Lebih 500,000 warga Indonesia terkandas di Asia Barat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 500,000 warga Indonesia terkandas di Asia Barat

Mar 3, 2026 | 11:38 AM

Lebih 500,000 warga Indonesia terkandas di Asia Barat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Jemaah umrah menunggu di kawasan lapangan terbang di Arab Saudi sebelum berlepas pulang ke Indonesia.
Jemaah umrah menunggu di kawasan lapangan terbang di Arab Saudi sebelum berlepas pulang ke Indonesia. - Foto Kementerian Haji and Umrah (Kemenhaj)

JAKARTA: Sekurang-kurangnya setengah juta rakyat Indonesia kini berada di Asia Barat dengan pilihan terhad untuk keluar, ketika perang antara Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran memasuki hari keempat dan semakin meluas ke seluruh rantau itu.

Kementerian Luar Indonesia pada lewat 2 Mac mengesahkan terdapat 519,042 warga Indonesia yang direkodkan menetap di Asia Barat setakat 28 Februari, berdasarkan data perwakilan diplomatik. Angka itu tidak termasuk pengembara yang sedang transit di rantau berkenaan.

Cik Heni Hamidah, pemangku pengarah perlindungan warga negara di Kementerian Luar, berkata pemerintah kini memantau perkembangan keselamatan di rantau itu secara berterusan dan teliti, susulan situasi yang semakin tidak menentu.

Konflik tercetus selepas gelombang serangan udara Amerika-Israel pada 28 Februari dilaporkan membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, serta 40 pegawai kanan lain. Teheran kemudian membalas dengan melancarkan peluru berpandu ke wilayah Israel dan pangkalan tentera Amerika di Teluk, mencetuskan kebimbangan pergolakan serantau yang lebih luas.

Pada 2 Mac, perang terus merebak tanpa tanda akan berakhir. Ruang udara di beberapa negara Asia Barat ditutup dan penerbangan komersial digantung. Iran, Iraq, Israel, Syria, Kuwait, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan sekurang-kurangnya penutupan sebahagian ruang udara masing-masing.

Di Doha, Encik Radya, 41 tahun, seorang jurutera yang menetap sejak 2021, berkata suasana tidak lagi terasa selamat. “Realitinya benar-benar terasa apabila kami menerima amaran kecemasan di telefon, dan beberapa minit kemudian kami dengar bunyi peluru berpandu yang dipintas meletup,” katanya. “Apabila letupan berlaku di Doha, tingkap rumah saya bergegar kuat,” katanya dalam mesej kepada The Jakarta Post.

Asap dilaporkan kelihatan di kawasan kediaman di pinggir ibu negara Qatar selepas serpihan peluru berpandu yang berjaya dipintas jatuh ke kawasan tersebut. Kementerian Pertahanan Qatar memaklumkan bahawa sistem pertahanan udaranya berjaya “menggagalkan” beberapa serangan yang menyasarkan negara itu.

Di Dubai, Encik Aldy Julio Tahir, 31 tahun, yang menetap di UAE sejak dua tahun lalu, berkata konflik yang sebelum ini dirasakan jauh kini terasa semakin hampir dan nyata dalam kehidupan sehariannya.“Saya dengar empat letupan kuat di atas apartmen saya. Rupanya ia peluru berpandu Iran yang dipintas sistem pertahanan UAE di kawasan Mirdif,” katanya.

Pihak berkuasa UAE memaklumkan mereka memintas gelombang peluru berpandu dari IRan dan seorang warga Pakistan dilaporkan maut akibat serpihan yang jatuh di Abu Dhabi.

Beberapa negara termasuk Britain, Thailand dan Russia telah menyediakan pelan kecemasan. Russia dilaporkan merancang pemindahan melalui laluan darat ke Azerbaijan.

Jurucakap Kementerian Luar, Cik Yvonne Mewengkang, berkata Indonesia masih belum mengarahkan pemindahan. “Kami terus menjalankan pemantauan intensif terhadap situasi keselamatan di Iran dan Asia Barat,” katanya dari Jakarta. Menurut beliau, keputusan untuk memindahkan warga negara akan dibuat berdasarkan “pertimbangan keselamatan, kesiapsiagaan di lapangan dan akses mengikut keadaan setiap negara”.

Dari Teheran, Duta Besar Indonesia, Encik Rolliansyah “Roy” Soemirat berkata pemerintah sedang meneliti pilihan paling selamat bagi 329 warga Indonesia di Iran dan tidak mahu membuat keputusan secara terburu-buru. “Saya faham orang ramai akan terus mempersoalkan soal pemindahan, tetapi setiap langkah mesti dibuat mengikut prosedur yang sewajarnya. Ini bukan soal kepantasan semata-mata. Cepat tidak semestinya tepat,” katanya seperti dipetik agensi berita Antara.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 6,047 jemaah umrah Indonesia pulang ke Indonesia secara berperingkat antara 28 Februari hingga 1 Mac di tengah-tengah ketegangan yang memuncak. Jurucakap Kementerian Haji dan Umrah, Encik Ichsan Marsha, berkata pemerintah memastikan proses kepulangan berjalan selamat dan terkawal.

“Dari 28 Februari hingga 1 Mac 2026, seramai 6,047 jemaah telah pulang dengan selamat. Pemerintah terus memantau proses ini supaya semua jemaah dapat pulang secara berperingkat dan teratur,” katanya.
Pada 28 Februari, seramai 4,200 jemaah pulang menggunakan 12 penerbangan. Pada 1 Mac, seramai 2,047 jemaah pulang dengan lima penerbangan.

Kementerian turut memaklumkan bahawa seramai 43,363 bakal jemaah umrah masih dijadualkan berangkat ke Arab Saudi sebelum bermulanya musim haji pada 18 April 2026, melibatkan 439 syarikat pengendali perjalanan umrah berdaftar.

“Kami memastikan setiap pengendali memenuhi tanggungjawab sepenuhnya, daripada keberangkatan, perkhidmatan di Arab Saudi hingga kepulangan jemaah. Tanggungjawab ini tidak boleh diabaikan,” kata Encik Ichsan.

Pemerintah juga menasihatkan bakal jemaah yang dijadual berlepas dalam masa terdekat supaya menangguhkan perjalanan sehingga keadaan di Asia Barat kembali stabil, demi mengutamakan keselamatan dan perlindungan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg