Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Letupan berkembar di masjid sekolah Jakarta disahkan bukan serangan pengganas

Nov 12, 2025 | 10:24 AM
Bukti-bukti yang dikumpul daripada insiden letupan pada 7 November 2025 di Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 72, Jakarta Utara, dipamerkan semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Jakarta pada Selasa, 11 November 2025. Turut hadir pada sidang media tersebut ialah (dari kiri) Pengerusi Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI), Margaret Aliyatul Maimunah; Jurucakap Polis Jakarta, Budi Hermanto; Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri; Ketua Polis Jakarta Utara, Erick Frendriz; dan Pengarah Siasatan Jenayah, Iman Imanuddin.
Bukti-bukti yang dikumpul daripada insiden letupan pada 7 November 2025 di Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 72, Jakarta Utara, dipamerkan semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Jakarta pada Selasa, 11 November 2025. Turut hadir pada sidang media tersebut ialah (dari kiri) Pengerusi Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI), Margaret Aliyatul Maimunah; Jurucakap Polis Jakarta, Budi Hermanto; Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri; Ketua Polis Jakarta Utara, Erick Frendriz; dan Pengarah Siasatan Jenayah, Iman Imanuddin. - Foto Jakarta Globe

Polis Indonesia menolak kemungkinan bahawa letupan berkembar di sebuah masjid sekolah di Jakarta Utara pada 7 November yang mencederakan hampir 100 pelajar mempunyai kaitan dengan pengganas, setelah mendapati pelaku yang berusia 17 tahun bertindak secara bersendirian.

Jurucakap unit antipengganas Densus 88, Encik Mayndra Eka Wardhana, berkata dua letupan yang berlaku ketika pelajar dan kakitangan sekolah bersiap untuk menunaikan solat Jumaat tidak memenuhi takrif serangan pengganas seperti yang ditetapkan dalam undang-undang antikeganasan 2018.

“Kes ini akan disiasat oleh polis Jakarta kerana ia bukan tindakan pengganas berdasarkan bukti yang ditemui,” katanya kepada Berita Harian pada 11 November.

Dalam sidang media kemudian, Encik Mayndra menjelaskan pelajar itu mempelajari cara memasang tujuh bahan letupan berkuasa rendah yang ditemui di dua lokasi dalam kawasan sekolah melalui sumber dalam talian.

Suspek dilaporkan mendapat inspirasi daripada pelbagai insiden keganasan yang dilakukan oleh individu berideologi ekstrem seperti neo-Nazi, ketuanan kulit putih dan etnonasionalisme di Amerika Syarikat, Kanada, Russia dan New Zealand. Namun, dia tidak menganuti ideologi tertentu secara konsisten.

Pelajar tersebut juga didapati aktif dalam komuniti dalam talian yang memuja keganasan serta menganggap tindakan tersebut sebagai perbuatan berani dan terpuji.

“Motivasinya adalah dendam, berpunca daripada pengalaman tidak menyenangkan yang dialaminya di sekolah,” ujar beliau tanpa menghuraikan lebih lanjut. Beberapa pelajar lain memberitahu media tempatan bahawa suspek pernah dibuli.

Komander Briged Mobil, Henik Maryanto, berkata dua lokasi letupan dikenal pasti di sekolah berkenaan yang terletak dalam kompleks Tentera Laut. Letupan pertama berlaku di dalam masjid, di mana dua kawah letupan ditemui. Lokasi kedua pula ialah pusat kitar semula dan sudut bacaan sekolah, tempat lima bom lain dijumpai, dengan dua daripadanya telah meletup.

“Berdasarkan bukti, kami mendapati bom aktif diledakkan menggunakan alat kawalan jauh. Suspek berada di sudut bacaan ketika letupan berlaku, dan kami menemui serpihan objek yang dipercayai sebahagian daripada alat kawalan tersebut,” katanya. Polis turut menemui bahan letupan berkuasa rendah di rumah suspek.

Rakaman CCTV menunjukkan suspek tiba di sekolah pada 6.28 pagi, 7 November. Pada 11.44 pagi, dia masuk ke masjid melalui pintu utama dan pada 12.02 tengah hari dia dilihat menukar pakaian, tidak lagi memakai uniform sekolah, sambil membawa pistol mainan. Seminit kemudian, cahaya merah dan asap kelihatan di dalam masjid sebelum pelajar berlari keluar dalam keadaan panik.

Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri, menyifatkan pelajar itu sebagai seorang introvert yang jarang bergaul dengan rakan-rakan dan gemar menonton kandungan keganasan dalam talian.

Jumlah mangsa meningkat kepada 96 pelajar, berbanding 54 pada hari kejadian, selepas beberapa pelajar mendapatkan rawatan hospital pada hari-hari berikutnya akibat kesan letupan.

Bekas pemimpin kumpulan pengganas Jamaah Islamiyah (JI) turut menolak sebarang kaitan dengan insiden tersebut. “Ia jelas tidak ada kaitan dengan kami. JI tidak akan menyerang masjid dan jemaah yang sedang beribadah,” kata bekas amir JI, Para Wijayanto, yang dibebaskan pada Mei 2025 selepas menjalani hukuman tujuh tahun penjara.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri perhimpunan bekas anggota JI pada 9 November bagi menggalakkan kesederhanaan beragama dan menjelaskan keputusan pembubaran kumpulan itu pada Jun 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg