Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dilema Indonesia kendali anak anggota ISIS kembali ke pangkal jalan

Potensi beri ancaman jika tidak diberi perhatian, perlu pendekatan menyeluruh
Dec 24, 2024 | 12:21 PM
Tahanan yang telah dibebaskan sedang bersiap untuk meninggalkan kem Al-Hol dikendalikan oleh pihak Kurdi, yang menempatkan ahli keluarga anggota ISIS di Syria.
Tahanan yang telah dibebaskan sedang bersiap untuk meninggalkan kem Al-Hol dikendalikan oleh pihak Kurdi, yang menempatkan ahli keluarga anggota ISIS di Syria. - Foto AFP

Di kawasan sempit dan sesak seperti kem Al-Hol dan Ar-Roj di Syria, ratusan kanak-kanak Indonesia – lahir di bawah panji hitam ISIS – menanti.

Mereka mangsa yang telah dilupakan dalam perang yang dilancarkan oleh ibu bapa mereka, terperangkap di antara keradikalan dengan pemulihan.

Ketika dunia kembali menumpukan perhatian kepada perang di Syria selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad di tangan kumpulan pemberontak Hayat Tahrir al-Sham (HTS), bara keganasan daripada babak sebelumnya masih belum terpadam: Apa yang harus dilakukan terhadap ribuan ahli keluarga anggota kumpulan ini yang berasal dari negara asing, menuju ke Timur Tengah untuk menyertai barisan ISIS sedekad lalu.

Kebanyakan isteri dan anak-anak mereka ditahan pada awal 2019 ketika ‘khalifah’ yang diisytiharkan sendiri oleh ISIS ditumpaskan.

Sejak beberapa tahun lalu, lebih 30 negara telah memulangkan warganegara mereka ke negara asal, namun ribuan orang masih berada di dua kem pelarian tersebut, dengan keadaannya sangat sukar, dan bayangan ideologi ganas terus berlegar – mengukuhkan kebimbangan bahawa ia menjadi tempat pembiakan generasi baru ISIS.

Keadaan ini diperburuk dengan tindakan ISIS pada zaman kegemilangannya yang mempamerkan anggotanya daripada golongan kanak-kanak, termasuk rakyat Indonesia, sebagai sebahagian daripada kempen propagandanya.

Di Jakarta, kebimbangan ini menimbulkan dilema.

Pada 2020, pentadbiran Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo memutuskan untuk tidak menerima rakyat Indonesia yang telah memilih untuk menyertai ISIS di Timur Tengah.

Namun, bagaimanakah dengan anak-anak kecil yang tiada suara dalam keputusan ibu bapa mereka?

Kanak-kanak tersebut bukan sekadar mangsa fahaman ekstremisme; malah mereka juga berpotensi menjadi ancaman jika dibiarkan tanpa perhatian.

Bagi Indonesia, tugas ini jelas tetapi penuh cabaran: Bagaimanakah membawa mereka pulang di tengah pergolakan baru di Syria dan memastikan mereka tidak membawa bayang-bayang peperangan ke masa depan?

Jawapannya terletak pada pendekatan menyeluruh dan pelbagai aspek menangani trauma psikologi mereka, menyediakan pendidikan dan memupuk penerimaan dalam masyarakat.

Hanya dengan cara ini, mereka dapat diubah daripada ‘generasi yang hilang’ menjadi generasi pembina keamanan.

Kanak-Kanak Fahaman Ekstremisme

Kita sering dinasihatkan supaya sentiasa berjaga-jaga terhadap musuh.

Tetapi, bagaimanakah jika ‘musuh’ itu seorang kanak-kanak?

Dia tidak memilih kehidupan ini tetapi dilahirkan dalam dunia penuh dengan keganasan, indoktrinasi dan perpindahan yang terpaksa?

Ia realiti yang dialami, terutama di Indonesia, dengan kepulangan kanak-kanak dari wilayah ISIS menimbulkan dilema moral dan keselamatan.

Ambil contoh seorang ibu Indonesia berusia 43 tahun dari Jawa Barat.

Pada September 2024, beliau bersama tiga anaknya – berusia 11, 16 dan 18 tahun – telah dihantar pulang pihak berkuasa Turkey ke Indonesia selepas melarikan diri dari kem Al-Hol di Syria.

Pelarian mereka diatur oleh seorang penyeludup, mengetengah kerumitan diplomasi, keselamatan dan keterdesakan manusia yang melingkari isu kepulangan mereka.

Lebih 500 rakyat Indonesia, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, masih terperangkap di kem-kem serupa.

Ramai kanak-kanak ini, terutama yang lahir antara 2014 dengan 2017, hanya mengenali perang sepanjang hidup mereka.

Bagi mereka, keganasan adalah satu kebiasaan dan doktrinasi telah berakar umbi dalam jiwa mereka.

Jika dibiarkan tanpa perhatian, mereka berisiko menjadi generasi ekstremis yang seterusnya.

Kini, Indonesia menghadapi persoalan genting: Haruskah kanak-kanak ini hanya dilihat sebagai ancaman keselamatan, atau bolehkah mereka dianggap sebagai mangsa yang layak diberi peluang kedua?

Pada 1950-an dan 1960-an, Indonesia pernah menghadapi kesan pemberontakan Darul Islam (DI), gerakan radikal yang bertujuan menubuhkan negara Islam.

Selepas pemberontakan itu ditumpaskan, pemerintah menghadapi dilema serupa: Apakah yang patut dilakukan terhadap anak-anak pemimpin DI?

Indonesia memilih pendekatan untuk tidak menyisihkan mereka.

Ramai kanak-kanak ini diberi peluang pendidikan, malah ada yang melanjutkan pelajaran ke institusi berprestij seperti Universiti Al-Azhar di Mesir.

Salah seorang daripada mereka akhirnya menjadi pengasas bersama parti politik Islam yang demokratik.

Pendekatan ini menyoroti pengajaran penting: Dengan sokongan yang tepat, kanak-kanak yang lahir dalam persekitaran ekstremis boleh menjadi individu produktif, malah membawa transformasi dalam masyarakat.

Namun, cabaran yang dihadapi Indonesia sekarang lebih rumit.

Antara 2015 dengan 2018, 11 remaja Indonesia berusia antara 15 dengan 17 tahun terlibat dalam kes berkaitan pengganasan.

Peranan mereka termasuk meninjau sasaran, membuat bom, dan melakukan serangan.

Mereka semua telah berikrar setia kepada ISIS.

Ini menekankan sifat dua hala kanak-kanak tersebut: Mereka mangsa, tetapi pada masa yang sama, berpotensi menjadi pengganas.

Cabarannya untuk mengimbangkan semula keadaan, memihak kepada pemulihan dan penyepaduan semula ke dalam masyarakat.

Cabaran Pelbagai Peringkat

Menerima semula kanak-kanak ini bukanlah sekadar urusan menempah tiket penerbangan.

Ia proses pelbagai peringkat yang memerlukan perancangan teliti, sumber daya dan kerjasama antara pelbagai sektor.

Langkah pertama ialah penilaian psikologi.

Ramai kanak-kanak ini telah menyaksikan perbuatan mengerikan – hukuman mati di khalayak ramai, pengeboman, dan kehilangan ahli keluarga menerusi keganasan.

Trauma mereka sangat mendalam, dan tanpa campur tangan psikologi yang tepat, mereka berisiko terperangkap dalam kitaran ketakutan, kemarahan, dan ketidakpercayaan.

Namun, perkhidmatan psikologi di Indonesia masih belum bersedia menangani cabaran ini.

Pakar psikologi yang bekerja dalam program pemulihan sering kekurangan pengetahuan khusus yang diperlukan untuk menangani kerumitan keradikalan.

Penilaian yang dijalankan oleh agensi seperti Badan Pencegahan Pengganasan Kebangsaan (BNPT) dan unit antipengganasan Indonesia, Densus 88, sering kali bersifat berpecah belah, menyebabkan kanak-kanak ini menjalani penilaian berulang yang membebankan mereka dan gagal mengenal pasti isu yang lebih mendalam.

Menyembuhkan trauma juga bukan proses sekali sahaja – ia memerlukan campur tangan berterusan dan jangka panjang.

Sesi kaunseling perlu melangkaui perbincangan di permukaan untuk menangani punca ketakutan dan kemarahan.

Selain itu, kaunseling yang dijalankan perlu sensitif terhadap budaya dan disesuaikan dengan pengalaman individu kanak-kanak tersebut.

Pakar psikologi perlu dilatih untuk memahami kerumitan keradikalan dan cara ia mempengaruhi kanak-kanak secara berbeza berbanding orang dewasa.

Tanpa kepakaran ini, ia berisiko menjadi tidak berkesan, atau lebih buruk lagi, memberikan kesan bertentangan.

Seterusnya ialah pendidikan, yang lebih daripada sekadar alat untuk perkembangan akademik.

Ia bantuan bagi kanak-kanak dari tempat yang menghadapi konflik.

Pendidikan melahirkan rasa normal, rutin, dan kestabilan dalam dunia yang penuh dengan ketidakpastian.

Ia juga menawarkan langkah ke hadapan, jauh daripada ideologi ekstremisme.

Laporan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) 2021 menekankan peranan pendidikan dalam mengukuhkan perpaduan sosial dan ketahanan terhadap ideologi radikal.

Bagi Indonesia, ini bermakna bukan sahaja menyediakan akses kepada sekolah bahkan melatih guru untuk menangani keperluan psikologi dan sosial unik kanak-kanak ini.

Guru perlu dilengkapi dengan kemahiran untuk mengenali tanda-tanda trauma dan keradikalan serta memberikan sokongan akademik dan emosi.

Sekolah harus menjadi ruang selamat untuk kanak-kanak belajar, pulih, dan membina semula kehidupan mereka.

Penerimaan Masyarakat

Program pemulihan terbaik sekalipun akan gagal jika masyarakat enggan menerima kanak-kanak ini kembali.

Stigma terhadap mereka yang pulang ke tempat asal amat ketara.

Mereka sering dilihat dengan rasa curiga dan ketakutan, dianggap sebagai ancaman berpotensi daripada mangsa keadaan.

Di sinilah penglibatan masyarakat menjadi genting.

Kempen pendidikan awam diperlukan untuk mengubah pandangan.

Masyarakat perlu bersedia melihat kanak-kanak ini sebagai individu yang layak diberi peluang kedua, bukan sebagai ‘bom’ yang menunggu masa untuk meledak.

Organisasi masyarakat sivil memainkan peranan penting dalam proses ini.

Rangkaian akar umbi mereka dan kepercayaan yang telah terjalin dengan masyarakat setempat menjadikan mereka rakan kongsi yang penting dalam memupuk penerimaan dan empati.

Organisasi tersebut boleh bertindak sebagai perantara antara mereka yang pulang dengan masyarakat, meredakan ketegangan dan membina jambatan penghubung.

Namun, pemerintah tidak boleh menyerahkan tanggungjawab ini sepenuhnya kepada organisasi masyarakat sivil.

Ia perlu bekerjasama rapat dengan organisasi tersebut, menyediakan sumber dan sokongan yang diperlukan untuk melaksanakan misi mereka dengan berkesan.

Pemulihan semula kanak-kanak dari kawasan yang dikuasai ISIS adalah tanggungjawab yang memerlukan kerjasama antara agensi pemerintah, masyarakat sivil, pendidik, pakar psikologi, dengan masyarakat setempat.

Kanak-kanak ini mencerminkan dua realiti: Cabaran dan peluang.

Jika dibiarkan terabai, mereka berisiko menjadi gelombang baru fahaman ekstremisme.

Namun, dengan sokongan yang betul, mereka boleh menjadi ejen kedamaian, ketahanan, dan kepimpinan.

Indonesia kini berada di persimpangan. Keputusan yang diambil hari ini akan membentuk masa depan bukan sahaja untuk kanak-kanak ini, malah kestabilan dan keselamatan jangka panjang negara.

Sebagaimana kata ibu kepada seorang yang telah pulang ke negara asal: 

“Kami mahu peluang untuk memulakan semula.” 

Persoalannya ialah: Adakah Indonesia akan memberikan peluang itu?

Penulis ialah zamil pelawat di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), dan pengasas Institut Membina Keamanan Antarabangsa. Rencana ini kali pertama diterbitkan di ‘The Straits Times’.

Antara cabaran dengan peluang

Pemulihan semula kanak-kanak dari kawasan yang dikuasai ISIS adalah tanggungjawab yang memerlukan kerjasama antara agensi pemerintah, masyarakat sivil, pendidik, pakar psikologi, dengan masyarakat setempat... Jika dibiarkan terabai, mereka berisiko menjadi gelombang baru fahaman ekstremisme.  Namun, dengan sokongan yang betul, mereka boleh menjadi ejen kedamaian, ketahanan, dan kepimpinan. Indonesia kini berada di persimpangan. Keputusan yang diambil hari ini akan membentuk masa depan bukan sahaja untuk kanak-kanak ini, malah kestabilan dan keselamatan jangka panjang negara.
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg