Topik diikuti
Pergi ke BHkuKutipan derma kemanusiaan Gaza disalah guna untuk biaya pengganasan Indonesia
Kutipan derma kemanusiaan Gaza disalah guna untuk biaya pengganasan Indonesia
Sikap pemurah rakyat Indonesia dan semangat perpaduan mereka terhadap penderitaan rakyat Palestin akibat konflik di Gaza kini dieksploitasi pihak tertentu untuk mengumpul dana yang kononnya bertujuan membantu mangsa perang, tetapi sebenarnya disalurkan bagi membiayai kegiatan pengganasan.
Beberapa kegiatan mengumpul derma yang menggunakan alasan kemanusiaan didapati palsu dan dipercayai bertujuan mendapatkan dana untuk kumpulan pengganas.
Ketua Badan Nasional Pencegahan Pengganasan (BNPT), Encik Eddy Hartono, berkata pihak berkuasa mengesan beberapa kes pembiayaan pengganasan yang berselindung di sebalik pertubuhan bukan mencari keuntungan, yayasan kebajikan, wadah kutipan derma awam dan kempen mengumpul dana menerusi media sosial.
Antaranya termasuk kempen yang mendakwa mengumpul sumbangan untuk membantu mangsa konflik Palestin di Gaza atau mangsa bencana alam.
“Saya tidak bermaksud usaha membantu mangsa bencana atau perjuangan Palestin itu bermasalah, tetapi kegiatan mengumpul derma seperti ini boleh disalahgunakan.
“Ada pihak yang menjadikannya sebagai kedok (bersembunyi) untuk kegiatan tertentu dan terdapat petunjuk yang menunjukkan perkara itu berlaku,” kata Encik Eddy kepada wartawan di luar majlis pelancaran tiga buku mengenai pembiayaan pengganasan pada 7 Oktober.
Siri buku bertajuk, ‘Trilogi Pendanaan Terorisme’ itu ditulis tiga anggota pasukan antipengganasan Indonesia, Densus 88, iaitu ketuanya yang baru dilantik, Encik Ami Prindani; Ketua Pasukan Petugas Kalimantan Barat, Encik I Made Wisnu Wardhana; dan penganalisis risikan, Encik Daniel Saragih.
Ketiga-tiga buku itu mengupas pembiayaan pengganasan daripada tiga sudut yang saling berkaitan, iaitu perubahan kaedah pembiayaan, faktor yang membolehkan kegiatan itu berlaku dan kemungkinan perubahan ancaman pada masa depan.
Ketua Program Pengajian Pengganasan di Sekolah Siswazah Pembangunan Mampan Universitas Indonesia (GSSD UI), Dr Zora Arfina Sukabdi, berkata faktor psikologi sosial turut mempengaruhi keputusan seseorang untuk menderma.
Menurut beliau, seseorang cenderung menganggap sesuatu tindakan itu betul atau wajar dilakukan apabila melihat ramai orang lain melakukan perkara yang sama.
Fenomena yang dikenali sebagai social proof atau pengaruh sosial itu boleh menyebabkan orang ramai mempercayai sesuatu kempen kutipan derma hanya kerana ia mendapat sokongan ramai.
“Dalam kegiatan mengumpul dana, jumlah penderma yang ramai boleh menimbulkan tanggapan bahawa sesuatu kempen itu sah, boleh dipercayai dan wajar disokong, walaupun seseorang belum menyemak dengan teliti bagaimana wang yang dikumpulkan akhirnya digunakan,” kata beliau.
Menruut Dr Zora, usaha memahami pembiayaan pengganasan tidak seharusnya tertumpu hanya pada persoalan dari manakah wang diperoleh dan ke manakah ia disalurkan.
Sebaliknya, pihak berkuasa juga perlu memahami faktor psikologi dan sosial yang mendorong seseorang menghulurkan sumbangan.
“Kita juga perlu memahami mengapa seseorang sanggup memberikan wang.
“Faktor psikologi dan pengaruh sosial boleh menyebabkan seseorang berasa menderma adalah tindakan yang betul, terutama apabila melihat ramai orang lain turut berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, Encik Wardhana berkata kecenderungan rakyat Indonesia untuk menderma selaras dengan reputasi negara itu sebagai antara masyarakat paling pemurah di dunia.
Namun, beliau berkata ramai penderma mungkin tidak mengambil langkah untuk menyemak latar belakang atau kesahihan pertubuhan yang menerima sumbangan mereka.
Menurut laporan Indeks Kemurahan Hati Dunia 2024 (World Giving Index 2024), Indonesia sekali lagi muncul sebagai negara paling pemurah di dunia, mengekalkan kedudukan itu buat kali ketujuh berturut-turut sejak pertama kali menduduki tempat teratas pada 2017.
Indonesia mencatat markah tertinggi sebanyak 74 daripada 100 mata, diikuti Kenya dengan 63 mata dan Singapura, 61 mata.
Amerika Syarikat pula menduduki tempat keenam dengan 59 mata.
Indeks itu disusun berdasarkan tinjauan terhadap orang ramai mengenai tiga bentuk amalan membantu orang lain yang dilakukan sepanjang sebulan sebelumnya.
Ia merangkumi sama ada responden pernah membantu orang tidak dikenali yang memerlukan pertolongan, menyumbangkan wang kepada badan kebajikan atau meluangkan masa sebagai sukarelawan dalam sesebuah pertubuhan.
Menurut laporan tersebut, sembilan daripada setiap 10 rakyat Indonesia menyumbangkan wang kepada badan kebajikan, manakala lebih enam daripada setiap 10 orang meluangkan masa melakukan kerja sukarela.
Indonesia mencatat pencapaian tertinggi dunia bagi kedua-dua bentuk sumbangan itu.
Laporan tersebut turut menunjukkan Indonesia merupakan satu daripada hanya dua ekonomi terbesar dunia, bersama Amerika yang tersenarai dalam kelompok 10 negara paling pemurah.
Bagaimanapun, Encik Wardhana mengingatkan bahawa sikap pemurah tidak seharusnya menyebabkan penderma mengabaikan tanggungjawab memastikan wang mereka benar-benar digunakan untuk tujuan yang dinyatakan.
Beliau berkata penderma tidak boleh menganggap tanggungjawab mereka berakhir sebaik sahaja wang diserahkan kepada pertubuhan atau pihak yang menjalankan kutipan.
Sebaliknya, mereka perlu mengambil langkah untuk memastikan kesahihan penerima sumbangan dan mengetahui bagaimana wang itu akan digunakan.
“Pengesahan dan semakan juga perlu menjadi tanggungjawab penderma.
“Sebab itulah terdapat dua kategori penderma, iaitu mereka yang mengetahui wang yang disumbangkan akan digunakan untuk membiayai pengganasan dan mereka yang benar-benar tidak tahu bahawa sumbangan mereka akhirnya akan diuruskan atau disalahgunakan bagi tujuan tersebut,” katanya.