GARUT: Sebuah pondok pesantren di Kabupaten (daerah pentadbiran) Garut, Jawa Barat, melancarkan projek unik dengan membina rumah ibadah daripada bahan kitar semula.
Pondok Pesantren Welas Asih, yang terletak di Desa Sukarasa, Kecamatan Samarang, mendirikan Masjid Kembar Ar-Rahman dan Ar-Rahim menggunakan kira-kira 12 tan sampah plastik yang diproses menjadi bahan binaan.
Majlis perasmian pada 14 September dihadiri Menteri Kehutanan, Raja Juli Antoni, serta Wakil Bupati (Ketua Daerah) Garut, Putri Karlina.
“Memanfaatkan 12 tan sampah plastik ini diperkirakan setara dengan menyelamatkan 8,000 batang pokok daripada penebangan. Ini sesuatu yang luar biasa dan sangat membangkitkan inspirasi,” kata Raja Juli dalam ucapannya.
Pimpinan Pondok Pesantren Welas Asih, Encik Irfan Amali, menjelaskan bahawa inisiatif ini lahir daripada budaya warga pesantren yang berdisiplin dalam menguruskan sampah sejak enam tahun lalu.
Menurutnya, sekitar 200 keluarga di kawasan itu tidak lagi menghantar sampah ke tapak pembuangan umum.
“Kalau ada sampah hari ini, sebelum tengah hari sudah selesai diurus. Habis solat Zuhur, sampah sudah terkelola dengan baik,” ujar Encik Irfan.
Plastik yang dikumpulkan diolah menjadi palet dan dijadikan dinding masjid. Selain plastik, pembinaan masjid ini turut menggunakan 24 tan sisa sekam padi.
“Upaya ini bukan hanya menyelamatkan ribuan pokok, tetapi semoga juga menjadi amal ibadah bagi kita semua,” tambah Encik Irfan.
Masjid yang dibangunkan dengan pendekatan mesra alam ini menggambarkan konsep sifar sisa. Sampah organik diproses menjadi baja, sementara plastik dipisahkan lalu diproses untuk kegunaan pembinaan.
Wakil Bupati Garut, Putri Karlina memuji usaha tersebut.
“Inisiatif ini patut dicontoh oleh ribuan pesantren lain di Garut,” katanya. Namun, beliau turut mengingatkan bahawa daerah itu masih berdepan cabaran besar dalam membangunkan sumber daya manusia.
“Banyak gunung yang kini diratakan dan berubah menjadi kebun tanaman sayur-sayuran. Kita harus berfikir lebih jauh tentang keseimbangan alam,” jelasnya.
Raja Juli Antoni menekankan bahawa persoalan sampah tidak boleh berhenti pada teori atau sekadar kutipan ayat agama.
“Sering kali kita mendengar ajaran tentang kebersihan, tetapi tidak disusuli tindakan nyata. Apa yang dilakukan Pesantren Welas Asih membuktikan sampah yang dianggap tidak berguna boleh diubah menjadi karya besar, bahkan rumah ibadah,” katanya.
Beliau menambah bahawa inisiatif ini boleh menjadi inspirasi bukan sahaja di Indonesia, malah di pentas antarabangsa.
“Kalau ingin mengukur peradaban sebuah bangsa, lihatlah bagaimana mereka memperlakukan sampahnya. Dari situ kita tahu sejauh mana kesedaran alam sekitar hadir dalam kehidupan seharian,” tegas Raja Juli. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg