Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Media Indonesia: Kepala khinzir ditujukan kepada wartawan tindakan pengganas

Mar 21, 2025 | 3:56 PM
Anggota Persatuan Wartawan Televisyen Indonesia (IJTI), dengan wajah ditutup kotak hitam tertulis “kebebasan media adalah mandat perlembagaan” dan pergelangan tangan dirantai bersama, mengadakan demonstrasi pada 17 Mei 2024 di hadapan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Blitar, wilayah pentadbiran Jawa Timur.
Anggota Persatuan Wartawan Televisyen Indonesia (IJTI), dengan wajah ditutup kotak hitam tertulis “kebebasan media adalah mandat perlembagaan” dan pergelangan tangan dirantai bersama, mengadakan demonstrasi pada 17 Mei 2024 di hadapan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Blitar, wilayah pentadbiran Jawa Timur. - Foto AFP

JAKARTA: Sebuah bungkusan mencurigakan yang mengandungi kepala khinzir yang telah membusuk dihantar ke pejabat pusat majalah berita nasional Tempo di Jakarta Selatan, dipercayai sebagai bentuk ugutan terhadap wartawan mereka, Cik Francisca Christy Rosana.

Paket yang dibungkus dalam plastik hitam itu diterima oleh petugas keselamatan pada 19 Mac petang dan diserahkan kepada Cik Francisca pada 20 Mac selepas beliau dan rakan wartawan Tempo, Encik Hussein Abri Dongoran, pulang dari tugasan lapangan.

“Ada bau busuk sebaik sahaja kotak itu dibuka,” kata Encik Hussein, yang membuka bungkusan tersebut dan menemui bekas polisterin berisi kepala khinzir yang sudah membusuk serta tanpa telinga.

Dalam konteks Indonesia yang majoriti penduduknya beragama Islam, khinzir dianggap haram dan penggunaannya sebagai bentuk ugutan membawa implikasi yang serius, terutama dalam isu sensitiviti agama dan tekanan terhadap media.

Cik Francisca merupakan pengacara podcast politik mingguan Bocor Alus Politik, yang turut menampilkan Encik-encik Hussein, Stefanus Pramono, Raymundus Rikang dan Egy Adyatama. Podcast ini terkenal kerana kupasannya yang tajam terhadap isu-isu semasa dan pendedahan eksklusif, dengan setiap episod meraih ratusan ribu hingga jutaan tontonan di saluran YouTube Tempodotco.

Ketua Pengarang Tempo, Encik Setri Yasra, menyifatkan kejadian ini sebagai cubaan nyata untuk mengganggu kerja kewartawanan.
“Kami menganggap ini sebagai bentuk pengganasan dan usaha menghalang kerja kewartawanan,” katanya kepada media pada 20 Mac.

Insiden ini mendapat kecaman keras daripada Yayasan Lembaga Bantuan Hukum Indonesia (YLBHI), yang mengeluarkan kenyataan rasmi pada hari yang sama.
“Ini menunjukkan bahawa Indonesia masih jauh dari prinsip negara demokrasi yang menjamin kebebasan media,” menurut kenyataan tersebut.

YLBHI juga mendesak agar pemerintah dan pihak Polis Negara segera menyiasat dan mendakwa pelaku serta dalang di sebalik tindakan tersebut.

Di Indonesia, kebebasan media dilindungi di bawah Undang-Undang Pers No. 40 Tahun 1999, yang menjamin wartawan dapat menjalankan tugas tanpa sebarang ancaman atau gangguan.

Sementara siasatan masih berlangsung, komuniti wartawan dan aktivis hak asasi manusia menyeru agar tindakan ini tidak dipandang ringan.
Seorang penyokong kebebasan media dari Gabungan Wartawan Bebas (AJI), Cik Livia Yuliana, berkata:
“Hari ini kepala khinzir, esok mungkin nyawa wartawan yang jadi taruhan. Negara tidak boleh diam.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg