JAKARTA: Penggunaan semula istilah, ‘Londo Ireng’, oleh Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, bukan sekadar menghidupkan kembali istilah bersejarah era penjajahan Belanda, malah mencetuskan perbahasan mengenai nasionalisme, kedaulatan negara dan kedudukan kritikan dalam demokrasi Indonesia.

Dalam ucapan sempena kemuncak ulang tahun ke-28 Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) pada 23 Julai lalu, Encik Prabowo menggunakan istilah itu bagi menggambarkan individu yang menurutnya lebih mengutamakan kepentingan asing berbanding kepentingan Indonesia.

“’Londo-Londo Ireng’ ini sampai sekarang masih ada. Cuma sekarang mereka memakai pakaian yang lain,” katanya sebelum menyebut wartawan, penganalisis dan pertubuhan masyarakat sivil sebagai contoh kelompok yang didakwanya sering membawa naratif yang memihak kepada kepentingan luar.

Istilah ‘Londo Ireng’ berasal daripada bahasa Jawa, iaitu ‘londo’ yang bermaksud Belanda dan ‘ireng’ bermaksud hitam. Secara literal, ia membawa maksud ‘Belanda Hitam’.

Kenyataan Encik Prabowo segera mencetuskan pelbagai reaksi. Bagi sesetengah pihak, kenyataan itu dianggap kontroversi.

Sebahagian ahli akademik melihatnya sebagai metafora politik yang menegaskan kepentingan nasional, manakala pengamal media dan beberapa penganalisis politik berpendapat istilah berkenaan tidak wajar digunakan terhadap kelompok yang menjalankan fungsi semak dan imbang dalam sistem demokrasi.

Guru Besar Dasar Awam Universiti Brawijaya, Profesor Andy Fefta Wijaya, berkata tafsiran bahawa istilah itu membawa unsur perkauman adalah tidak tepat kerana konteks sebenar ucapan Presiden lebih menjurus kepada sikap dan pemikiran, bukannya identiti seseorang.

“Yang dimaksudkan Presiden bukan individu tertentu atau sesuatu kaum. Ia merujuk kepada sesiapa sahaja yang berfikir dan bertindak dengan mengutamakan kepentingan asing melebihi kepentingan nasional.

“Kritikan itu ditujukan kepada mentaliti, bukannya identiti,” katanya.

Menurut beliau, penggunaan metafora politik yang diambil daripada sejarah bukan perkara baharu dalam politik Indonesia kerana ia sering digunakan untuk mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan mempertahankan kedaulatan negara.

Dalam sejarah Indonesia, istilah “Londo Ireng’ pada asalnya merujuk kepada anggota tentera Afrika Barat yang direkrut oleh pemerintah kolonial Belanda untuk berkhidmat dalam Tentera Diraja Hindia Belanda (KNIL) pada abad ke-19 selepas Perang Jawa berakhir.

Ketika itu, Belanda menghadapi kekurangan anggota tentera selepas berakhirnya Perang Jawa pada 1830 dan mula merekrut ribuan anggota dari Afrika Barat, termasuk wilayah yang kini dikenali sebagai Ghana dan Burkina Faso.

Bagaimanapun, makna istilah itu berubah mengikut perkembangan politik Indonesia.

Lama-kelamaan, maknanya berkembang menjadi simbol kepada individu yang dianggap lebih mengutamakan kepentingan penjajah atau pihak luar berbanding bangsa sendiri.

Pakar komunikasi politik Universiti Muhammadiyah Malang (UMM), Encik Zen Amirudin, berkata istilah itu kini lebih bersifat metafora politik yang membangkitkan memori sejarah kolektif bangsa mengenai pengalaman sejarah ketika sebahagian pihak dilihat membantu kepentingan penjajah.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa dalam konteks demokrasi moden, usaha memperkukuh kedaulatan negara perlu bergerak seiring peranan media, pertubuhan masyarakat sivil dan pelbagai institusi lain dalam menyampaikan pandangan secara bertanggungjawab serta menyumbang kepada tadbir urus yang telus dan berkesan.

Penganalisis politik, Encik Dedi Kurnia Syah, berpandangan istilah ‘Londo Ireng’ lebih sesuai digunakan terhadap individu yang terbukti mengkhianati amanah negara melalui rasuah berbanding mereka yang menyuarakan kritikan terhadap pemerintah.

“Label ‘Londo Ireng’ sebagai analogi kepada pengkhianat lebih sesuai ditujukan kepada mereka yang terbukti melakukan rasuah atau menyalahgunakan kuasa,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Perikatan Wartawan Bebas (AJI), Encik Bayu Wardhana, berkata perbincangan mengenai istilah itu wajar dijadikan ruang untuk memperkukuh persefahaman mengenai peranan media dalam negara demokrasi.

Beliau menegaskan bahawa wartawan menjalankan tugas secara profesional dengan melaporkan fakta kepada masyarakat, selain berperanan sebagai antara institusi semak dan imbang yang menyokong ketelusan serta kebertanggungjawapan dalam pentadbiran negara.

Walaupun menerima pelbagai tafsiran, ramai pemerhati berpendapat penggunaan semula istilah, ‘Londo Ireng’, menunjukkan sejarah masih mempunyai pengaruh besar dalam komunikasi politik Indonesia.

Pengarah Eksekutif Migrant Watch, Encik Aznil Tan, berkata kenyataan Presiden turut menyentuh persoalan mengenai pengaruh asing dalam pembentukan naratif politik dan dasar awam.

Menurut beliau, Encik Prabowo mahu mengingatkan bahawa setiap pandangan atau cadangan dasar perlu dinilai berdasarkan manfaatnya kepada Indonesia, tanpa mengira dari mana ia datang.

Perbahasan yang tercetus selepas ucapan itu juga memperlihat kematangan demokrasi Indonesia apabila masyarakat, ahli akademik dan pelbagai organisasi tampil memberi tafsiran daripada sudut masing-masing.

Bagi sesetengah pihak, istilah itu menjadi peringatan supaya kepentingan nasional sentiasa dijadikan asas dalam membuat keputusan.

Walau apa pun tafsirannya, penggunaan semula istilah berkenaan menunjukkan bahawa sejarah masih memainkan peranan penting dalam membentuk komunikasi politik Indonesia.

Ia turut mencerminkan bagaimana simbol sejarah boleh diberikan nafas baharu bagi menjelaskan cabaran semasa tanpa mengubah mesej asasnya.

Bagi Indonesia, mesej yang cuba diketengahkan melalui istilah, ‘Londo Ireng’, ialah kepentingan mengekalkan semangat nasionalisme dan memastikan setiap dasar, pandangan serta tindakan sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat dan negara.

Perdebatan mengenai istilah itu mungkin akan berterusan.

Ia turut membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami semula sejarah perjuangan Indonesia serta menilai bagaimana pengalaman ‘Belanda Hitam’ yang lampau boleh dijadikan panduan dalam menghadapi cabaran masa depan. – Agensi berita.