Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahkamah Perlembagaan wajibkan 30 peratus perwakilan wanita dalam parlimen Indonesia

Nov 6, 2025 | 2:18 PM
Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Puan Maharani, menyatakan sokongan terhadap keputusan Mahkamah Perlembagaan yang menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam badan dalaman DPR, ketika sidang media di Jakarta pada 4 November 2025.
Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Puan Maharani, menyatakan sokongan terhadap keputusan Mahkamah Perlembagaan yang menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam badan dalaman DPR, ketika sidang media di Jakarta pada 4 November 2025. -  Instagram@ketua_dprri

Jakarta: Parti-parti politik di Indonesia menyatakan sokongan terhadap keputusan Mahkamah Perlembagaan (MK) yang mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam semua badan dalaman Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), termasuk jawatankuasa, suruhanjaya dan lembaga etika.

Keputusan ini disambut sebagai langkah besar ke arah memperkukuh peranan wanita dalam politik dan proses penggubalan undang-undang negara.

Keputusan mahkamah yang diumumkan pada 30 Oktober lalu menetapkan bahawa 30 peratus daripada anggota setiap badan DPR mesti terdiri daripada wanita. MK menegaskan bahawa perwakilan wanita sebelum ini tidak seimbang - wanita lebih banyak ditempatkan di jawatankuasa sosial, perlindungan kanak-kanak, dan pemerkasaan wanita, sementara bidang strategik seperti ekonomi, undang-undang, tenaga dan pertahanan masih dikuasai lelaki.

Petisyen semakan kehakiman itu difailkan oleh Gabunagn Wanita Indonesia dan Perkumpulan untuk Pemilu dan Demokrasi (Perludem) yang berhujah bahawa undang-undang lembaga legislatif (UU MD3) tidak memasukkan kuota gender meskipun undang-undang lain telah menetapkannya.

Speaker DPR, Puan Maharani, yang juga wanita pertama memegang jawatan itu sejak 2019, menyambut baik keputusan MK tersebut. “Kami berharap dapat melangkaui 30 peratus dan, idealnya, mempunyai lebih ramai wanita dalam jawatan kepimpinan di badan dalaman DPR,” kata Puan, wakil Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), parti terbesar dalam DPR, pada 4 November.

Menurutnya, kepimpinan DPR akan mengadakan perbincangan dengan semua kelompok parti bagi memastikan pelaksanaan keputusan itu berjalan lancar. “Kami akan melaksanakan susulan keputusan MK ini, termasuk membincangkan pelaksanaan teknikalnya di peringkat komisi,” tambah beliau.

Puan turut menegaskan bahawa keputusan itu bukan sekadar angka, tetapi peluang untuk memperkukuh suara wanita dalam bidang dasar awam. “Perwakilan ini mesti disertai peranan strategik bukan sekadar simbolik,” katanya.

Ketua Fraksi Parti Amanat Nasional (PAN), Putri Zulkifli Hasan, turut menyatakan komitmen partinya untuk memberi ruang lebih luas kepada wanita dalam kepimpinan legislatif.
“Kehadiran wanita dalam kepimpinan badan dalaman DPR akan memperluas perspektif legislatif dan membantu menangani isu-isu sosial seperti kesihatan, pendidikan, dan perlindungan keluarga,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau menambah bahawa PAN bersedia menyemak semula peraturan dalaman DPR bagi menyelaraskannya dengan keputusan MK.

Sementara itu, Parti NasDem turut menyokong keputusan tersebut dan menganggapnya sebagai kemajuan undang-undang yang penting. “Hanya segelintir negara yang menetapkan perwakilan wanita secara undang-undang dalam badan legislatif. Indonesia kini termasuk antara yang sedikit itu, dan kita patut berbangga,” kata Willy Aditya dari NasDem.

Parti Golkar, yang mempunyai jumlah kerusi kedua terbanyak di DPR, juga menyatakan kesediaan untuk mematuhi keputusan itu, namun menekankan keperluan meneliti pelaksanaannya dengan berhati-hati. “Kita perlu memastikan agihan perwakilan wanita berlaku secara seimbang dan tidak tertumpu hanya pada beberapa komisi,” kata ahli politik Golkar, Sarmuji.

Aktivis wanita dari Institut Sarinah, Luky Sandra Amalia, memuji sokongan DPR terhadap keputusan MK itu. “Keputusan ini memberi perspektif baharu tentang bagaimana faktor kepimpinan institusi boleh meningkatkan representasi politik wanita,” katanya.

Menurut Luky, langkah ini menandakan perubahan paradigma dari sekadar memperjuangkan kuota calon wanita dalam pilihan raya kepada memastikan wanita turut memimpin di peringkat struktur dalaman DPR. “Ini bukan hanya tentang kuota calon, tetapi tentang memastikan wanita turut memegang jawatan penting dalam komisi dan lembaga,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa sokongan DPR terhadap keputusan ini tidak dapat dipisahkan daripada kepimpinan Puan Maharani sendiri. “Kepimpinan Puan ialah simbol kemajuan representasi wanita di parlimen. Beliau boleh menjadi penggerak utama agar keputusan ini segera dilaksanakan melalui pindaan UU MD3,” katanya.

Luky turut menekankan bahawa keputusan MK ini menjadi momentum penting untuk mengukuhkan kesetaraan gender di parlimen. “Selama ini, anggota legislatif wanita sering ditempatkan di bidang yang dianggap ‘sesuai’ untuk wanita seperti sosial dan pemberdayaan. Sedangkan bidang strategik lain masih dikuasai lelaki,” katanya.

Menurut beliau, penglibatan wanita dalam bidang seperti ekonomi dan pertahanan akan memperluas sensitiviti gender dalam dasar awam. “Keputusan ini bukan hanya berita baik untuk wanita, tetapi juga untuk kesedaran semua pihak tentang pentingnya keadilan gender dalam proses pembuatan dasar,” ujarnya.

Puan sebelum ini turut menyatakan bahawa perwakilan wanita di DPR bagi tempoh 2024–2029 mencapai 21.9 peratus atau 127 daripada 580 anggota, satu peningkatan ketara berbanding tempoh sebelumnya. “Ini pencapaian bersejarah yang patut dihargai, meskipun masih jauh daripada sasaran ideal 30 peratus,” katanya.

Keputusan Mahkamah Perlembagaan itu kini dilihat sebagai langkah tegas memperkukuh keadilan politik dan membuka ruang baharu bagi kepimpinan wanita di Indonesia bukan sekadar di permukaan, tetapi dalam setiap lapisan kuasa legislatif. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg