JAKARTA: Operasi mencari lapan orang, termasuk lima wartawan, yang hilang selepas bot laju dinaiki mereka terputus hubungan berhampiran Gunung Anak Krakatau diperluas pada 14 September.

Ini sedang usaha mencari memasuki hari ketujuh.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengerahkan 18 kapal, sebuah helikopter dan dron bagi menyisir kawasan seluas 6,649 batu nautika persegi di perairan Selat Sunda, Banten.

Sehingga kini, kelapan-lapan mangsa masih belum ditemukan.

Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Banten, Encik Al Amrad, berkata semua sumber yang ada dikerahkan bagi meningkatkan peluang menemukan mangsa.

“Memasuki hari ketujuh, kami terus mengoptimumkan semua sumber yang ada untuk mencari dan menemukan lapan mangsa yang masih hilang,” katanya.

Lima wartawan yang hilang dikenal pasti sebagai Encik M. Bagus Khoirunnas daripada agensi berita Antara; Encik Ari Basuki daripada Merdeka.com; Encik Yudistiro Pranoto daripada iNews; Encik Firman Daus daripada Anadolu Agency; dan wartawan bebas, Encik Donal Husni.

Tiga lagi ialah kru bot, iaitu kaptennya, Encik Warta; anak kapal, Encik Sukarman; dan pemandu, Encik Heriyanto.

Operasi pada 14 September bermula pada 7 pagi waktu tempatan dengan kawasan pencarian dibahagikan kepada tujuh sektor bagi membolehkan pasukan SAR melakukan pencarian secara lebih menyeluruh.

Ketua Seksyen Operasi Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Banten, Encik Rizky Dwiyanto, berkata sebanyak 18 kapal digunakan dalam operasi di laut, selain sebuah helikopter HR-3604, milik Basarnas.

Antara kapal yang terlibat ialah KN SAR Tetuka, KN SAR Basudewa, KN SAR Antasena, KRI Leuser, KRI Teluk Gilimanuk, KRI Lepu, KAL Anyer dan KP Sanjaya.

Operasi turut menggunakan beberapa bot penyelamat dan rondaan serta dua dron dengan kamera pengesan haba bagi membantu pencarian dari udara.

Anggota Basarnas, Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Republik Indonesia (Polri), Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), agensi pengurusan bencana daerah, petugas kesihatan dan pemerintah daerah turut menyertai operasi itu.

Encik Al Amrad berkata keadaan cuaca di Selat Sunda sentiasa dipantau kerana keselamatan anggota yang menjalankan operasi perlu diambil kira.

Pencarian itu berlangsung ketika Gunung Anak Krakatau masih berada pada Tahap III, atau status Siaga, meskipun kegiatan letusannya menunjukkan tanda berkurangan selepas mengalami episod letusan berterusan pada awal September.

Menurut Badan Geologi Indonesia, gunung berapi itu mengalami episod letusan berterusan selama kira-kira 25 jam antara 4 dengan 6 September sebelum kegiatannya beransur reda dan berubah kepada letusan Strombolian.

Sebanyak 14 letusan Strombolian, iaitu letusan berupa semburan lahar cair, direkodkan selepas episod letusan berterusan itu berakhir.

Ketua Badan Geologi, Cik Lana Saria, berkata pemantauan menunjukkan kegiatan gempa cetek berkurangan, tetapi aktiviti gempa gunung berapi masih lebih tinggi berbanding paras biasa.

Keadaan itu menunjukkan pergerakan atau bekalan magma dari bahagian lebih dalam masih berlaku, sekali gus bermakna kemungkinan letusan seterusnya kekal tinggi walaupun kegiatan di permukaan telah berkurangan.

Gunung Anak Krakatau kekal pada status Siaga setakat 14 September dan empat kejadian gempa turut direkodkan pada hari tersebut.

Orang ramai, pelancong, nelayan dan pelaut dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawah aktif Anak Krakatau dalam lingkungan tiga kilometer.

Antara ancaman yang masih perlu diberi perhatian ialah lontaran bahan pijar, abu gunung berapi dan kemungkinan aliran piroklastik – campuran gas panas, abu dan batu-batu hasil letusan gunung berapi – di sekitar lereng gunung tersebut.

“Walaupun intensiti letusan di permukaan berkurangan, ia tidak bermakna aktiviti letusan Gunung Anak Krakatau akan berhenti,” kata Cik Lana.

Keadaan gunung berapi dan cuaca di Selat Sunda menjadi antara faktor penting yang perlu dipantau ketika operasi besar-besaran mencari lapan mangsa itu diteruskan. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti