BATAM: Ketika Batam semakin dikenali sebagai pusat pertumbuhan ekonomi digital Indonesia, sebahagian penduduk pulau itu berdepan masalah yang jauh lebih asas daripada teknologi kecerdasan buatan (AI) – mendapatkan air bersih untuk memasak, mandi dan menjalani kehidupan harian.

Di kawasan Nongsa, yang kini menjadi tumpuan pelaburan pusat data bernilai jutaan dolar, penduduk mengadu bekalan air ke rumah mereka sering terputus, ada kalanya berlarutan selama beberapa hari, minggu, malah berbulan-bulan.

Keadaan memaksa sebahagian keluarga berjaga sehingga lewat malam untuk menadah air, bergantung pada penghantaran lori tangki atau menggunakan air laut bagi keperluan kebersihan.

Bagi penduduk seperti Encik Juniardi Adinda Sembiring Gurukinayan, 54 tahun, pembangunan pesat yang sepatutnya membawa kemakmuran kini menimbulkan persoalan tentang siapakah sebenarnya menikmati manfaat itu.

Peniaga itu memberitahu agensi berita, AFP, penduduk pada mulanya mengalu-alukan kemasukan pelaburan dan pembinaan kemudahan teknologi di kawasan mereka.

Namun, apabila gangguan bekalan air semakin buruk, harapan itu bertukar menjadi kekecewaan.

“Kami tidak boleh makan nasi tanpa air. Kami tidak boleh memasak sayur tanpa air,” katanya.

Beliau mengakui ada kalanya terpaksa tidak mandi kerana kekurangan air.

Bagi Cik Sulastri, 38 tahun, krisis itu bukan sahaja menjejas kehidupan keluarganya, malah sumber pendapatan.

Beliau memberitahu AFP, gangguan bekalan air sudah berlarutan kira-kira setahun, tetapi bertambah buruk sepanjang enam bulan kebelakangan ini.

Ketika ditemu bual, beliau terpaksa menggunakan air daripada botol plastik untuk mencuci pinggan.

“Ramai antara kami menjalankan gerai kecil. Dahulu kami boleh membuat ketulan ais, tetapi sekarang tidak lagi,” katanya.

Beliau turut mengadu air yang dihantar melalui lori tangki kadangkala berwarna kekuningan dan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.

Di kampung pesisir Mata Ikan pula, seorang penduduk, Encik Rahmat, 52 tahun, berkata kekurangan air begitu serius sehingga ada penduduk terpaksa menggunakan air laut untuk membersihkan diri selepas menggunakan tandas.

Pengalaman mereka menggambarkan percanggahan yang semakin ketara di Batam.

Ketika syarikat teknologi membangunkan kemudahan canggih untuk menyimpan dan memproses maklumat digital, penduduk di kawasan berhampiran masih bergelut mendapatkan bekalan air yang mencukupi.

Kemarahan penduduk memuncak pada September dan Oktober apabila mereka mengadakan beberapa bantahan berhampiran Nongsa Digital Park, kawasan ekonomi khas yang menjadi tumpuan pembangunan pusat data.

Penduduk mendakwa bekalan air ke kawasan industri masih berjalan, sedangkan paip di rumah mereka kering.

Dalam satu bantahan pada 5 Oktober, puluhan penduduk Sambau, kebanyakannya suri rumah, berkumpul di hadapan kemudahan itu sambil membawa peralatan rumah tangga dan mengetuknya sebagai tanda protes.

Mereka menuntut supaya bekalan air dipulihkan segera.

Seorang penduduk, Encik Andi Lalang, memberitahu akhbar, The Jakarta Post, bahawa masalah bekalan air semakin buruk sejak pembinaan pusat data bermula.

Beliau mendakwa sesetengah kawasan perumahan mengalami gangguan bekalan sepenuhnya selama tiga hingga enam bulan.

Dalam satu lagi bantahan, penduduk menyekat jalan masuk ke Nongsa Digital Park sehingga polis dan anggota tentera dikerah mengawal keadaan.

Bantahan dihentikan selepas pegawai Badan Pengusahaan Batam (BP Batam) berjanji memulihkan bekalan dalam tempoh dua hari dan mengatur penghantaran enam lori tangki.

Bagaimanapun, dua hari kemudian, bekalan dilaporkan hanya pulih di sekitar 53 peratus kawasan yang terjejas.

Seorang penduduk Teluk Mata Ikan, Encik Muhammad Iwan, 40 tahun, memberitahu portal penyelidikan Katadata bahawa masalah bekalan air sudah menjejas kehidupan masyarakat setempat sejak penghujung 2024.

Ketika itu, air hanya mengalir beberapa jam sehari, menyebabkan penduduk terpaksa berjaga pada waktu malam untuk mengisi bekas simpanan.

“Kami tidak dapat mengambil wuduk di masjid kerana air hanya menitis,” katanya.

Penduduk turut mengadakan bantahan pada Disember 2024 selepas mendakwa bekalan air ke kawasan pusat data masih berjalan ketika rumah mereka mengalami gangguan.

Bagaimanapun, dakwaan bahawa pusat data menjadi punca langsung masalah bekalan air itu belum dibuktikan secara muktamad.

Pihak berkuasa dan pengendali air menjelaskan bahawa kemarau, paras empangan yang rendah, gangguan elektrik serta masalah rangkaian pengagihan turut menyumbang kepada keadaan tersebut.

Perbezaan ini penting kerana krisis air Batam bukan bermula dengan pembinaan pusat data, tetapi perkembangan industri berkenaan menambahkan kebimbangan mengenai kemampuan pulau itu menampung permintaan yang semakin meningkat.

Pusat data menempatkan ribuan pelayan komputer yang beroperasi sepanjang masa bagi menyimpan dan memproses maklumat, termasuk perkhidmatan pengkomputeran awan dan aplikasi AI.

Peralatan itu menghasilkan haba yang tinggi dan memerlukan sistem penyejukan berterusan bagi memastikan operasi tidak terganggu.

Sesetengah pusat data menggunakan air dalam jumlah besar untuk penyejukan, manakala kemudahan lebih moden menggunakan teknologi yang mengurangkan penggunaan air atau mengitarnya semula.

Menurut penyelidikan Katadata, terdapat sekitar 18 projek pusat data yang dirancang di Batam, dengan sebahagiannya tertumpu di Nongsa dan Kabil.

Anggaran keperluan air bagi sembilan pusat data di Nongsa menjelang 2032 boleh mencapai 29 juta liter sehari.

Sebuah lagi projek di Kabil yang melibatkan NeutraDC dan Nxera pula dianggarkan memerlukan sekitar tiga juta liter sehari.

Jika semua projek berkenaan beroperasi mengikut kapasiti dirancang, jumlah keperluannya boleh mencapai kira-kira 32 juta liter sehari.

Bagaimanapun, angka itu merupakan unjuran permintaan masa depan, bukannya jumlah air yang sedang digunakan pusat data sekarang.

Cabaran utama Batam ialah sumber air tawarnya yang terhad.

Tidak seperti kawasan yang mempunyai sungai besar, pulau itu banyak bergantung pada enam empangan tadahan hujan bagi memenuhi keperluan penduduk dan industri.

Penyelidik geomatik Politeknik Negeri Batam, Encik Sudra Irawan, menjelaskan bahawa pulau itu tidak mempunyai sungai besar, manakala sumber air bawah tanahnya juga terhad.

Keadaan tersebut menjadikan Batam mudah terdedah kepada kekurangan bekalan apabila hujan berkurangan atau sistem pengagihan mengalami gangguan.

Masalah menjadi lebih membimbangkan ketika cuaca kering berpanjangan akibat fenomena El Nino.

Jurucakap pengendali bekalan air Air Batam Hilir, Encik Ginda Alamsyah, kemarau menyebabkan paras air Empangan Nongsa merosot dengan ketara.

Gangguan elektrik turut menjejas sistem pengagihan air.

Beliau menjelaskan masalah tersebut menjadi antara faktor utama gangguan bekalan yang dialami penduduk.

Sumber industri yang dipetik AFP pula menyatakan bahawa Nongsa Digital Park menerima bekalan air dari Empangan Duriangkang, bukannya Empangan Nongsa.

Ini bermakna bekalan air yang berterusan ke kawasan teknologi itu tidak semestinya membuktikan pusat data mengambil air yang sepatutnya disalurkan kepada rumah penduduk.

Namun, keadaan tersebut tetap menimbulkan persoalan tentang perancangan bekalan air dan keutamaan pembangunan di Batam.

Kedudukan Batam yang berhampiran Singapura menjadi antara faktor utama pulau itu menarik perhatian pelabur pusat data antarabangsa.

Keadaan itu membuka peluang kepada kawasan berhampiran seperti Johor di Malaysia dan Batam di Indonesia untuk menarik sebahagian pelaburan.

Batam menawarkan kos operasi yang secara relatifnya lebih rendah, tanah untuk pembangunan industri serta sambungan kabel komunikasi dasar laut ke Singapura dan rangkaian antarabangsa.

Antara syarikat yang terlibat dalam pembangunan pusat data di Nongsa termasuk BW Digital, DayOne dan Princeton Digital Group, yang mempunyai kaitan dengan industri pusat data berpangkalan di Singapura.

Sebuah lagi projek utama di Kabil melibatkan NeutraDC, syarikat berkaitan Telkom Indonesia, dan Nxera, cabang pusat data Singtel.

Menurut BBC, DayOne turut mengumumkan kerjasama dengan pengeluar cip Nvidia dan syarikat teknologi Australia, Firmus Technologies, untuk membangunkan kemudahan AI berkapasiti 360 megawatt di Batam.

Permintaan elektrik pusat data di pulau itu dijangka melebihi 1,100 megawatt menjelang 2030, berdasarkan anggaran rasmi yang dilaporkan BBC.

Perkembangan tersebut menunjukkan Batam semakin penting dalam rangkaian ekonomi digital serantau.

Namun, bagi penduduk yang menghadapi gangguan bekalan air, nilai pelaburan yang besar tidak semestinya membawa perubahan positif kepada kehidupan mereka.

Penyelaras bersama Program Pengajian Indonesia di ISEAS–Institut Yusof Ishak, Singapura, Dr Siwage Dharma Negara, menekankan perlunya pemerintah memperkukuh prasarana bekalan air seiring pertumbuhan industri digital.

Menurut beliau, pihak berkuasa perlu meningkatkan kapasiti takungan, memperbaiki rangkaian pengagihan dan menetapkan piawaian alam sekitar yang jelas bagi memastikan pembangunan pusat data tidak menjejas sumber asas.

Ahli akademik Universiti Antarabangsa Batam, Dr Suyono Saputra, turut melihat kedudukan Batam berhampiran Singapura sebagai kelebihan ekonomi yang besar.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa prasarana air dan elektrik mesti berkembang seiring kemasukan pelaburan baharu.

Profesor Agus Hasan dari Universiti Saind dan Teknologi Norway pula membangkitkan persoalan mengenai ketelusan data penggunaan air pusat data.

Menurut beliau, maklumat penggunaan air sesetengah syarikat tidak mudah diperoleh kerana dianggap sulit.

Kekurangan maklumat sedemikian menyukarkan penilaian bebas terhadap kesan sebenar industri kepada sumber air setempat.

Bagi pakar, persoalan utama bukan sama ada pembangunan pusat data perlu dihentikan, tetapi bagaimana pelaburan dapat diteruskan tanpa mengorbankan keperluan asas masyarakat.

Datuk Bandar Batam merangkap Ketua BP Batam, Encik Amsakar Achmad, menolak dakwaan pusat data menjadi punca langsung gangguan bekalan air yang melanda beberapa kawasan.

Menurutnya, penyusutan paras air Empangan Nongsa berpunca daripada kekurangan hujan dan keadaan cuaca, bukannya penggunaan air oleh industri pusat data.

Beliau menjelaskan sebahagian kemudahan pusat data masih dalam pembinaan dan belum beroperasi sepenuhnya.

Bagaimanapun, pemerintah mengakui pertumbuhan industri berkenaan memerlukan sumber air tambahan.

Sehubungan itu, pihak berkuasa mengumumkan langkah supaya pelabur pusat data yang memerlukan bekalan air besar membangunkan sumber air sendiri menggunakan teknologi penyahgaraman air laut.

Teknologi penyahgaraman air laut melalui proses osmosis songsang (SWRO) membolehkan air laut diproses menjadi air tawar bagi kegunaan industri, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan air dari mpangan.

Menurut Amsakar, langkah tersebut bertujuan memastikan air dari empangan dapat terus digunakan bagi memenuhi keperluan penduduk.

Pemerintah menyasarkan kapasiti pengeluaran awal sebanyak 750 liter sesaat melalui teknologi berkenaan, sebelum ditingkatkan kepada sekitar 1,000 liter sesaat dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Namun, keberkesanan rancangan itu bergantung pada pelaksanaannya dan kemampuan kemudahan baharu menyediakan bekalan yang mencukupi.

Dalam perkembangan berkaitan, syarikat pelaburan berpangkalan di Hong Kong, Gaw Capital Partners, menyatakan pihaknya menyedari kesulitan dan kekecewaan penduduk Nongsa akibat gangguan bekalan air.

Syarikat itu berkata kemudahan pusat datanya perlu menggunakan reka bentuk cekap, sumber tenaga boleh diperbaharui dan sistem air kitaran tertutup bagi mengurangkan penggunaan air tawar.

Sementara itu, Ombudsman Indonesia di Kepulauan Riau turut mengkritik kelemahan pengendalian krisis bekalan air.

Ketua perwakilannya, Encik Lagat Siadari, menegaskan bahawa bekalan air merupakan keperluan asas yang sepatutnya tersedia sepanjang 24 jam.

Beliau turut membangkitkan masalah kelewatan penghantaran lori tangki kepada penduduk yang terjejas.

Bagi penduduk, janji membangunkan prasarana baharu mungkin memberikan harapan, tetapi keperluan mereka lebih mendesak.

Mereka mahu bekalan air yang bersih, mencukupi dan berterusan, tanpa perlu menunggu sehingga lewat malam atau bergantung pada lori tangki.

Krisis di Batam turut mencerminkan cabaran lebih luas yang dihadapi negara Asia Tenggara ketika ia berlumba-lumba menarik pelaburan AI dan pusat data.

Kemudahan digital menawarkan peluang ekonomi, pekerjaan dan pembangunan teknologi, tetapi pada masa yang sama memerlukan bekalan elektrik, air dan prasarana yang besar.

Di Johor, perkembangan pusat data turut menimbulkan kebimbangan penduduk mengenai penggunaan sumber, pencemaran bunyi dan kesan terhadap persekitaran.

Bagi Batam, cabarannya lebih rumit kerana sistem bekalan air sudah menghadapi tekanan sebelum perkembangan industri digital berskala besar.

Keadaan itu menuntut perancangan jangka panjang, termasuk ketelusan penggunaan air, pembinaan sumber bekalan alternatif dan jaminan bahawa keperluan penduduk tidak diketepikan.

Pelaburan pusat data juga perlu dinilai bukan semata-mata berdasarkan jumlah modal yang dibawa masuk, tetapi manfaat sebenar kepada masyarakat setempat.

Tanpa penyelesaian menyeluruh, kemarahan penduduk berisiko berulang walaupun lebih banyak pusat data dibangunkan.

Bagi Batam, kejayaan menjadi hab teknologi serantau akhirnya bukan hanya diukur melalui jumlah pusat data atau kapasiti pengkomputeran AI yang dibangunkan.

Ia juga bergantung pada kemampuan pemerintah memastikan pembangunan ekonomi tidak mengorbankan kesejahteraan rakyat.

Seperti yang diluahkan seorang penduduk kepada BBC ketika menuntut pihak berkuasa memberikan perhatian kepada masalah mereka:

“Jangan buat pelaburan berbilion rupiah sedangkan rakyat biasa dibiarkan menderita. Kami tidak meminta sesuatu yang luar biasa. Kami cuma mahu bekalan air kami dipulihkan.” – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti