Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjawat awam terkesan potongan belanjawan Indonesia

Feb 21, 2025 | 10:39 AM
Pelajar universiti mengadakan perhimpunan, ‘Indonesia Gelap’ atau ‘Dark Indonesia’, bagi membantah dasar pemotongan bajet oleh Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, di hadapan Bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Aceh di Banda Aceh pada 19 Februari. 
Pelajar universiti mengadakan perhimpunan, ‘Indonesia Gelap’ atau ‘Dark Indonesia’, bagi membantah dasar pemotongan bajet oleh Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, di hadapan Bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Aceh di Banda Aceh pada 19 Februari.  - Foto AFP

JAKARTA: Daripada lampu pejabat yang dipadamkan hingga lif yang tidak berfungsi, penjawat awam Indonesia kini rasai kesan pemotongan belanjawan besar-besaran arahan Presiden Prabowo Subianto.

Langkah yang dikatakan untuk membiayai janji-janji kempen besar beliau itu telah menyebabkan banyak pejabat pemerintah di ibu kota Jakarta kini mula memadamkan lampu dan menutup alat penyaman udara sebaik sahaja waktu kerja berakhir pada 4 petang.

Dengan itu, sesetengah pekerja terpaksa menyelesaikan projek dalam suasana suram, pencahayaan lemah, manakala yang lain digalak bekerja dari rumah bagi mengurangkan kos tenaga.

Pemotongan belanjawan yang dilakukan oleh Encik Prabowo pada akhir Januari bertujuan menjimatkan 306.7 trilion rupiah ($25.2 bilion) daripada perbelanjaan pejabat, majlis rasmi dan lawatan perniagaan.

“Bayangkan bekerja di pejabat, hanya bilik anda yang menyala, yang lain semua dipadamkan?” kata seorang penjawat awam berusia 35 tahun kepada agensi berita, AFP.

Arahan pemotongan itu menimbulkan kesulitan dalam kalangan penjawat awam, dengan beberapa pejabat mengarah pengawal keselamatan mematikan peralatan elektronik selepas waktu pejabat.

“Terdapat surat pekeliling yang mengarahkan pekerja supaya pulang pada 4 petang.

“Mereka juga diminta segera meninggalkan pejabat dan mematikan alat penyaman udara serta semua peralatan elektronik,” kata penjawat awam yang meminta nama dirahsiakan kerana bimbang dikenakan tindakan profesional.

Encik Prabowo, yang memegang jawatan presiden sejak Oktober, sebelum ini menyatakan beliau ingin mengumpul sekitar AS$46 bilion ($61.3 bilion) daripada pemotongan perbelanjaan pemerintah dan memperolehinya melalui hasil dividen daripada syarikat milik negara.

“Anak-anak kita tidak boleh lapar... Rakyat kita, anak-anak kita, mesti diberi makan dengan baik,” kata Encik Prabowo sebelum ini.

Beliau memberi penekanan kepada golongan miskin dengan menyediakan makanan percuma untuk pelajar sekolah.

Namun, pemotongan besar-besaran itu turut memberi kesan.

Sektor penting seperti perumahan, kesihatan, dan pendidikan kini menghadapi pengurangan peruntukan yang ketara.

“Dengan pengurangan dana untuk sektor kesihatan dan pendidikan, ia berpotensi menurunkan mutu sumber manusia dalam jangka masa panjang,” kata pakar dasar awam dari Global Counsel, Encik Dedi Dinarto.

Walaupun langkah pemotongan itu diharap dapat membantu negara mengurangkan beban hutang yang dianggarkan berjumlah AS$49 bilion pada 2025, ia juga memberi ruang bagi memenuhi janji besar Encik Prabowo seperti pelan makan percuma untuk pelajar sekolah dan pelancaran Dana Negara baru yang dikenali sebagai Danantara Indonesia.

“Apa yang kami tahu sekarang adalah... pertama, makanan berkhasiat percuma untuk semua. Kedua, untuk menubuhkan Danantara Indonesia,” kata pakar ekonomi dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, Encik Yose Rizal Damuri.

Langkah pemotongan itu telah mengundang kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk kumpulan masyarakat sivil yang menganggapnya sebagai tindakan yang “tidak produktif dan tidak sensitif” terhadap keperluan rakyat.

Penjawat awam juga mula mengadu tentang kenaikan kos sara hidup selepas pemotongan ini, terutama apabila mereka terpaksa menanggung sendiri kos untuk perkara asas seperti air minuman dan langganan Zoom premium.

“Sekarang, kami perlu bayar sendiri untuk teksi apabila ada mesyuarat luar pejabat.

“Sebelum ini, semua itu disediakan pemerintah,” kata seorang penjawat awam berusia 33 tahun yang juga meminta identitinya dirahsiakan.

Bagi sesetengah penjawat awam, langkah pemotongan belanjawan itu telah menimbulkan rasa ketidakadilan.

“Ia memberi kesan kewangan kepada pekerja,” kata seorang penjawat awam. “Ada rasa ketidakadilan,” ujarnya.

Kesan pemotongan ini semakin terasa apabila penjawat awam terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran pejabat yang lebih gelap dan tidak selesa.

Pekerja berusia 46 tahun, berkata: “Harapan kami adalah agar penjimatan ini tidak bertentangan dengan matlamat sebenar yang ingin dicapai.” – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg