Topik diikuti
Pergi ke BHkuPakar: Gunung Anak Krakatau pendam bahaya lebih besar
Timbulkan persoalan sama ada sejarah letusan dahsyat Krakatau pada 1883 bakal berulang
Pakar: Gunung Anak Krakatau pendam bahaya lebih besar
Gangguan perjalanan yang menjejas lapan lapangan terbang di Indonesia baru-baru ini akibat letusan Gunung Anak Krakatau pada 4 September menimbulkan persoalan sama ada sejarah bakal berulang.
Letusan itu berterusan selama 25 jam sejak lewat malam dan memuntahkan abu gunung berapi sehingga setinggi 200 meter.
Gunung yang menjadi pendahulu Anak Krakatau, Krakatau, meletus pada 1883 dan menyebabkan kemusnahan besar di peringkat sejagat.
Ia disenaraikan sebagai antara letusan gunung berapi paling maut dalam sejarah.
Rekod menunjukkan letusan Krakatau pada Ogos 1883 di Selat Sunda, antara dua pulau utama Indonesia, Sumatera dan Jawa, mencetuskan tsunami setinggi 42 meter yang mengorbankan sekitar 36,000 orang – ketika penduduk di kedua-dua pulau itu jauh lebih sedikit berbanding sekarang.
Letusan itu turut menyebabkan suhu sejagat turun 0.5 darjah Celsius dan mengambil masa lima tahun untuk kembali ke paras biasa.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyenaraikan letusan Krakatau sebagai letusan gunung berapi ketiga paling maut di dunia sejak 1500.
Dua lagi gunung berapi Indonesia, Gunung Tambora dan Gunung Kelud, masing-masing berada di tempat keempat dan ketujuh dalam senarai tujuh letusan paling maut.
Gunung Tambora di Pulau Sumbawa meletus pada 1815 dan mengorbankan 92,000 orang, manakala letusan Gunung Kelud di Jawa Timur pada 1586 meragut 10,000 nyawa.
Tragedi tsunami pada akhir Disember 2018 juga masih segar dalam ingatan.
Tsunami itu melanda pantai wilayah Banten dan Lampung di kedua-dua sisi Selat Sunda selepas Anak Krakatau meletus.
Dianggarkan sekitar 64 hektar bahagian barat daya gunung itu runtuh ke laut, mencetuskan tsunami yang mengorbankan lebih 200 orang.
Pakar gunung berapi terkemuka Indonesia, Encik Surono, berkata Anak Krakatau, yang mula muncul secara beransur-ansur dari laut sekitar 1930 di lokasi bekas Gunung Krakatau, terus “membesarkan dirinya” menerusi letusan demi letusan.
Ketinggiannya kini mencapai 157 meter dari paras laut, jauh lebih rendah berbanding sekitar 338 meter sebelum letusan 2018 dan keruntuhan sebahagian lerengnya.
“Gunung berapi ini membesarkan dirinya dengan setiap letusan.
“Ketika letusan berlaku, ketulan besar bahan gunung berapi yang dimuntahkan jatuh di kawasan sekitarnya dan terus bertimbun, menyebabkan gunung itu semakin tinggi,” kata bekas Ketua Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) itu kepada Berita Harian ( BH) pada 9 September.
“Bahan yang ringan dan halus seperti abu gunung berapi boleh dibawa angin dan kekal terapung di udara, sekali gus berpotensi memasuki enjin pesawat dan merosakkannya.
“Keadaan ini lebih membimbangkan kerana kita kini berada dalam musim kemarau dan tiada hujan yang boleh membantu mengurangkan kepekatan abu gunung berapi di udara,” tambah beliau.
Susulan letusan itu, pihak berkuasa Indonesia pada 6 September menghentikan operasi di lapan lapangan terbang di wilayah sekitar yang terjejas oleh abu gunung berapi.
Ia termasuk dua lapangan terbang utama di Jakarta dan Banten yang menjadi hab penerbangan antarabangsa dan domestik.
Ribuan penerbangan antarabangsa dan domestik tidak dapat beroperasi, menyebabkan ratusan ribu penumpang terkandas.
Semua lapangan terbang berkenaan kembali beroperasi pada 8 September.
Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Encik Berton Panjaitan, berkata pemantauan meteorologi menunjukkan abu gunung berapi bergerak ke arah Lautan Hindi, menyebabkan Lampung, Jawa Barat, Banten dan Jakarta semakin kurang terjejas.
Status Anak Krakatau dinaikkan ke Tahap Tiga, iaitu tahap amaran kedua tertinggi, sejak 2 Julai.
Ahli geologi berkata gunung berapi itu dijangka terus meletus dan memuntahkan bahan yang akan terus bertimbun, sekali gus menyebabkan ketinggiannya bertambah.
“Ia membimbangkan kerana letusan dengan kekuatan yang sama boleh membawa kesan lebih buruk.
“Kesannya juga bergantung pada arah angin, yang boleh membawa abu gunung berapi ke kawasan berpenduduk padat serta lokasi kemudahan strategik dan penting seperti lapangan terbang dan kawasan perindustrian,” kata Encik Surono.
Menteri Pengangkutan Indonesia, Encik Dudy Purwagandhi, berkata pembukaan semula lapangan terbang secara berperingkat dibuat berdasarkan pemeriksaan pihak berkuasa lapangan terbang dan syarikat penerbangan terhadap semua pesawat.
Juruterbang dan kru penerbangan juga perlu mengetahui kawasan ruang udara larangan yang dikenal pasti mengandungi abu gunung berapi dan diisytiharkan sebagai kawasan larangan oleh pihak berkuasa penerbangan.
Pengerusi Ikatan Juruterbang Indonesia (IPI), Kapten Muammar Reza Nugraha, berkata abu gunung berapi merupakan ancaman serius kepada penerbangan dan tidak semestinya dapat dilihat dengan mata kasar.
Partikel yang dibawa angin jauh dari gunung berapi boleh kekal terapung pada altitud penerbangan pesawat.
Oleh itu, kru penerbangan tidak boleh bergantung hanya pada pemerhatian visual untuk menentukan sama ada sesuatu ruang udara selamat dilalui.
Menurut Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (Icao), abu gunung berapi terdiri terutamanya daripada partikel kaca gunung berapi yang keras dan tajam, batuan yang hancur serta bahan silikat.
Sifatnya yang sangat kasar boleh merosakkan pelbagai bahagian pesawat.
“Berdasarkan ciri-ciri ini, pesawat pada dasarnya perlu mengelakkan daripada bertembung dengan awan abu gunung berapi,” jelas Kapten Muammar kepada BH dalam kenyataan bertulis.
Beliau berkata bahayanya bukan sekadar pesawat “terbang melalui debu”.
Partikel abu boleh menjejas enjin pesawat, sistem penerbangan, sensor, tingkap kokpit, sistem tekanan kabin dan juga permukaan landasan.
Abu gunung berapi juga tidak boleh dianggap sebagai gangguan kecil terhadap prestasi enjin kerana dalam keadaan tertentu, pesawat yang memasuki awan abu boleh berdepan kecemasan ketika dalam penerbangan.
Pengarah Teknikal Analisis dan Pencegahan Kemalangan IPI, Kapten Teguh Kristiono, berkata orang ramai juga perlu memahami bahawa abu gunung berapi bukan debu biasa kerana ia boleh menyebabkan kerosakan serius pada enjin dan sistem pesawat.
“Kami menggesa orang ramai mempercayai keputusan keselamatan yang dibuat juruterbang, pengendali penerbangan, penyedia perkhidmatan pengemudian udara dan pihak berkuasa penerbangan berdasarkan maklumat yang tersedia serta prosedur yang ditetapkan.
“Pengalihan dan pembatalan penerbangan perlu dilakukan sebagai langkah mengurangkan risiko akibat kegiatan gunung berapi. Ia tidak bermakna sistem penerbangan tidak mampu menangani keadaan sedemikian,” tambah Kapten Teguh.
