Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mangsa banjir besar Aceh terputus bekalan elektrik

Dec 11, 2025 | 12:52 PM
Beberapa wanita berjalan di atas jalan yang telah dibersihkan daripada pokok-pokok tumbang selepas banjir kilat melanda Aceh Tamiang di Sumatera Utara pada 10 Disember 2025.
Beberapa wanita berjalan di atas jalan yang telah dibersihkan daripada pokok-pokok tumbang selepas banjir kilat melanda Aceh Tamiang di Sumatera Utara pada 10 Disember 2025. - Foto AFP

ACEH: Usaha memulihkan bekalan elektrik di Aceh dan sebahagian Sumatera Utara terus berdepan cabaran besar selepas banjir besar dan tanah runtuh pada lewat November memusnahkan rangkaian transmisi utama.

Kerja-kerja pembaikan yang dijalankan oleh syarikat tenaga negara, PLN, masih belum mampu menampung sepenuhnya permintaan, menyebabkan beberapa daerah kekal bergelap hampir setiap malam.

Presiden Pengarah PLN, Encik Darmawan Prasodjo, mengakui keadaan kerosakan adalah “luar biasa besar” dan memerlukan pendekatan kecemasan. “Enam menara transmisi di laluan Bireuen–Arun tumbang sepenuhnya. Sungai yang dulunya hanya 80 meter kini melebar hingga 300 atau 400 meter, menghanyutkan menara dan kabel,” katanya dalam sidang media maya bersama Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Encik Bahlil Lahadalia.

Beliau menjelaskan bahawa kerosakan tersebut telah memutuskan aliran elektrik dari loji tenaga Arun ke Banda Aceh, mencetuskan pemadaman bergilir yang kini berlanjutan memasuki minggu kedua. Sementara itu, bekalan simpanan dari loji Nagan Raya masih tidak mampu menampung permintaan yang tinggi di seluruh wilayah.

Gangguan jalan darat akibat runtuhan jambatan dan laluan berlumpur memaksa PLN mengangkut peralatan pembaikan melalui udara dan aset tentera. “Sebanyak 35 tan bahan menara dan 16 tan kabel terpaksa diterbangkan satu persatu dengan helikopter Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan dan Angkatan Udara Indonesia (AU) dan pesawat Hercules kerana tidak boleh dibawa melalui darat,” kata Encik Darmawan.

Beliau menambah, walaupun beberapa talian telah berjaya disambung semula, sistem masih belum stabil.
“Pusat pentadbiran di empat daerah telah kembali mendapat bekalan, tetapi secara keseluruhan Aceh masih belum cukup tenaga. Kami mohon maaf atas situasi ini,” katanya.

Encik Darmawan turut menjelaskan kekeliruan mengenai kenyataan awal bahawa 93 peratus Aceh telah dipulihkan - angka yang diumumkan ketika kunjungan Encik Bahlil di Bireuen. “Itu angka sementara. Realitinya jauh lebih sukar di lapangan,” katanya.

Menurut data PLN hingga 10 Disember, sejumlah 1,234 kampung di Aceh masih belum menerima bekalan elektrik. Kawasan yang paling terjejas termasuk Aceh Tengah, Bener Meriah, Gayo Lues dan Aceh Tamiang.

Di Sumatera Barat dan Sumatera Utara, sebahagian besar kawasan sudah kembali mendapat bekalan, namun pemulihan penuh masih berjalan.

Keadaan semakin tertekan apabila beberapa kawasan turut mengalami kekurangan bahan api. Agensi Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata perbadanan petroleum negara, Pertamina telah menghantar 13,900 kiloliter bahan api melalui kapal tanker ke Meulaboh dan Sibolga untuk diedarkan ke kawasan pedalaman.

Sementara itu, pemulihan komunikasi turut perlahan. Kementerian Komunikasi dan Digital melaporkan hanya 52 peratus daripada lebih 3,400 menara telekomunikasi (BTS) di Aceh yang berjaya diaktifkan semula.

Pada lewat malam 10 Disember, BNPB melaporkan angka korban di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat meningkat kepada 969 orang, dengan 894,501 mangsa dipindahkan dan 252 orang masih hilang.
Gabenor Sumatera Barat, Mahyeldi, telah melanjutkan status darurat selama dua minggu lagi. Aceh dijangka mengambil langkah sama, manakala Sumatera Utara mencadangkan lanjutan darurat di 18 daerah.

Pemimpin tempatan kini mendesak Presiden Prabowo Subianto mengisytiharkan darurat nasional.
Ahli Parlimen Aceh, Muhammad Nasir Djamil, yang melawat kawasan bencana minggu ini berkata:
“Banyak kawasan masih langsung tidak tersentuh bantuan. Keadaan kesihatan, terutama wanita hamil, amat membimbangkan. Makanan asas pun masih tidak mencukupi.”

Beliau menegaskan bahawa nyawa rakyat harus menjadi keutamaan: “Kami harap Presiden tidak teragak-agak mengisytiharkan darurat nasional. Risiko kepada negara tidak boleh mengatasi keperluan menyelamatkan nyawa.”

PLN menyasarkan beberapa kawasan akan menerima bekalan secara berperingkat antara 11 hingga 31 Disember. Penyambungan talian Langsa–Pangkalan Brandan diberi keutamaan kerana rangkaian Aceh kini terasing daripada sistem Sumatera.

Untuk mengurangkan pemadaman bergilir, PLN membawa masuk penjana mudah alih ke kawasan kritikal.
“Kami faham kesusahan rakyat. Seluruh pasukan bekerja sepenuh masa agar Aceh dapat kembali normal secepat mungkin,” kata Encik Darmawan.

Setakat ini, 4,717 kampung telah kembali mendapat bekalan elektrik bersamaan 79 peratus daripada kawasan bencana. Daerah yang sudah pulih sepenuhnya termasuk Aceh Besar, Aceh Selatan, Lhokseumawe, Subulussalam, Langsa, Aceh Singkil dan sebahagian besar Aceh Barat. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg