Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri Luar Indonesia redakan spekulasi antarabangsa rakaman Prabowo-Trump

Oct 15, 2025 | 3:01 PM
Menteri Luar Indonesia, rakaman Prabowo-Trump 
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dirakam melalui mikrofon terbuka (hot mic) bertanya kepada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump sama ada beliau boleh bertemu dengan anak Presiden Trump, Encik Eric, ketika kedua-dua pemimpin menghadiri sidang puncak di Mesir yang bertujuan mencapai keamanan berkekalan di Gaza. - Foto TANGKAP LAYAR VIDEO REUTERS

JAKARTA: Menteri Luar Indonesia, Encik Sugiono, menepis dakwaan bahawa perbualan yang ‘bocor’ antara Presiden Prabowo Subianto dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, semasa Sidang Puncak Keamanan Gaza di Sharm El-Sheikh, Mesir, mempunyai kaitan dengan urusan rasmi pemerintah.

Dalam kenyataan pada lewat 14 Oktober, Encik Sugiono menjelaskan bahawa perbualan ringkas yang dirakam melalui mikrofon terbuka atau hot mic itu hanyalah sembang santai tanpa sebarang implikasi dasar atau diplomatik.

“Ia adalah perbualan biasa. Presiden sering berbual secara tidak rasmi dengan pemimpin lain di pelbagai acara antarabangsa,” kata Encik Sugiono.

“Saya fikir hubungan Presiden Prabowo dan Presiden Trump agak rapat, dan mungkin mereka berbicara tentang pelbagai perkara di luar urusan rasmi negara,” tambahnya.

Rakaman video yang disiarkan Reuters pada 13 Oktober menunjukkan Encik Prabowo dan Encik Trump berbual perlahan di belakang podium di luar acara sidang puncak tersebut.

Dalam audio itu, Encik Prabowo dilaporkan menyebut satu kawasan yang digambarkan sebagai “tidak selamat dari segi keselamatan” serta meminta untuk bertemu “Eric”, dipercayai merujuk kepada Encik Eric Trump, Naib Presiden Eksekutif Trump Organization yang merupakan anak Encik Trump.

Encik Eric tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam pentadbiran Encik Trump ketika ini.

Dalam rakaman itu, Encik Prabowo kedengaran bertanya: “Bolehkah saya jumpa Eric?” tanpa menyedari mikrofon masih belum dimatikan.

Encik Trump kemudian menjawab: “Patutkah saya uruskan? Dia anak yang baik. Saya akan minta Eric hubungi awak.”

Encik Prabowo juga menyebut nama ‘Hary’, namun identiti sebenar individu tersebut tidak diketahui.

Beliau turut memberi isyarat akan mencari “tempat yang lebih sesuai” untuk meneruskan perbualan itu.

Rakaman tersebut turut menunjukkan Encik Prabowo kelihatan terbuka untuk bertemu Encik Donald Trump Jr., seorang lagi eksekutif dalam syarikat keluarga Presiden Trump.

Menurut Encik Sugiono, semua perbualan yang berkaitan dengan dasar atau keputusan pemerintah akan disalurkan secara rasmi kepada kementerian berkenaan.

“Jika ada isu tertentu yang memerlukan tindakan lanjut, Presiden pasti akan memaklumkan kepada saya,” katanya.

“Namun, banyak juga perbualan santai yang tidak melibatkan urusan rasmi pemerintah,” ujar Encik Sugiono menegaskan bahawa kejadian tersebut tidak perlu diperbesar atau disalah tafsir.

“Presiden sering berbual dengan pemimpin lain ketika menunggu mesyuarat bermula atau semasa di ruang istirahat. Itu perkara biasa,” tambahnya.

Video berkenaan mencetuskan perbincangan hangat di dalam dan luar negara, terutama kerana Trump Organization memiliki beberapa projek hartanah di Indonesia, termasuk padang golf di luar Jakarta dan resort di Bali yang masih dalam pembangunan.

Namun, penganalisis politik menilai interaksi itu sebagai peluang positif dari segi imej antarabangsa Indonesia.

Pengerusi Jaringan Media Siber Indonesia (JMSI), Encik Teguh Santosa, berkata kejadian tersebut wajar dilihat secara pragmatik.

“Jika dilihat secara peribadi dan realistik, ini sebenarnya pendekatan diplomatik yang bertujuan memperjuangkan kepentingan nasional,” kata Encik Teguh.

“Perbualan antara Presiden Prabowo dengan Trump boleh membuka peluang kerjasama yang menguntungkan bagi pembangunan program presiden di dalam negara.”

Beliau menambah bahawa Encik Prabowo sedang berusaha memperluas rangkaian rakan strategik Indonesia melalui diplomasi aktif.

“Contohnya, hubungan baik dengan Brics, Amerika dan Eropah. Itulah arah yang mesti diambil Indonesia pada masa kini,” ujarnya.

“Kita tidak lagi berada dalam era Perang Dingin. Kini setiap negara perlu menggunakan pendekatan diplomatik demi kepentingan masing-masing tanpa permusuhan.”

Encik Prabowo menghadiri Sidang Puncak Keamanan Gaza bagi mewakili pendirian Indonesia terhadap krisis kemanusiaan di wilayah itu.

Beliau menyeru gencatan senjata segera serta akses kemanusiaan yang lebih luas untuk penduduk Gaza.

Indonesia secara tekal menyokong penyelesaian dua negara dan menggesa kuasa besar dunia, termasuk Amerika Syarikat, untuk membantu mencapai keamanan yang berkekalan antara Israel dengan Palestin.

Meskipun insiden ‘hot mic’ itu mencuri perhatian, Kementerian Luar menegaskan bahawa tumpuan utama lawatan Encik Prabowo kekal pada usaha diplomatik dan kemanusiaan, bukan isu peribadi.

“Yang penting ialah mesej Indonesia untuk perdamaian dan kemanusiaan tetap jelas,” kata Encik Sugiono. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg