‘Peacesantren’ guna sisa plastik, sekam padi untuk bina masjid

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Peacesantren’ guna sisa plastik, sekam padi untuk bina masjid

Istilah ganti pesantren perkenal inisiatif hijau di Jawa Barat
Feb 9, 2026 | 5:30 AM

‘Peacesantren’ guna sisa plastik, sekam padi untuk bina masjid

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pesantren Welas Asih,
Kerja-kerja pembinaan asas bagi masjid berkembar Ar Rahman dan Ar Rahim di dalam sebuah sekolah berasrama Islam swasta di Garut, Jawa Barat, Indonesia, telah bermula pada November 2025. Masjid itu dijangka menjadi yang pertama di Indonesia dibina menggunakan plastik kitar semula dan sekam padi, sebagai usaha mengurangkan sisa plastik serta pencemaran udara akibat pembakaran sekam padi oleh petani selepas musim menuai. - Foto BH oleh ISMIRA LUTFIA TISNADIBRATA

Sebuah sekolah berasrama Islam swasta di Garut, Jawa Barat, sedang melaksanakan inisiatif pengumpulan plastik termoplastik terpakai berasaskan petroleum untuk diproses melalui kaedah peleburan dan kitar semula menjadi panel acuan berstruktur.

Panel yang dibentuk menyerupai bata ini akan dimanfaatkan sebagai bahan utama dalam pembinaan kompleks masjid berkembar, yang masing-masing akan dinamakan Ar Rahman dan Ar Rahim.

Masjid yang terletak di dalam kawasan Pesantren Welas Asih itu dirancang untuk dibina terutamanya menggunakan bahan kitar semula, termasuk sekam padi terbuang yang lazimnya dibakar oleh petani selepas musim menuai dan menjadi punca pencemaran udara akibat jerebu.

Projek berkenaan akan menggunakan ‘planawood’ iaitu panel kayu kejuruteraan untuk kegunaan pembinaan dan dalaman yang dihasilkan daripada 2.1 tan sisa plastik bagi pembinaan kompleks masjid berkembar tersebut.

Selain itu, bahan kitar semula yang diperbuat daripada 4.3 kilogram sisa sekam padi turut digunakan.

Angka ini mencerminkan semakan yang signifikan berbanding anggaran awal sebanyak 12 tan sisa plastik, yang sebelum ini ditentukan hanya berdasarkan keluasan tapak binaan.

Anggaran terkini disusun melalui penilaian yang lebih menyeluruh, dengan mengambil kira jumlah keseluruhan permukaan dinding, lantai serta komponen struktur lain yang akan dibangunkan menggunakan panel kayu kejuruteraan.

Projek itu juga dijangka memberi kesan positif terhadap alam sekitar, termasuk menyelamatkan kira-kira 30 pokok kerana penggunaan panel daripada plastik kitar semula dan sisa sekam padi menggantikan bahan binaan konvensional.

Selain itu, penggunaan sekam padi dapat membantu mengurangkan pencemaran udara dengan menurunkan jumlah sisa pertanian yang biasanya dibakar oleh petani, iaitu antara punca utama pelepasan asap, kata Encik Irfan Amali, pengasas dan pencetus projek Pesantren Welas Asih, kepada Berita Harian (BH) pada 1 Februari.

Ketika ini, projek tersebut berada pada fasa akhir pembinaan asas, dengan sasaran siap dalam tempoh kira-kira setahun, seiring dengan pelaksanaan kempen media sosial bagi pengumpulan dana dan sumbangan plastik.

“Sasaran utama kami adalah mengumpulkan sisa plastik dari kawasan sekitar Garut.

“Namun, memandangkan kami memerlukan lebih banyak plastik untuk dikitar semula dan mempercepatkan pengeluaran panel, kami juga menerima sumbangan sisa plastik dari tempat lain,” kata Encik Irfan.

“Kami terbuka untuk menerima sumbangan jenis plastik tertentu, iaitu polimer termoplastik yang juga dikenali sebagai plastik HDPE seperti penutup botol plastik,” tambahnya.

Majlis pecah tanah pembinaan masjid itu telah diadakan pada September 2025, dengan kehadiran Menteri Perhutanan Raja Juli Antoni, yang memuji penggunaan plastik dan sekam padi kitar semula sebagai bahan binaan, serta menyifatkannya sebagai satu inisiatif yang boleh menjadi contoh nyata bahawa sisa boleh ditukar menjadi sesuatu yang bermanfaat.

“Saya berharap masjid ini dapat menjadi inspirasi kepada pembinaan rumah ibadah dan bangunan awam lain di seluruh Indonesia, serta menterjemahkan niat untuk membina kepada tindakan nyata dalam usaha menyelamatkan hutan,” katanya.

Masjid seluas 160 meter persegi itu mampu menampung 160 anggota jemaah, terdiri daripada 100 lelaki dan 60 wanita.

Ia akan berfungsi terutamanya sebagai tempat ibadah bagi kira-kira 200 pelajar dari Darjah 6 hingga Tingkatan 9 yang menetap di kawasan sekolah.

Kdudukannya terletak di dalam kelompok perumahan di pinggir Bandar Garut.

Encik Irfan, seorang aktivis keamanan dan usahawan sosial, menubuhkan sekolah tersebut berasaskan konsep hijau dan pembinaan keamanan, malah memperkenalkan istilah ‘peacesantren’ bagi menggantikan pesantren, istilah Indonesia bagi sekolah berasrama Islam.

Pengetua sekolah menengah atas, Cik Annisa Nurul Utami, berkata kepada BH semasa lawatan ke sekolah itu bahawa pengurusan sisa dan kesedaran alam sekitar telah menjadi bahagian penting dalam pendekatan pendidikan hijau sekolah tersebut.

“Ia merupakan sebahagian daripada kemahiran hidup yang diperlukan pelajar pada abad ke-21, iaitu pendidikan berasaskan fitrah manusia yang tetap berpaksikan pengajian Islam,” katanya.

Seorang alumni sekolah yang kini bertugas sebagai pembantu pengajar, Encik Tangguh Zia Faizal Rumy, berkata sekolah itu berjaya mencapai sifar sisa ke tapak pelupusan dengan mengurus sisa sendiri dan menjual sisa bukan organik kepada bank sisa.

“Kami mengitar semula sisa organik menjadi baja untuk projek berkebun dan pertanian pelajar, serta makanan ulat bagi ternakan,” katanya.

Menurut data Kementerian Alam Sekitar Indonesia, setiap rakyat Indonesia menghasilkan purata 0.85 kilogram sisa sehari, dengan 17 peratus daripadanya terdiri daripada plastik.

Daripada jumlah itu, hanya 11 peratus dikitar semula, manakala sekitar 53 peratus berakhir di tapak pelupusan dan 36 peratus lagi bocor ke alam sekitar terbuka serta saluran air.

Penyelidikan Kementerian Hal Ehwal Kelautan dan Perikanan pada 2022 menunjukkan sisa plastik boleh mengurangkan hasil tangkapan sehingga 30 peratus apabila ikan menjauhi habitat tradisional mereka.

Selain itu, 30 hingga 40 peratus peralatan menangkap ikan rosak selepas terjerat dengan sisa marin.

Kerugian ekonomi akibat sisa marin di Indonesia dianggarkan mencecah berbilion dolar setiap tahun, sekali gus menunjukkan isu itu bukan sekadar masalah alam sekitar, bahkan juga masalah sosial dan ekonomi.

Pemerintah Indonesia pada 2025 menetapkan sasaran baru untuk mencapai Indonesia sifar sisa pada 2029 melalui pengenalan sistem pengurusan sisa yang lebih menyeluruh, termasuk mengitar semula sisa kepada tenaga.

Menteri Alam Sekitar, Encik Hanif Faisol Nurofiq, berkata sisa plastik menyumbang hampir 20 peratus atau sekitar 10.8 peratus daripada jumlah sisa negara, namun kadar kitar semula nasional hanya 22 peratus, jauh di bawah sasaran.

Pulau Jawa merekodkan kadar kitar semula tertinggi pada 31 peratus, diikuti Bali dan Nusa Tenggara (22.5 peratus) serta Sumatera (12 peratus), manakala wilayah timur Indonesia masih berdepan cabaran besar.

“Kita mesti mencapai sasaran 2029 untuk pengurusan sisa 100 peratus. Tiada lagi masa untuk berlengah,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg