JAKARTA: Menteri Transmigrasi, Encik Iftitah Sulaiman Suryanagara, memohon maaf secara terbuka kepada penduduk Pulau Rempang yang telah dipindahkan secara paksa di bawah pentadbiran terdahulu bagi memberi laluan kepada projek nasional ‘Rempang Eco-City’.
Pemindahan besar-besaran ini bermula pada akhir 2023 selepas pemerintah ketika itu, di bawah pimpinan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, mengisytiharkan projek ‘Rempang Eco-City’ sebagai projek strategik nasional.
Langkah itu mencetuskan bantahan hebat daripada penduduk yang enggan berpindah dan menyaksikan pertembungan tegang antara komuniti dengan pihak berkuasa.
“Bagi pihak pemerintah, izinkan saya memohon maaf atas ketidakadilan yang berlaku sebelum ini,” kata Encik Iftitah dalam sidang media di pejabatnya di Jakarta pada 24 Mac.
“Transmigrasi sepatutnya dilakukan secara sukarela. Wajar jika mereka menolak pemindahan tersebut,” tambahnya, lapor Jakarta Globe.
Beliau turut mengakui bahawa pendekatan yang digunakan sebelum ini tidak sensitif terhadap hak dan kesejahteraan masyarakat tempatan.
Menurutnya, pemilikan tanah di Pulau Rempang dikendalikan oleh BP Batam dan ramai penduduk lama dianggap penduduk tanpa izin kerana tidak memiliki dokumen rasmi pemilikan tanah.
Dalam kenyataannya, Encik Iftitah turut berjanji untuk meluangkan Aidilfitri bersama penduduk Rempang, termasuk menyampaikan permohonan maaf secara langsung selepas solat sunat Aidilfitri nanti.
Langkah itu dilihat sebagai usaha membina semula kepercayaan antara pemerintah dan masyarakat yang terkesan.
Konflik memuncak pada September 2023 apabila pihak polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penduduk yang cuba menghalang aktiviti pengukuran dan penandaan sempadan oleh pihak berkuasa tempatan.
Insiden itu mencetuskan kecaman meluas dan membuka semula perbahasan mengenai hak tanah, komuniti asal dan keutamaan pembangunan nasional.
Ketika itu, Ketua Polis Negara, Encik Listyo Sigit Prabowo, menyalahkan penduduk kerana didakwa telah menandatangani perjanjian pampasan terlebih dahulu.
Walaupun wujud penentangan berterusan, ratusan keluarga akhirnya dipindahkan ke Tanjung Banun, kawasan pesisir di selatan Rempang, di mana BP Batam membina rumah baru serta kemudahan asas untuk mereka.
Pulau Rempang yang terletak di selatan Pulau Batam dan berhampiran Singapura meliputi kawasan seluas 17,000 hektar, di mana 10,000 hektar daripadanya diwartakan sebagai kawasan pemuliharaan manakala 7,000 hektar lagi dibuka untuk pembangunan.
Sebahagian besar kawasan ini, sekitar 2,500 hektar dirancang untuk dibangunkan sebagai zon industri utama melalui projek ‘Rempang Eco-City’, yang dijangka menarik pelaburan asing bernilai tinggi.
Antara pelabur utama ialah Xinyi Group, syarikat pengeluar kaca dari China, yang komited melabur sebanyak AS$11 bilion ($14.7 bilion) bagi membina kilang besar di kawasan tersebut.
Walaupun projek ini dijangka dapat merangsang ekonomi dan membuka peluang pekerjaan, ia turut menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk badan hak asasi manusia dan kumpulan masyarakat sivil kerana implikasi sosial dan alam sekitar yang besar.
“Kami sedar akan kesilapan yang telah dilakukan dan akan berusaha memastikan pendekatan masa depan lebih manusiawi dan adil,” kata Encik Iftitah. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg