WASHINGTON: Menteri Luar Indonesia, Sugiono, bertemu dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, dalam pertemuan rasmi di Washington bagi membincangkan isu-isu utama termasuk tarif perdagangan, keselamatan serantau, dan peluang pelaburan strategik.
Menurut kenyataan rasmi Jabatan Negara Amerika Syarikat, kedua-dua pihak “membincangkan kaedah untuk mempertingkat kerjasama pertahanan dan keselamatan, termasuk usaha mempertahankan kebebasan pelayaran dan ruang udara di Laut China Selatan sejajar dengan undang-undang antarabangsa.” Encik Rubio turut menegaskan keperluan untuk mengekang pengaruh Iran di Timur Tengah.
“Setiausaha Negara menekankan kepentingan kempen tekanan maksimum ke atas rejim Iran bagi menyekat aliran dana yang digunakan untuk membiayai keganasan, pembangunan peluru berpandu balistik dan aktiviti yang mengganggu kestabilan,” kata jurucakap jabatan itu, Cik Tammy Bruce.
Selain isu keselamatan, pertemuan tersebut turut memberi tumpuan kepada dasar perdagangan timbal balik Amerika Syarikat yang telah mengenakan tarif setinggi 32 peratus ke atas eksport Indonesia – antara kadar tertinggi di rantau Asia Tenggara. Kemboja dikenakan tarif 49 peratus, Vietnam 46 peratus dan Thailand 36 peratus.
Washington memuji usaha pembaharuan ekonomi oleh Jakarta. “Kami mengalu-alukan inisiatif Indonesia dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi ke arah hubungan perdagangan yang adil dan seimbang,” kata kenyataan Jabatan Negara AS.
Dalam lawatannya, Encik Sugiono mengetuai delegasi yang turut disertai menteri dan penasihat ekonomi utama. Beliau menjadi utusan pertama dari Asia Tenggara yang bertemu secara langsung dengan Encik Rubio sejak pengumuman dasar tarif baharu oleh Presiden Donald Trump.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Indonesia, pertemuan itu turut membincangkan kerjasama dalam rantaian bekalan serta pelaburan dalam sektor mineral kritikal seperti nikel.
“Menteri Luar menjemput pelabur Amerika untuk melabur dalam sektor utama, termasuk pembangunan sumber manusia dan hiliran industri,” kata kenyataan itu.
Indonesia turut menyuarakan penolakan terhadap pemindahan penduduk Palestin dari Gaza, satu pendirian yang konsisten dengan dasar luar negara itu yang menyokong penyelesaian damai dan berasaskan dua negara.
Dalam usaha untuk menyeimbangkan semula hubungan dagang, Indonesia kini merancang untuk meningkatkan import barangan dari Amerika bernilai antara AS$18 bilion (S$23.6 bilion) hingga AS$19 bilion. Ini termasuk cadangan pembelian minyak mentah dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak AS$10 bilion.
Data Kpler menunjukkan bahawa pada tahun 2024, Indonesia mengimport 217,000 tong LPG sehari, dengan 124,000 tong berasal dari Amerika Syarikat. Import minyak mentah pula sekitar 306,000 tong sehari, dengan hanya 13,000 tong berasal dari Amerika – jauh lebih rendah berbanding Nigeria, Arab Saudi dan Angola.
Putra Adhiguna, Pengarah Urusan di Energy Shift Institute, berkata: “Untuk beri ruang kepada import dari Amerika, Indonesia perlu kurangkan import LPG dari sumber lain sekitar 20 hingga 30 peratus, bergantung kepada kontrak sedia ada.”
Pertamina, syarikat tenaga negara, menyatakan mereka kini sedang menilai semula sumber import LPG dan menunggu arahan pemerintah.
Encik Sugiono berkata: “Beberapa keutamaan nasional Indonesia telah membuka jalan untuk kerjasama konkrit dengan Amerika Syarikat. Kami yakin hubungan strategik ini akan terus berkembang demi manfaat bersama.” - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg