Panik beli bahan api di Sumatera selepas kenyataan menteri mengenai stok minyak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Panik beli bahan api di Sumatera selepas kenyataan menteri mengenai stok minyak

Mar 9, 2026 | 12:09 PM

Panik beli bahan api di Sumatera selepas kenyataan menteri mengenai stok minyak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Indonesia, Sumatera, bahan api, minyak, bekalan, petrol, gas, perang, war, Israel, Iran, United States, Middle East, Pertamina
Barisan kenderaan dilaporkan mencecah sehingga satu kilometer di beberapa stesen minyak di Aceh dan Sumatera Utara selepas orang ramai berpusu-pusu mengisi bahan api susulan kebimbangan mengenai kemungkinan kekurangan bekalan. - Foto INSTAGRAM SUMATERAPANIKMINYAK

MEDAN: Beberapa wilayah di Aceh dan Sumatera Utara menyaksikan fenomena panik membeli bahan api dalam beberapa hari kebelakangan ini selepas kenyataan Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Encik Bahlil Lahadalia, mengenai tahap stok bahan api negara mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Keadaan itu berlaku selepas Encik Bahlil pada 4 Mac memaklumkan bahawa Indonesia mempunyai simpanan bahan api yang mencukupi untuk kira-kira 21 hari berikutan konflik bersenjata antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran.

Kenyataan tersebut kemudian tersebar secara meluas melalui mesej berantai di aplikasi pesanan dan media sosial, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai tentang kemungkinan kekurangan bahan api.

Akibatnya, penduduk di beberapa bandar utama di Sumatera Utara seperti Medan dan Tebingtinggi, serta daerah Deli Serdang dan Serdang Bedagai, dilaporkan berpusu-pusu ke stesen minyak untuk mengisi tangki kenderaan mereka.

Situasi yang sama turut berlaku di beberapa kawasan di Aceh.

Di beberapa stesen minyak di Sumatera Utara, barisan kenderaan dilaporkan mencecah ratusan meter dari 4 Mac hingga hujung minggu 8 Mac apabila orang ramai masih berebut mendapatkan petrol dan diesel.

Bagaimanapun, Encik Bahlil menegaskan bahawa bekalan tenaga Indonesia masih berada dalam keadaan stabil walaupun konflik di Asia Barat semakin memuncak.

Beliau berkata pemerintah telah menjangka kemungkinan gangguan terhadap bekalan tenaga global dan mengambil langkah untuk memastikan stok minyak negara kekal mencukupi.

Menurut beliau, kapasiti simpanan minyak mentah Indonesia mampu menampung kira-kira 25 hari penggunaan nasional, manakala tahap minimum keselamatan adalah melebihi 20 hari.

“Paras minimum keselamatan adalah lebih daripada 20 hari. Pada masa ini, simpanan minyak kita berada sekitar 23 hari, yang bermakna bekalan masih berada dalam keadaan selamat,” katanya di Jakarta.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik.

“Tidak perlu panik membeli bahan api. Bekalan masih stabil,” katanya.

Encik Bahlil menjelaskan bahawa walaupun Indonesia masih bergantung sebahagiannya kepada import minyak mentah, hanya sekitar 20 hingga 25 peratus bekalan datang dari Asia Barat.

Untuk mengurangkan risiko geopolitik, pemerintah dan syarikat tenaga negara, Pertamina, telah mengenal pasti beberapa sumber alternatif seperti Amerika Syarikat, Nigeria dan Brazil.

Beliau juga berkata bekalan diesel di Indonesia dihasilkan sepenuhnya dalam negara, manakala sebahagian besar import petrol datang dari hab tenaga serantau seperti Singapura dan Malaysia.

“Kami terus memperkukuh industri penapisan minyak domestik bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import pada masa depan,” katanya.

Walaupun pemerintah memberi jaminan bekalan mencukupi, khabar angin mengenai kemungkinan kekurangan bahan api menyebabkan barisan panjang terbentuk di banyak stesen minyak.

Di Labuhanbatu, Sumatera Utara, kenderaan dilaporkan berbaris hampir satu kilometer di sebuah stesen minyak apabila pemandu bergegas mengisi tangki mereka.

Sebahagian pemandu berkata mereka terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan bahan api, sekali gus menjejaskan kegiatan harian.

Pengurus sebuah stesen minyak di Rantauprapat, Encik Muhammad Nur Salsabi, berkata lonjakan permintaan itu berpunca daripada pembelian panik, bukan kekurangan bekalan.

“Stok bahan api sebenarnya mencukupi. Kami menerima bekalan diesel dan petrol setiap hari mengikut permintaan,” katanya.

Barisan panjang juga dilaporkan berlaku di beberapa bandar lain seperti Malang dan Jember di Jawa Timur, selain di beberapa daerah di Aceh.

Seorang penduduk Aceh, Encik Saiful Kamar, berkata ramai orang beratur hanya kerana melihat orang lain melakukan perkara yang sama.

“Dalam masyarakat kita, ramai yang ikut orang lain. Bila nampak orang beratur, mereka turut beratur kerana bimbang bahan api akan habis,” katanya kepada agensi berita Antara.

“Padahal sebenarnya stok Pertamina masih mencukupi.”

Pegawai dari Pertamina Patra Niaga, bahagian pengagihan bahan api Pertamina, turut menegaskan bahawa bekalan petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) masih stabil di seluruh negara.

Pengurus komunikasi Pertamina Patra Niaga bagi wilayah Sumatera Utara, Cik Fahrougi Andriani Sumampouw, meminta orang ramai supaya tidak mempercayai maklumat tidak sahih yang tersebar di media sosial.

“Bekalan tenaga terus dipastikan supaya dapat diagihkan dengan baik kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Pertamina telah menyediakan langkah berjaga-jaga untuk menghadapi peningkatan permintaan bahan api menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Encik Bahlil berkata pemerintah Indonesia akan terus memantau perkembangan konflik di Asia Barat kerana ia berpotensi menjejaskan pasaran tenaga global. Namun beliau memberi jaminan bahawa bekalan tenaga negara akan terus dipastikan stabil walaupun ketegangan geopolitik semakin meningkat.

“Walaupun berlaku perang di Asia Barat, bekalan tenaga kita masih selamat,” katanya.

“Orang ramai perlu bertenang dan tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak benar.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg