JAKARTA: Gabenor Jakarta, Pramono Anung, telah menandatangani peraturan yang memberikan akses pengangkutan awam percuma kepada pekerja sektor swasta yang berpendapatan kurang daripada 6.2 juta rupiah ($484) sebulan, dalam usaha untuk mengurangkan kos perjalanan di ibu negara.
Peraturan Gabenor Nombor 33/2025 mengenai Penyediaan Perkhidmatan Pengangkutan Awam Massa Percuma telah ditandatangani pada 10 Oktober dan didedahkan secara rasmi minggu ini.
Di bawah peraturan mulai bulan ini, para pemegang Kad Pekerja Jakarta (Kartu Pekerja Jakarta, atau KPJ) yang berada dalam lingkungan kelayakan gaji, akan berhak menaiki bas TransJakarta, MRT dan LRT tanpa sebarang bayaran.
“Pekerja sektor swasta ditakrifkan sebagai pemegang KPJ dengan gaji sehingga 1.15 kali ganda gaji minimum wilayah Jakarta,” kata ketua Agensi Pengangkutan Jakarta, Encik Syafrin Liputo, kepada media pada 6 November.
Gaji minimum Jakarta 2025 ditetapkan pada 5.4 juta rupiah sebulan, yang bermakna pendapatan maksimum untuk layak sebagai penerima manfaat KPJ ialah 6.2 juta rupiah.
Encik Syafrin menambah bahawa data KPJ akan dikemas kini setiap enam bulan bagi memastikan program itu menjangkau sasaran.
“Kad perkhidmatan percuma sah selagi seseorang itu berdaftar sebagai pemegang KPJ, tetapi data akan dikemas kini setiap enam bulan bagi memastikan subsidi tepat pada sasaran,” katanya.
Dasar ini dibuat ketika penduduk Jakarta terus menanggung salah satu kos perjalanan harian tertinggi di rantau ini.
Contohnya, satu perjalanan MRT biasanya berharga antara 3,000 rupiah dengan 14,000 rupiah bergantung pada jarak dan stesen tempat tujuan, manakala tambang LRT adalah antara 5,000 rupiah dengan 14,000 rupiah.
TransJakarta kekal sebagai mod transit termurah pada 3,500 rupiah setiap perjalanan, walaupun pemerintah wilayah sedang mempertimbangkan untuk menaikkan tambang buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.
Kementerian Pengangkutan melaporkan pada Julai bahawa penduduk Jakarta membelanjakan purata 1.5 juta rupiah sebulan untuk pengangkutan, bersamaan dengan sekitar 28 peratus daripada gaji minimum ibu kota.
Peratusan itu hampir tiga kali ganda daripada penanda aras ideal iaitu 10 peratus yang disyorkan oleh Bank Dunia. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg