JAKARTA: Laporan perubatan terbaru yang dikeluarkan oleh pentadbiran Jakarta mendedahkan satu trend yang membimbangkan dalam kalangan penjawat awamnya dengan lebih separuh daripada mereka hidup dengan masalah obesiti.
Situasi ini telah mendorong Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, untuk menyeru kepada perubahan gaya hidup secara menyeluruh, termasuk pelaksanaan senaman secara berkala, bagi mengurangkan risiko penyakit kronik dan meningkatkan prestasi perkhidmatan awam.
Data tersebut diperoleh daripada pemeriksaan kesihatan pada tahun 2024 yang melibatkan 9,936 penjawat awam. Pemeriksaan itu merangkumi penilaian indeks jisim badan (BMI), tekanan darah, paras gula dalam darah dan kesihatan mental. Hasilnya menunjukkan bahawa obesiti merupakan isu kesihatan paling ketara, menjejaskan 62 peratus daripada mereka yang diperiksa, lapor The Jakarta Post.
Daripada jumlah itu, kira-kira dua pertiga tergolong dalam kategori obesiti tahap pertama, dengan BMI antara 25 hingga 29.9, manakala selebihnya diklasifikasikan sebagai obesiti tahap kedua atau lebih tinggi, iaitu dengan BMI 30 ke atas.
“Saya akan laksanakan senaman wajib mulai sekarang,” kata Encik Pramono kepada wartawan pada 23 Julai, sambil menambah bahawa aktiviti fizikal secara tetap bukan sahaja menjaga kesihatan, malah meningkatkan produktiviti dan mutu perkhidmatan awam secara keseluruhan.
Sebelum ini, pentadbiran Jakarta telah mempromosikan gaya hidup sihat menerusi kempen 2024, serta arahan tahun 2017 yang mewajibkan senaman kecergasan setiap hari Jumaat.
Sebagai sebahagian daripada kempen tersebut, penjawat awam dan orang ramai digalakkan berjalan sekurang-kurangnya 7,500 langkah sehari, satu usaha yang bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesihatan diri, tetapi juga mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian serta memperbaiki kualiti udara bandar.
Pada Jun 2024, Jakarta mencipta rekod dalam Muzium Rekod Dunia Indonesia (MURI) untuk “jumlah penjawat awam paling ramai berjalan 7,500 langkah sehari”. Namun, inisiatif ini dilihat kurang diberi susulan secara konsisten. Susulan laporan kesihatan terkini, pentadbiran merancang untuk mempergiat sesi senaman pagi bagi penjawat awam, selaras dengan arahan sedia ada.
“Buat masa ini, kami akan memperhebat senaman setiap pagi Jumaat untuk penjawat awam,” kata Encik Chico Hakim, pegawai khas kepada gabenor, pada 24 Julai.
Encik Yogi Ikhwan, penjawat awam di Badan Lingkungan Hidup Jakarta, menyokong inisiatif berjalan kaki ini. “Ia juga mesra alam, selain memberi manfaat kepada kesihatan,” ujarnya.
Ketua Agensi Kesihatan Jakarta, Ani Ruspitawati, berkata bahawa kempen 7,500 langkah sehari bertujuan mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) yang sering diabaikan.
Pakar pemakanan dan doktor dari Jakarta, Dr Tan Shot Yen, menegaskan bahawa obesiti meningkatkan risiko pelbagai penyakit tidak berjangkit seperti tekanan darah tinggi, strok, serangan jantung, diabetes dan kanser. “Jelas bahawa tabiat makan dan gaya hidup penjawat awam adalah tidak sihat,” kata Dr Tan pada 22 Julai, sambil menambah bahawa berjalan 7,500 langkah sehari tidak akan berkesan tanpa pemakanan seimbang.
Sementara itu, pakar pemakanan dari Universiti Gadjah Mada (UGM) Yogyakarta, Dr Toto Sudargo, menyatakan bahawa kadar obesiti yang tinggi di Jakarta berpunca daripada kekurangan peluang untuk melakukan aktiviti fizikal serta akses mudah kepada makanan segera.
Laporan Kementerian Kesihatan tahun 2023 turut mendedahkan bahawa 32 peratus penduduk Jakarta berusia lebih 18 tahun mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, peratusan tertinggi di seluruh Indonesia.
Walaupun berjalan 7,500 langkah setiap hari boleh menjadi permulaan yang baik untuk gaya hidup sihat, Dr Toto menekankan bahawa ia perlu menjadi amalan yang konsisten.
“Jika gaya hidup tidak sihat ini berterusan, pengumpulan lemak dan karbohidrat akan berlanjutan, dan boleh membawa kepada penyakit kronik,” katanya.
Selain obesiti, saringan kesihatan terhadap penjawat awam Jakarta turut mendedahkan beberapa isu utama lain seperti tekanan darah tinggi, tahap kecergasan fizikal yang rendah, masalah kesihatan mental, berat badan berlebihan dan diabetes.
Agensi kesihatan turut menyatakan bahawa sekitar 15 peratus penjawat awam menunjukkan tanda-tanda menghadapi masalah kesihatan mental, menandakan keperluan mendesak untuk sokongan psikologi di tempat kerja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg