Indonesia kini mengejar waktu genting dalam usaha untuk menyelamatkan harimau Sumatera yang kini amat terancam.
Satu-satunya subspesies yang masih wujud daripada tiga yang pernah mendiami kepulauan itu, selepas harimau Jawa dan harimau Bali diisytiharkan pupus.
Pencerobohan manusia dan penebangan hutan secara besar-besaran telah menyebabkan penyusutan ketara habitat semula jadi harimau di hutan hujan tropika Sumatera, yang membentang dari utara ke selatan sepanjang banjaran gunung Bukit Barisan.
Pencerobohan manusia atas nama pembangunan ekonomi sering kali mengatasi usaha memulihara hutan yang kaya dengan biodiversiti ini.
Hutan merupakan habitat penting bukan sahaja bagi harimau yang memerlukan kawasan jelajah yang luas dan sumber makanan yang mencukupi, malah untuk spesies lain yang terancam seperti orang utan, badak dan gajah.
“Masa depan harimau Sumatera sangat bergantung pada saiz dan mutu habitatnya yang semakin mengecil.
“Untuk mengurangkan risiko kepupusan, penting untuk mempunyai pendekatan pemuliharaan yang relevan bagi masyarakat tempatan dengan memanfaatkan kesedaran yang telah lama wujud dalam kalangan penduduk asli,” kata Pengarah Eksekutif, kumpulan pemuliharaan alam Yayasan Belantara, Dr Dolly Priatna, kepada Berita Harian.
Harimau Sumatera merupakan salah satu daripada enam subspesies harimau yang masih hidup di dunia, dan kini dikategorikan sebagai “sangat terancam” dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN).
Ini senarai rasmi yang menilai status pemuliharaan dan risiko kepupusan spesies di peringkat sejagat.
Status itu bermakna harimau Sumatera berisiko tinggi untuk pupus jika tiada tindakan pemuliharaan yang berkesan diambil segera.
Sempena sambutan Hari Harimau Sedunia yang diadakan setiap 29 Julai bagi meningkatkan kesedaran tentang usaha pemuliharaan, dan dengan tema 2025 menekankan keharmonian antara manusia dengan harimau, Dr Dolly berkata mempromosikan kisah serta kepercayaan tempatan dapat memainkan peranan penting dalam membentuk sikap dan tingkah laku yang menyokong pemuliharaan hutan dan hidupan liar.
Penduduk yang tinggal di kaki Gunung Kerinci di wilayah Jambi memandang tinggi harimau sebagai lambang semangat pahlawan nenek moyang mereka.
Harimau besar yang sukar ditemui itu dianggap sebagai pelindung hutan dan manusia kerana dipercayai telah mendiami hutan Kerinci sebelum manusia.
Penduduk tempatan turut mengelak daripada menyebut perkataan “harimau” jika mereka terserempak dengannya di hutan dan akan memanggil harimau menggunakan gelaran tempatan yang hormat seperti yang digunakan untuk tokoh tua yang dihormati.
Menurut Ketua Majlis Adat di kampung Nenek Empat Betung Kuning Hiang dalam daerah Kerinci, Jambi, Encik Candra Purnama, adalah dianggap tidak sopan bagi penduduk untuk menyebut perkataan ‘harimau’ sewenang-wenangnya apabila mereka berada di dalam hutan.
“Sebelum masuk ke hutan, kami mesti berdoa, menjaga kata-kata dan tingkah laku kami.
“Kami percaya harimau mempunyai perjanjian dengan nenek moyang kami untuk melindungi hutan.
“Jika ia muncul di kampung, kami akan melakukan upacara untuk mengekalkan hubungan damai,” kata Encik Candra, yang memegang gelaran kehormat adat Rajo Depati.
Penduduk di wilayah Sumatera Selatan juga mempunyai kesedaran serupa, iaitu menempatkan harimau sebagai tokoh nenek moyang yang dihormati dan penjaga manusia, hutan dan ekosistem.
Di Bengkulu, apabila harimau menyerang dan memakan ternakan penduduk, ia dianggap sebagai satu amaran atau balasan akibat perbuatan salah laku manusia yang menyalahi keharmonian dengan alam.
Dalam novel, Tujuh Manusia Harimau, penulis Indonesia, Motinggo Busye, menyingkap kisah berdasarkan cerita rakyat tempatan tentang tujuh manusia yang boleh berubah menjadi harimau dan tinggal di Bukit Sarang Macan, di kampung Ladang Palembang dalam daerah Lebong, Bengkulu.
Penduduk di wilayah Lampung, di hujung selatan Sumatera, terutama mereka yang tinggal berhampiran Taman Negara Bukit Barisan Selatan, mengadakan ritual, ngarak harimau, kononnya untuk memohon izin roh harimau sebelum memasuki hutan, dan amalan sebegini turut dijalankan di kawasan lain di Sumatera.
Harimau juga merupakan tokoh yang dihormati dalam masyarakat tempatan di wilayah Sumatera lain, termasuk Sumatera Utara.
Penduduk tempatan memanggil harimau sebagai ‘Ompung’, iaitu gelaran bagi datuk atau orang tua yang dihormati dalam bahasa etnik Batak.
Manakala di wilayah Sumatera Barat dan Riau, harimau dirujuk sebagai ‘Datuak’ atau ‘Inyiak’ yang mewakili semangat nenek moyang yang dihormati oleh masyarakat tempatan.
Encik Feri Irawan, ketua kumpulan sukarelawan pemuliharaan Kami Sahabat Leuser, merujuk kepada Taman Negara Gunung Leuser yang merentasi Aceh dan Sumatera Utara berkata, mereka telah mengunjungi sekolah di Banda Aceh dan daerah Aceh Selatan sebagai sebahagian daripada program kesedaran untuk mengajar pelajar bahawa memulihara hutan adalah penting bagi melindungi habitat semula jadi harimau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg