Langkah Prabowo sertai Lembaga Keamanan cetus perbahasan dasar luar Indonesia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Langkah Prabowo sertai Lembaga Keamanan cetus perbahasan dasar luar Indonesia

Adakah ia langkah diplomatik berani bagi pastikan isu Palestin tidak terpinggir atau langkah bercanggah dengan prinsip berteras ‘bebas aktif’?
Mar 2, 2026 | 5:30 AM

Langkah Prabowo sertai Lembaga Keamanan cetus perbahasan dasar luar Indonesia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Presiden Indonesia Prabowo Subianto (tengah), Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev (kanan), dan pemimpin dunia lain menghadiri mesyuarat sulung Lembaga Keamanan di Institut Keamanan Amerika Syarikat di Washington, D.C., Amerika Syarikat, 19 Februari 2026.
Presiden Indonesia Prabowo Subianto (tengah), Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev (kanan), dan pemimpin dunia lain menghadiri mesyuarat sulung Lembaga Keamanan di Institut Keamanan Amerika Syarikat di Washington, D.C., Amerika Syarikat, 19 Februari 2026. - Foto REUTERS

JAKARTA: Keputusan Indonesia menyertai Lembaga Keamanan (BoP) terus mencetuskan perbahasan hangat dalam kalangan ahli akademik, pakar hubungan antarabangsa dan masyarakat sivil.

Sebahagian pihak melihatnya sebagai langkah diplomatik berani bagi memastikan isu Palestin tidak terpinggir dalam seni bina keamanan sejagat baharu.

Namun, tidak kurang juga yang mempersoalkan sama ada langkah itu selari dengan prinsip dasar luar Indonesia yang selama ini berteraskan “bebas aktif”.

Pensyarah Hubungan Antarabangsa Universiti Bakrie, Indonesia, Cik Sellita, menyifatkan penyertaan itu menimbulkan beberapa persoalan asas.

“Sebagai sebuah badan yang kononnya mempromosikan keamanan sejagat, BoP mengecualikan Palestin sebagai mangsa utama konflik tetapi memasukkan Israel sebagai anggota.

“Konfigurasi ini tidak seimbang dan menjejas semangat keadilan dalam penyelesaian konflik,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif keamanan yang tidak melibatkan mangsa utama berisiko mewujudkan “naratif damai palsu” tanpa penyelesaian menyeluruh.

Selain itu, Cik Sellita menegaskan wacana dalaman BoP dilihat lebih tertumpu kepada pemulihan pasca konflik di Gaza, berbanding komitmen jelas terhadap penyelesaian dua negara yang telah lama menjadi konsensus antarabangsa.

“Jika kemerdekaan Palestin tidak menjadi matlamat utama, BoP berisiko sekadar menjadi mekanisme penstabilan konflik, bukan penyelesaian akar umbi,” katanya.

Cik Sellita turut mempersoalkan ketiadaan beberapa negara Barat seperti Canada, Britain dan Perancis dalam BoP.

Ketidakhadiran itu, katanya, menimbulkan persoalan tentang legitimasi dan penerimaan forum tersebut.

Dalam wacana yang diterbitkan di Fulcrum, portal analisis bebas Iseas-Institut Yusof Ishak mengenai isu di Asia Tenggara dan sekitarnya, penulis bersama Zamil Pelawat dalam Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau di Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas)-Institut Yusof Ishak, Dr Ary Hermawan, dan Cik Iim Halimatusa’diyah turut menyentuh isu struktur kepimpinan BoP yang diterajui Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

“Kuasa mutlak pengerusi untuk melantik atau membubarkan entiti bawahan bercanggah dengan prinsip tadbir urus demokratik organisasi antarabangsa,” kata Dr Ary.

Beliau menambah, keperluan bayaran keahlian sehingga AS$1 bilion ($1.26 bilion) juga wajar diteliti secara kritikal memandangkan tekanan fiskal Indonesia ketika ini.

Namun, pemerintah Indonesia mempertahankan penyertaan tersebut sebagai pelaksanaan prinsip bebas aktif yang realistik.

Dalam kerangka ini, Jakarta mahu terus aktif dalam forum strategik bagi memperjuangkan kemerdekaan Palestin.

Presiden Prabowo Subianto dilihat mengamalkan pendekatan hedging, iaitu mengekalkan kebebasan dasar luar sambil aktif dalam pelbagai platform antarabangsa.

Menurut naratif rasmi, melalui BoP, Indonesia berpeluang membentuk norma antarabangsa, bukan sekadar menjadi pemerhati.

“Keamanan tidak lagi sekadar retorik, tetapi diinstitusikan dalam struktur diplomatik konkrit,” kata seorang pegawai kanan pemerintah.

Namun, dinamik geopolitik menambah lapisan kerumitan.

Indonesia masih berdepan tarif import 19 peratus oleh Amerika dan rundingan belum dimuktamadkan.

Walaupun Menteri Penyelaras Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, menegaskan BoP tidak berkait dengan rundingan perdagangan, tekanan ekonomi sukar dipisahkan daripada pertimbangan diplomatik.

Cik Sellita mengingatkan, jika penyertaan itu didorong tekanan luar, prinsip bebas aktif berisiko menjadi reaktif, bukan berdaulat.

“Dasar luar bebas aktif memerlukan keberanian untuk menentukan hala tuju sendiri, bukan sekadar bertindak balas terhadap kuasa besar,” katanya.

Faktor domestik turut memainkan peranan penting.

Cik Iim Halimatusa’diyah dari Iseas menyatakan kumpulan Islam di Indonesia sejak lama melihat perjuangan Palestin sebagai sebahagian daripada komitmen moral dan keagamaan.

Namun, beliau berpendapat landskap politik di bawah kepimpinan Encik Prabowo menunjukkan perubahan halus.

“Pendekatan diplomasi presiden yang lebih langsung kepada kepimpinan tertinggi dilihat mengetepikan peranan diplomat dan turut mempengaruhi pendirian organisasi Islam,” katanya.

Pada awalnya, beberapa pemimpin Majlis Ulama Indonesia (MUI) menyuarakan keraguan terhadap BoP.

Naib Pengerusi MUI, Encik Sudarnoto Abdul Hakim, mempersoalkan kepimpinan dan pengaruh dominan Barat, manakala Ketua MUI, Encik Cholil Nafis, dalam bidang dakwah dan ukhuwah, menyeru pemerintah mempertimbangkan penarikan diri.

Bagaimanapun selepas pertemuan dengan Presiden Prabowo pada Februari lalu, 16 organisasi Islam termasuk Nahdlatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah menyatakan sokongan bersama.

Kenyataan bersama mereka menegaskan penyertaan dalam BoP adalah saluran terbaik membantu Palestin ketika ini dan Indonesia wajar kekal dalam forum tersebut selagi matlamat penyelesaian dua negara diperjuangkan.

Walaupun begitu, tokoh seperti bekas Ketua Muhammadiyah, Encik Din Syamsuddin, menyifatkan BoP sebagai bentuk “imperialisme baharu”.

Manakala kumpulan Gusdurian, iaitu rangkaian penyokong pemikiran Presiden Indonesia keempat Allahyarham Abdurrahman ’Gus Dur’ Wahid yang menekankan pluralisme dan keadilan sosial, memberi amaran langkah itu boleh mengabsahkan kepentingan kuasa besar.

Perbahasan itu menggambarkan ketegangan antara prinsip yang diperjuangkan dengan realiti geopolitik semasa.

Di satu pihak, terdapat kebimbangan mengenai legitimasi BoP, beban kewangan dan ketiadaan komitmen jelas terhadap kemerdekaan Palestin.

Di pihak lain, pemerintah berhujah penglibatan aktif memberi ruang kepada Indonesia mempengaruhi keputusan dari dalam.

Dalam konteks sejagat yang semakin berpecah, langkah Indonesia mungkin mencerminkan strategi untuk kekal relevan dan memastikan isu Palestin terus mendapat perhatian.

Seperti ditegaskan Cik Sellita, penyertaan institusi antarabangsa perlu menjadi pilihan strategik yang matang, bukan hasil ketidakseimbangan kuasa.

“Dasar luar yang benar benar bebas aktif memerlukan Indonesia berani dan berdaulat dalam menentukan hala tuju, sambil kekal komited kepada keadilan global,” katanya.

Sama ada BoP akan menjadi platform berkesan memperjuangkan kemerdekaan Palestin atau sekadar forum simbolik, masih bergantung kepada sejauh manakah Indonesia mampu memainkan peranan utama dan mempertahankan prinsipnya.

Seperti kata Dr Ary, keputusan itu menandakan fasa baharu diplomasi Indonesia yang akan terus dinilai melalui lensa kepentingan nasional serta komitmen perpaduan terhadap perjuangan Palestin. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg