SERAM, INDONESIA – Di Pantai Ora, Pulau Seram, dikelilingi tumbuhan tropika dan tebing batu kapur yang dramatik, airnya sejernih akuarium dan tiada bayangan pengaruh media sosial. Ia memberikan pengalaman setaraf Maldives tetapi pada harga yang jauh lebih rendah.
Namun kira-kira 1,600 kilometer dari situ, Bali masih menjadi tumpuan utama pelancongan negara. Kesibukan trafik, pencemaran bunyi motosikal dan longgokan sampah plastik menenggelamkan keindahan serta kedamaian spiritual pulau itu.
Itulah tempat yang menjadi taruhan utama pemerintah Indonesia. Dengan pelbagai rancangan termasuk menjadikan Bali hab pejabat keluarga, pusat eksport rumpai laut dan pelancongan perubatan tumpuan masih berpusat di satu lokasi.
Presiden Prabowo Subianto sendiri merasmikan Zon Ekonomi Khas Sanur pada Jun lalu untuk membangunkan sektor pelancongan kesihatan. Namun pendekatan ini kini dipersoal. Kadar pertumbuhan ekonomi Bali menurun, sementara perbelanjaan pelancong semakin merosot.
“Adakah Indonesia sedang mensia-siakan potensi pelancongannya? Dalam banyak hal, ya – bukan kerana kekurangan keindahan semula jadi,” kata Dr Samer El Hajjar dari Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS) kepada Bloomberg. “Isunya ialah pelaksanaan. Ada jurang antara potensi dan dasar.”
Pemain pelancongan dari wilayah lain kini bersuara. Encik Irfan Muddin, pengusaha Ora Sunrise View Resort sejak 2018, telah lama merayu agar kemudahan pengangkutan ditambah di wilayah Maluku.
“Sebuah lapangan terbang boleh dibina di Pulau Seram untuk membolehkan penerbangan terus dalam dan luar negara,” katanya. Beliau juga mencadangkan agar tambang penerbangan domestik diturunkan. Kementerian Pelancongan tidak memberikan sebarang komen ketika diminta.
Selepas sempadan dibuka semula pasca-pandemik, Bali kembali popular khususnya selepas ditampilkan dalam filem Eat, Pray, Love pada 2010. Pada 2024, hampir separuh daripada 13.9 juta pelancong asing ke Indonesia memilih Bali.
Dari pulau pertanian yang tenang, Bali kini menjadi pusat hiburan malam dan pelancongan mewah. Vila mewah boleh mencecah harga AS$3,000 ($3,890) semalaman, sementara penginapan bajet serendah AS$20 juga wujud.
Namun ledakan ini tidak membawa keuntungan jangka panjang. Pertumbuhan ekonomi Bali menurun daripada 5.7 peratus pada 2023 kepada 5.5 peratus pada 2024, sebahagiannya akibat kemerosotan perbelanjaan pelancong asing terutamanya dari China, yang kini hanya sepertiga berbanding tahun 2019.
Bali kini menjadi mangsa kejayaannya sendiri. Trafik sesak, pembangunan vila mewah dan penggunaan air berlebihan mengancam ekosistem serta kuil Hindu yang menjadi tunjang budaya pulau itu.
Lebih 65 peratus bekalan air Bali disalurkan ke resort dan kolam mandi, menyebabkan kampung-kampung terpaksa bergantung kepada air bawah tanah.
Di Pantai Ora pula, ribuan kelawar muncul dari gua setiap 6.20 petang. Pengunjung boleh melihat lumba-lumba dan penyu timbul ke permukaan. Namun, kekurangan infrastruktur menyukarkan akses.
Tiada lapangan terbang, dan pelancong perlu melalui perjalanan hampir tujuh jam dari Jakarta, termasuk penerbangan ke Ambon, feri ke Seram dan perjalanan darat.
Feri ke pulau itu juga terhad kepada dua perkhidmatan sehari, yang sering melebihi kapasiti. Di Indonesia, kejadian bot karam bukanlah perkara luar biasa.
Begitu juga dengan destinasi lain seperti Danau Toba tasik gunung berapi terbesar dunia dan Raja Ampat di Papua, yang menempatkan ekosistem terumbu karang paling pelbagai. Tiada penerbangan antarabangsa ke kedua-dua lokasi.
Bagaimanapun, ada usaha ke arah perubahan. Lapangan Terbang Labuan Bajo - pintu masuk ke habitat komodo diperluas pada 2022 dan kini menerima penerbangan dari Malaysia dan Singapura. Kafe dan restoran yang mirip gaya Bali tumbuh pesat dan pelancong meningkat tiga kali ganda berbanding 2016.
Namun, cabaran bukan hanya jangka pendek. Kos peluang akibat kelewatan pembangunan pelancongan di kawasan luar bandar akan meningkat, kata pakar Ekonomi Kanan Asean dari OCBC, Cik Lavanya Venkateswaran.
Indonesia kini jauh ketinggalan berbanding Thailand dan Vietnam yang menawarkan lebih banyak pilihan pelancongan serta infrastruktur yang lebih cekap. “Untuk benar-benar bersaing, Indonesia perlu bertindak seperti sebuah persekutuan pelancongan – memperkasakan wilayah untuk membangunkan destinasi unik dalam satu kerangka kebangsaan,” ujar Dr El Hajjar.
“Potensinya memang ada.”
Beliau menambah, kehendak politik yang lebih kuat dan koordinasi lebih baik diperlukan, berserta pemikiran pelancongan yang melihat Indonesia bukan sebagai satu lokasi tunggal, tetapi gugusan pengalaman luar biasa yang menanti untuk diterokai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg