Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Operasi cari mangsa feri karam dekat Bali diteruskan

6 disah maut termasuk kanak-kanak; enjin bocor dan cuaca buruk dipercayai punca
Jul 4, 2025 | 10:43 AM
Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi, Jawa Timur, feri karam, bali
Mangsa yang terselamat dalam tragedi feri karam tiba di Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi, Jawa Timur, pada 3 Julai 2025 dengan menaiki feri lain, selepas diselamatkan dan dibawa ke Pelabuhan Gilimanuk di Bali terlebih dahulu. - Foto AFP

GILIMANUK (BALI): Operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi feri, KMP Tunu Pratama Jaya, yang karam di perairan Selat Bali diteruskan pada 4 Julai melibatkan lebih 160 anggota penyelamat termasuk polis, tentera, serta pasukan penyelamat gabungan.

Setakat lewat malam 3 Julai, jumlah korban meningkat kepada enam orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.

Seramai 33 individu berjaya dikeluarkan dari perairan – 27 selamat, manakala enam disahkan meninggal dunia.

“Keadaan ombak di Selat Bali semakin buruk, tetapi operasi pencarian diteruskan.

“Kami berharap mendapat lebih banyak maklumat daripada masyarakat, terutama para nelayan yang aktif di sekitar kawasan pantai Buahan, Gilimanuk,” kata Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Encik Nyoman Sidakarya, pada 4 Julai.

Feri yang dikendalikan oleh PT Raputra Jaya itu membawa 53 penumpang dan 13 anak kapal.

Ia turut membawa 25 kenderaan pelbagai jenis, termasuk 14 trak.

Kapal berlepas dari Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi, pada malam 2 Julai dan mengirim isyarat kecemasan sekitar 12.16 tengah malam 3 Julai, melaporkan kebocoran di ruang enjin.

Tiga minit kemudian, kapal mengalami kegagalan kuasa sepenuhnya, sebelum terbalik dan dihanyutkan ombak.

“Feri tenggelam sangat cepat, hanya dalam beberapa minit selepas ombak kuat melanda.

“Ramai penumpang sempat terjun ke laut dan terapung berjam-jam sebelum diselamatkan,” kata Encik Ribut Eko Suyatno dari Basarnas.

Enam mayat yang kebanyakannya ditemui oleh nelayan telah dibawa ke Rumah Sakit Umum Negara (RSU Negara) dan berjaya dikenal pasti.

Antara yang terkorban ialah Fitri April Lestari, 33 tahun, dan anak lelakinya, Afnan Aqiel Mustafa, tiga tahun, dari Banyuwangi, Jawa Timur.

Mangsa lain termasuk Elok Rumantini, 33 tahun; Eko Sastriyo, 50 tahun; Cahyani, 45 tahun, dan Anang Suryono, 59 tahun – semuanya dari wilayah Jawa Timur.

Kesemua jenazah telah dihantar ke kampung halaman mereka di Ketapang dengan pengiring ambulans.

“Semua sudah dikenal pasti dan sudah diserahkan kepada keluarga di Ketapang,” kata Pengarah RSU Negara, Dr Ni Putu Eka Indrawati.

Menurut Encik Sidakarya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disokong oleh kapal besar KN SAR Arjuna dan sebuah helikopter tentera dari Atang Sanjaya.

Kawasan pencarian kini tertumpu ke arah selatan dari lokasi kejadian, berdasarkan arus laut dan kedudukan mangsa terdahulu ditemui.

“Ombak mencecah tiga hingga empat meter menurut maklumat dari salah seorang kru yang terselamat,” katanya.

“Kebanyakan penumpang adalah rakyat Indonesia. Saya bersama ayah saya. Ayah saya telah meninggal dunia,” kata seorang mangsa yang terselamat, Encik Eka Toniansyah, kepada media di sebuah hospital di Bali.

Sebelum ini, usaha awal untuk sampai ke lokasi kejadian terganggu akibat cuaca buruk.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat, Encik Mohammad Syafii, berkata operasi dihentikan pada malam 3 Julai disebabkan masalah penglihatan dan keadaan laut bergelora dan ia disambung semula pagi 4 Julai.

Gelombang setinggi 2.5 meter serta angin kencang dan arus deras menyukarkan operasi menyelamat, namun keadaan kini dilaporkan semakin pulih

“Kami masih menunggu maklumat tambahan daripada masyarakat, khususnya nelayan yang beroperasi di sekitar Pantai Pebuahan dan kawasan perairan Negara,” jelas Encik Sidakarya.

Menurut beliau, pihaknya tidak bertanggungjawab ke atas isu perbezaan jumlah sebenar penumpang berbanding data yang diberikan.

“Tugas kami adalah mencari, menyelamat, dan mengurus evakuasi,” tegasnya.

Pasukan penyelamat kini menumpukan operasi pencarian di permukaan air, namun tidak menolak kemungkinan terdapat mangsa yang terperangkap di dalam feri.

Presiden Indonesia Prabowo Subianto, yang sedang berada di Arab Saudi telah mengarahkan respons kecemasan segera, manakala siasatan terhadap punca kejadian sedang dijalankan.

Setiausaha Kabinet, Encik Teddy Indra Wijaya, berkata punca nahas disebabkan oleh cuaca yang buruk.

Kebakaran enjin dan cuaca buruk adalah antara faktor yang sedang diteliti. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg