah yang berpusat di bawah struktur tersebut.
Setakat ini, bukti sedemikian belum kelihatan.
Malah Badan Geologi menegaskan penelitian dan pengesahan di lapangan masih diperlukan untuk menentukan sifat sebenar dua timbunan menyerupai pulau yang dikesan menerusi satelit.
Pulau Sertung berubah dalam masa sebulan
Apa yang berlaku di sekitar Anak Krakatau bagaimanapun tidak terbatas kepada pembentukan daratan baru.
Beberapa kilometer di sebelah baratnya, Pulau Sertung mengalami perubahan ekologi yang sangat ketara selepas letusan September.
Analisis Profesor Sains Tanah Universiti Andalas, Profesor Dian Fiantis, dan Profesor Pemodelan Tanah-Landskap Universiti Sydney, Profesor Budiman Minasny, menggunakan citra Sentinel-2, yang menunjukkan sebahagian besar Sertung masih dilitupi tumbuh-tumbuhan hijau pada 8 Ogos.
Apabila satelit yang sama merakam kawasan itu pada 8 September – dua hari selepas episod letusan berterusan berakhir – sebahagian besar warna hijau berkenaan telah bertukar menjadi kelabu dan perang.
Indeks Vegetasi Perbezaan Normal (NDVI), yang digunakan untuk mengukur keadaan tumbuh-tumbuhan melalui pantulan cahaya, menunjukkan perubahan lebih dramatik.
Purata NDVI kawasan bervegetasi di Sertung adalah sekitar 0.72 sebelum letusan, menunjukkan tumbuh-tumbuhan yang subur.
Selepas letusan, bacaan itu merosot hampir kepada sifar.
Namun, itu tidak semestinya bermakna semua tumbuh-tumbuhan di Sertung mati.
Lapisan abu tebal boleh menutupi daun yang masih hidup, manakala pokok mungkin mengalami kerosakan fizikal atau tertimbus.
Justeru, pemerhatian di lapangan masih diperlukan untuk menentukan sejauh manakah ekosistem Sertung sebenarnya musnah.
Apa yang jelas, kesan letusan tidak tersebar secara sekata.
Pulau Panjang di sebelah timur Anak Krakatau mengekalkan isyarat kehijauan yang jauh lebih ketara.
Data satelit menunjukkan kepulan abu pada September banyak bergerak ke barat dan barat daya, menyebabkan Sertung menerima kesan lebih besar.
Daripada kemusnahan kepada kehidupan baru
Di sinilah perkembangan Krakatau menawarkan sudut saintifik yang lebih besar.
Bahan gunung berapi yang hari ini kelihatan tandus tidak semestinya kekal begitu.
Apabila abu, batuan dan kaca gunung berapi terdedah kepada hujan, proses kimia mula memecahkan mineral.
Mikroorganisma kemudian boleh menjajah permukaan baharu, bahan organik mula terkumpul dan tumbuhan perintis secara beransur-ansur kembali tumbuh.
Dalam tempoh panjang, bahan letusan itu boleh menjadi bahan induk kepada pembentukan tanah baharu.
Kajian terdahulu terhadap bahan letusan Anak Krakatau pada 2018 turut menunjukkan bagaimana deposit gunung berapi segar menyediakan peluang luar biasa untuk mengkaji peringkat awal pembentukan tanah di kawasan tropika.
Krakatau umpama ‘makmal semula jadi’ bagi ahli geologi, ekologi dan sains tanah.
Selepas letusan besar Krakatau pada 1883 yang memusnahkan sebahagian besar pulau asal, Anak Krakatau akhirnya muncul secara kekal di atas paras laut sekitar 1930.
Sejak itu, kawasan tersebut melalui kitaran berulang – letusan membina daratan, hakisan mengubahnya, tumbuh-tumbuhan kembali, sebelum letusan berikutnya sekali lagi mengubah landskap.
Perubahan pada September 2026 menunjukkan proses itu masih berlaku.
Justeru, persoalan paling menarik bukanlah sama ada ‘Cucu Krakatau’ sudah lahir.
Sebaliknya, perkembangan itu memperlihatkan bahawa landskap Krakatau masih belum selesai dibentuk.
Dalam satu kawasan kecil Selat Sunda, proses geologi yang lazimnya mengambil masa terlalu panjang untuk diperhatikan manusia sedang berlaku hampir di depan mata – gunung berapi mencipta daratan, laut cuba menghakisnya, sementara kehidupan perlahan-lahan mencari jalan untuk kembali.
Daratan seluas 32.8 hektar yang muncul hari ini mungkin membesar, berubah bentuk atau akhirnya hilang.
Namun, apa jua takdirnya, perkembangan ini menjadi peringatan bahawa Krakatau bukan sekadar susulan bencana besar 1883.
Ia adalah sebuah sistem gunung berapi yang masih hidup – dan terus membentuk semula peta Selat Sunda. – Agensi berita.