Mahkamah Indonesia pada 21 Julai mendapati kesemua 19 tertuduh wanita bersalah kerana memperdagangkan bayi ke Singapura dan beberapa wilayah lain di Indonesia.

Namun, hukuman yang dijatuhkan lebih ringan berbanding tuntutan pihak pendakwaan yang memohon penjara 10 tahun.

Mahkamah Daerah Bandung, Jawa Barat, menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap dalang utama sindiket itu, Lie Siu Luan atau Lili, 70 tahun, selepas didapati bersalah merekrut anggota sindiket serta mengendali pelbagai urusan, termasuk memalsukan dokumen bagi membolehkan bayi dibawa keluar dari Indonesia.

Seorang lagi tertuduh, Astri Fitrinika, yang bertindak sebagai perekrut utama, dihukum penjara enam tahun tujuh bulan kerana memujuk wanita miskin di Jawa Barat yang tidak mampu menjaga bayi mereka supaya menyerahkan bayi itu untuk dijadikan anak angkat.

Baki 17 tertuduh lain dijatuhi hukuman penjara antara tiga dengan enam tahun mengikut peranan masing-masing dalam kegiatan penyeludupan bayi itu.

Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (Kpai) melahirkan rasa kesal terhadap keputusan mahkamah itu kerana menganggap hukuman yang dijatuhkan terlalu ringan dan gagal memberikan keadilan serta melindungi kepentingan terbaik kanak-kanak.

Pengerusi Kpai, Cik Ai Maryati Solihah, berkata tuntutan awal pendakwaan selama 10 tahun penjara juga sebenarnya jauh lebih rendah daripada hukuman maksimum 15 tahun yang diperuntuk di bawah undang-undang pemerdagangan manusia dan perlindungan kanak-kanak di Indonesia.

“Mereka dieksploitasi dan maruah mereka sebagai manusia dirampas apabila diperlakukan hanya sebagai barang dagangan,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Pengarah Kanan Advokasi, Kempen dan Hubungan Pemerintah, Selamatkan Kanak-kanak Indonesia, Encik Tata Sudrajat, berkata hukuman yang setimpal dan maksimum penting.

Ia bagi memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa jenayah pemerdagangan manusia tidak akan diterima, akan dihukum dengan tegas dan mampu menghalang orang lain daripada melakukan jenayah sama di Indonesia.

“Pemerdagangan bayi merupakan pelanggaran serius terhadap hak kanak-kanak kerana merampas identiti serta asal usul keluarga mereka dan tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan,” katanya kepada BH.

Perbicaraan yang bermula pada April di hadapan tiga hakim diketuai Hakim Gatot Ardian Agustriono mendedahkan sindiket itu menyeludup sekurang-kurangnya 34 bayi antara 2023 dengan 2025.

Daripada jumlah itu, 12 bayi dibawa ke Singapura dan dijadikan anak angkat, manakala tujuh lagi berjaya diselamatkan polis di Pontianak, Kalimantan Barat sebelum diperdagangkan.

Kesemua bayi itu kini berada di bawah jagaan pemerintah.

Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas ibu bapa kandung seorang bayi membuat laporan polis di Jawa Barat kerana mendakwa perekrut sindiket gagal membayar jumlah wang yang dipersetujui sebagai imbalan menyerahkan bayi mereka.

Siasatan terhadap laporan itu kemudian membawa kepada pembongkaran rangkaian pemerdagangan bayi yang lebih besar.

Siasatan turut mendapati setiap bayi dijual pada harga antara 10 juta rupiah ($718) dengan 16 juta rupiah, namun, ibu kandung menerima bayaran yang lebih rendah daripada jumlah yang dijanjikan.

Keadaan itu mendorong mereka membuat laporan polis kerana mendakwa sindiket gagal membayar seperti dipersetujui.

Pengarah Siasatan Jenayah Am Polis Jawa Barat, Pesuruhjaya Kanan Surawan, berkata bayi berkenaan melalui beberapa peringkat sebelum dihantar ke luar negara.

Menurutnya, bayi itu dilahirkan dan dijaga oleh pengasuh yang diupah sindiket di Bandung sebelum dibawa ke Pontianak, Kalimantan Barat untuk mendapatkan dokumen imigresen palsu.

Mereka kemudian dibawa semula ke Jakarta menggunakan dokumen palsu itu sebelum diterbangkan ke Singapura.

Sindiket itu menyasarkan wanita hamil yang terdedah dan hidup dalam kemiskinan dengan menawarkan janji palsu bahawa bayi mereka akan melalui proses pengambilan anak angkat.

Cik Ai berkata walaupun bayi itu mungkin dijaga dengan baik oleh keluarga angkat yang benar-benar menyayangi mereka, proses yang dilalui tetap melibatkan pemalsuan identiti dan asal usul, yang boleh menjejas perkembangan mereka pada masa depan.

“Mereka tidak melalui proses pengambilan anak angkat yang sah. Sebaliknya, sindiket memanipulasi identiti mereka sehingga identiti sebenar mereka dipadamkan. Mereka ialah kanak-kanak Indonesia dan sepatutnya dipulangkan ke negara asal.

“Pemerintah mempunyai mekanisme yang sesuai untuk menjaga kanak-kanak yang tidak dapat dipelihara oleh ibu bapa kandung mereka,” ujarnya.

Beliau turut merayu agar ibu bapa angkat warga asing menunjukkan sikap bertanggungjawab demi kebajikan kanak-kanak itu, sambil mengambil kira hubungan rapat dan kasih sayang yang telah terjalin antara mereka.

Encik Tata berkata keputusan mengenai penjagaan dan hak jagaan setiap bayi bergantung kepada agensi perlindungan kanak-kanak berdasarkan penilaian terhadap keadaan setiap kanak-kanak.

Beliau berkata jika pemerintah membatalkan semua dokumen berkaitan kanak-kanak itu kerana proses pengambilan anak angkat didapati tidak sah, Indonesia perlu membawa pulang mereka secepat mungkin bagi mengelakkan risiko menjadi mangsa pemerdagangan manusia sekali lagi.

Cik Ai berkata identiti mereka telah dipalsukan dan mereka tetap merupakan kanak-kanak Indonesia.

“Kami tidak mahu mereka mengalami nasib sama seperti sebahagian individu di Belanda yang hanya mengetahui ketika dewasa bahawa mereka sebenarnya diambil secara haram dari Indonesia untuk dijadikan anak angkat oleh pasangan Belanda,” katanya.

Beliau merujuk kepada sekurang-kurangnya 3,000 kanak-kanak Indonesia yang diambil secara haram daripada ibu bapa kandung mereka dan dijadikan anak angkat oleh keluarga Belanda antara 1970-an hingga awal 1980-an.

Seperti kes bayi di Bandung, mereka dijadikan anak angkat menggunakan dokumen palsu sehingga identiti asal dipadamkan selepas diambil daripada ibu yang miskin dan dipujuk menyerahkan bayi mereka.

Kanak-kanak itu secara automatik memperoleh kewarganegaraan Belanda tanpa diberi peluang mendaftar sebagai warganegara dwi-kewarganegaraan ketika masih kecil.

Akibatnya, mereka kehilangan taraf sebagai warganegara Indonesia.

Ramai daripada mereka yang kini berusia 40-an dan 50-an telah kembali ke Indonesia untuk mencari ibu bapa kandung, namun ada yang gagal menjejaki asal usul kerana dokumen yang dimiliki mengandungi identiti palsu.

Indonesia mengenakan prosedur yang sangat ketat bagi warga asing yang ingin mengambil anak angkat dari negara itu.

Langkah itu hanya dibenarkan sebagai pilihan terakhir selepas semua usaha untuk menempatkan kanak-kanak berkenaan bersama keluarga angkat warga Indonesia tidak berjaya.

Menurut Yayasan Sayap Ibu, sebuah rumah kebajikan di Jakarta yang diberi kuasa oleh Kementerian Hal Ehwal Sosial Indonesia untuk mengendalikan pengambilan anak angkat oleh warga asing, proses itu tertakluk kepada syarat yang sangat ketat.

Antaranya, pasangan berkenaan mesti telah berkahwin sekurang-kurangnya lima tahun, menetap di Indonesia sekurang-kurangnya dua tahun dan memperoleh kelulusan daripada pihak berkuasa negara asal mereka.

Selain itu, pasangan terbabit perlu bersetuju mengemukakan laporan berkala mengenai perkembangan kanak-kanak kepada pihak berkuasa Indonesia.

Mereka juga mesti menganut agama yang sama dengan kanak-kanak yang ingin diambil sebagai anak angkat.