Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek lapangan terbang antarabangsa baru di Bali utara tertangguh

Jul 10, 2025 | 3:49 PM
Gambaran reka bentuk pandangan udara Lapangan Terbang Antarabangsa Bali Utara memperlihatkan pembangunan berskala besar di kawasan pesisir Kubutambahan, Buleleng
Gambaran reka bentuk pandangan udara Lapangan Terbang Antarabangsa Bali Utara memperlihatkan pembangunan berskala besar di kawasan pesisir Kubutambahan, Buleleng - Foto PT Bandara Internasional Bali Utara (BIBU)

DENPASAR: Hampir sedekad selepas ia dicadangkan, rancangan untuk membina lapangan terbang antarabangsa baru di Bali utara masih berada dalam ketidakpastian. Tiada lokasi rasmi atau tarikh pembinaan ditetapkan, walaupun pemerintah menjanjikan akan mempercepatkan projek besar ini.

Pengarah Besar Pengangkutan Udara, Kementerian Pengangkutan, Cik Endah Purnamasari, menjelaskan bahawa kementerian mempunyai kuasa menentukan lokasi baru itu. Namun, mereka memerlukan beberapa dokumen penting sebelum sesuatu tapak diluluskan.

“Pentadbiran Bali telah mencadangkan lokasi, tetapi kami masih memerlukan kajian kebolehlaksanaan lokasi, pelan induk lapangan terbang, surat cadangan daripada gabenor dan pemimpin tempatan serta surat komitmen daripada pemaju projek untuk menyediakan tanah seperti yang disyaratkan,” katanya seperti dilaporkan Kompas.com.

Pernyataan itu susulan pengumuman PT BIBU Panji Sakti, pemaju projek, yang menjangkakan pecah tanah boleh bermula pada 2025. Pengarah Presiden syarikat, Encik Erwanto Sad Adiatmoko, berkata bahawa kementerian sedang menyiapkan dokumen rasmi tapak lapangan terbang.

Encik Erwanto menjelaskan kos keseluruhan projek dianggarkan AS$3 billion (S$3.83 billion), merangkumi lapangan terbang dan infrastruktur sokongan, pembangunan bandar sekitar, dan pembangunan kawasan yang lebih luas. Semua pembiayaan akan melalui pelaburan China tanpa menggunakan peruntukan dari bajet negara.

Pada November 2024, PT BIBU menandatangani Surat Hasrat Perjanjian dengan syarikat pembinaan China, ChangYe Construction Group, untuk mempercepat pembinaan. Encik Erwanto mendakwa projek itu telah mendapat pelaburan AS$3 bilion dan dijangka siap menjelang 2027.

Namun dakwaan ini dipertikaikan apabila Gabenor Bali, Encik Wayan Koster, mempersoalkan sumber pembiayaan projek tersebut. “PT BIBU hendak membina, tetapi dari mana wangnya?” soal Encik Koster selepas mesyuarat pemerintah negeri Bali. Beliau juga menyatakan tiada maklumat rasmi daripada pemerintah pusat tentang projek ini.

Menteri Pemerkasaan Sosial, Encik Muhaimin Iskandar, berkata Presiden Prabowo Subianto telah memberikan kelulusan terhadap projek tersebut. “Kami telah mendapat kelulusan Presiden. Segala persiapan teknikal telah lengkap, dan kami komited untuk merealisasikan Lapangan Terbang Bali Utara tidak lama lagi,” katanya dipetik Antaranews.

Rancangan untuk Lapangan Terbang Bali Utara mula dicadangkan pada 2015 oleh bekas Gabenor I Made Mangku Pastika. Projek ini telah disertakan dalam Rancangan Pembangunan Jangka Menengah Nasional 2025–2029, dengan cadangan pembinaan di sebuah pulau buatan seluas 900 hektar berhampiran Kubutambahan, Daerah Buleleng. Lapangan terbang ini direka untuk menampung sehingga 50 juta penumpang setahun.

Selain lapangan terbang, pembangunan itu bakal merangkumi hab metropolitan baru, hotel bertaraf lima bintang, dewan konvensyen dan kompleks industri filem dikenali sebagai “Baliwood”.

Ia turut bakal disokong oleh infrastruktur besar seperti lebuh raya tol sepanjang 60 kilometer dari Kubutambahan ke Mengwi, dan cadangan landasan kereta api yang menghubungkan lapangan terbang baharu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali selatan.

Projek ini dijangka dapat merapatkan jurang ekonomi dan pelancongan antara kawasan utara dan selatan Bali. Kawasan selatan seperti Kuta, Canggu dan Jimbaran terus menarik lebih ramai pelancong, sedangkan utara seperti Buleleng kurang dibangunkan.

Daripada 16.3 juta pelancong yang melawat Bali pada 2024, hanya kira-kira 600,000 menuju ke Buleleng.

Lapangan Terbang Bali Utara juga dirancang bagi mengurangkan beban Lapangan Terbang Ngurah Rai yang telah hampir mencapai kapasiti maksimum yang kini mengendalikan kira-kira 32 juta penumpang setahun, dan dijangka penuh antara 2029–2030.

Respons penduduk tempatan terhadap projek ini bercampur-baur. Ada yang menyambut baik potensi manfaat ekonomi, sementara yang lain membimbangkan kesannya terhadap alam sekitar dan budaya Bali, yang sudah menghadapi isu pelancong berlebihan dan pembangunan berlebihan.

Pada April 2025, Bupati (ketua Daerah) Buleleng, Encik Nyoman Sutjidra, menekankan keperluan kajian kesan alam sekitar, sosial, dan budaya yang menyeluruh sebelum projek diteruskan.

Para pengkritik meragui kesesuaian projek ini, memetik pengalaman projek lapangan terbang lain di Kertajati (Jawa Barat) dan Dhoho (Jawa Timur) yang mahal namun kurang digunakan sejak siap dibina. - The Jakarta Post

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg