Topic followed successfully
Go to BHkuKematian doktor pelatih keempat dalam dua bulan di Indonesia desak perubahan sekitaran kerja
Kematian doktor pelatih keempat dalam dua bulan di Indonesia desak perubahan sekitaran kerja
Kematian doktor pelatih keempat dalam dua bulan di Indonesia desak perubahan sekitaran kerja
JAKARTA: Kematian terbaharu seorang lagi doktor pelatih atau ‘intern’ di Indonesia, yang didakwa dikaitkan dengan bebanan kerja yang berlebihan, merupakan kematian keempat seumpama itu dalam masa hanya dua bulan.
Ia telah mempertingkatkan tumpuan terhadap program pelatih perubatan negara itu, dengan para pemerhati mendesak reformasi segera bagi memperbaiki keadaan bekerja dan perlindungan pelatih.
Seorang doktor pelatih dari Universiti Sriwijaya, Cik Myta Aprilia Azmi, yang ditempatkan di Hospital Wilayah KH Daud Arif di Jambi, meninggal dunia pada 1 Mei selepas menerima rawatan rapi di Hospital Mohammad Hoesin di Palembang, Sumatera Selatan.
Beliau dilaporkan menghidap jangkitan paru-paru tetapi terus bekerja tanpa mengambil cuti sakit, walaupun keadaannya semakin parah.
Pakar kesihatan awam, Profesor Tjandra Yoga Aditama, mengakui sifat kerja sektor perubatan yang mencabar, termasuk waktu kerja yang sangat panjang, syif malam dan tekanan tempat kerja yang sengit, boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan doktor itu sendiri.
Beliau menggesa penggubal dasar agar memberikan perlindungan lebih kukuh kepada doktor pelatih supaya mereka dapat menjalankan tugas tanpa tekanan fizikal dan mental yang tidak perlu.
“Kematian empat doktor pelatih kita mesti menjadi pemangkin untuk mewujudkan program pelatih yang lebih baik, bermutu tinggi, lebih berperikemanusiaan dan lebih bermartabat,” katanya kepada The Jakarta Post, pada 4 Mei.
Persatuan Perubatan Indonesia (IDI) menyatakan pihaknya telah lama menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan dan kebajikan doktor pelatih dan telah menghantar surat kepada Kementerian Kesihatan pada akhir April, mendesak reformasi terhadap program pelatih yang dikendalikan oleh kementerian tersebut.
Antara reformasi yang dicadangkan adalah menetapkan gaji minimum pada tiga kali ganda upah minimum wilayah, mengehadkan waktu kerja kepada 40 jam seminggu, memberikan satu hari cuti setiap bulan selain cuti sakit, serta memastikan hari rehat pada cuti umum.
Tiga doktor pelatih meninggal dunia pada Mac, mencetuskan kebimbangan terhadap bebanan kerja yang berlebihan dan masa rehat yang terhad dalam program pelatih tersebut.
Kematian pertama berlaku pada 17 Mac, dengan diagnosis akhir demam denggi berdarah dan komplikasi akibat kejutan.
Doktor pelatih kedua meninggal dunia pada 25 Mac dengan diagnosis awal anemia, diikuti oleh yang ketiga pada 26 Mac yang diagnosisnya termasuk campak dengan komplikasi jantung dan otak.
IDI sebelum ini telah menyuarakan kebimbangan terhadap apa yang disifatkannya sebagai bebanan kerja yang “luar biasa”, kelayakan cuti yang tidak mencukupi dan gaji yang masih berada di bawah piawaian upah minimum wilayah.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Cik Widyawati, pada 4 Mei, menyampaikan ucapan takziah yang mendalam atas kematian doktor pelatih yang dikenali sebagai Cik Myta, sambil berjanji menjalankan siasatan penuh bagi meneliti keseluruhan kejadian, termasuk tadbir urus program pelatih dan isu bebanan kerja.
“Maklumat awal mengenai keadaan kesihatan doktor pelatih itu, termasuk syak wasangka tentang keadaan yang wujud serentak, akan disahkan lebih lanjut.
“Oleh itu, Kementerian Kesihatan tidak akan membuat spekulasi dan akan menunggu siasatan menyeluruh diselesaikan,” katanya.
Jika sebarang penyelewengan daripada piawaian yang rasmi atau kecuaian ditemui, kata Cik Widyawati seterusnya, pihak kementerian akan mengambil tindakan tegas, termasuk penangguhan sementara tapak pelatih, sehingga penilaian penuh dan langkah pembetulan diselesaikan.
“Penemuan siasatan itu juga akan menjadi asas untuk pengukuhan sistem yang lebih luas, termasuk... mekanisme perlindungan bagi doktor pelatih demi mencegah kejadian serupa pada masa hadapan,” sambungnya. – Agensi berita.
