Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parlimen Indonesia dijangka lulus perjanjian sempadan maritim dengan Vietnam

May 1, 2025 | 6:04 PM
Bangunan Parlimen Indonesia berdiri megah dengan latar belakang kaki langit di Jakarta, Indonesia, 25 April 2025.
Bangunan Parlimen Indonesia berdiri megah dengan latar belakang kaki langit di Jakarta, Indonesia, 25 April 2025. - Foto REUTERS

JAKARTA: Parlimen Indonesia dijangka meluluskan perjanjian penetapan sempadan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) antara negara itu dan Vietnam di Laut China Selatan pada minggu depan, menurut seorang ahli parlimen pada 1 Mei.

Laut China Selatan merupakan laluan perairan strategik yang sering menjadi punca ketegangan antara China dan negara-negara Asia Tenggara, termasuk gangguan terhadap aktiviti perikanan dan penerokaan tenaga.

Encik Nico Siahaan, ahli parlimen yang menganggotai suruhanjaya parlimen yang menyelia perjanjian tersebut, memberitahu Reuters bahawa parlimen dan kerajaan akan bersetuju untuk meluluskan perjanjian itu secara rasmi pada Isnin, 5 Mei dengan ratifikasi sebenar dijangka berlaku dalam minggu tersebut atau minggu berikutnya.

Perjanjian itu ditandatangani pada tahun 2022 selepas lebih sedekad rundingan, dan menetapkan koordinat ZEE kedua-dua negara di laut. Parlimen Vietnam juga perlu meratifikasi perjanjian itu. Indonesia berharap perjanjian ini dapat mengurangkan pencerobohan nelayan Vietnam ke perairannya, yang sering menjadi isu sensitif antara kedua-dua negara.

Encik Hikmahanto Juwana, pakar undang-undang antarabangsa dari Indonesia yang dirujuk oleh parlimen minggu lalu, memberitahu Reuters bahawa perjanjian itu menunjukkan kedua-dua negara mengabaikan tuntutan China di kawasan tersebut.

China mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan sebagai wilayahnya, termasuk sebahagian daripada ZEE Malaysia, Brunei, Filipina dan Vietnam, serta kawasan perairan berhampiran Kepulauan Natuna milik Indonesia.

Namun, pada 2016, tribunal timbang tara antarabangsa telah memutuskan bahawa tuntutan China itu tidak mempunyai asas di sisi undang-undang antarabangsa. China bagaimanapun tidak mengiktiraf keputusan tersebut dan terus mendakwa bahawa segala tindakannya di wilayah itu adalah sah.

Timbalan Menteri Luar Indonesia, Encik Arif Havas Oegroseno, memberitahu Reuters pada 30 April bahawa perjanjian ini akan menyediakan sempadan sah untuk nelayan serta memperjelas hubungan maritim antara kedua-dua negara.

“Bagi Indonesia sebagai negara kepulauan yang mempunyai ramai jiran, sempadan laut sepatutnya sudah selesai. Jadi kita ada kepastian undang-undang — di mana kita boleh melakukan rondaan, di mana kita boleh cari gali minyak,” jelasnya.

Pada 2024, tindakan Indonesia menandatangani perjanjian maritim dengan China mencetuskan kontroversi, apabila penganalisis menyifatkannya sebagai perubahan kepada pendirian lama Jakarta yang tidak menuntut sebarang wilayah di Laut China Selatan.

Namun, Kementerian Luar Negeri Indonesia berulang kali menegaskan bahawa negara itu bukan negara penuntut dalam isu Laut China Selatan dan tidak mempunyai bidang kuasa yang bertindih dengan China. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg