Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelantikan mantan pegawai tentera sebagai ketua kastam Indonesia dikritik umum

Jun 2, 2025 | 5:30 AM
Sri Mulyani Indrawati, Djaka Budhi Utama
Menteri Kewangan, Cik Sri Mulyani Indrawati, melantik Leftenan Jeneral (Bersara) Djaka Budhi Utama, sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kastam dan Eksais Indonesia. - Foto INSTAGRAM BEACUKAISIDOARJO

JAKARTA: Pelantikan Leftenan Jeneral (Bersara) Djaka Budhi Utama, sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kastam dan Eksais Indonesia pada 23 Mei, telah mencetuskan gelombang kritikan paling hebat setakat ini terhadap Presiden Prabowo Subianto.

Kritikan itu bukan sahaja berpunca daripada latar belakang Encik Djaka sebagai pegawai aktif tentera yang pernah disabit kesalahan menculik aktivis prodemokrasi, bahkan juga kerana pelantikannya dilihat seakan-akan membawa Indonesia kembali ke era autoritarianisme mantan Presiden Suharto.

Pelantikan Encik Djaka menimbulkan persoalan besar mengenai sejauh manakah pemerintah Indonesia beriltizam ke arah prinsip pemerintahan awam yang bebas daripada pengaruh tentera.

Pengerusi kumpulan penyelidikan keselamatan dan hak asasi manusia, Centra Initiative, Encik Al Araf, berkata:

“Mengapa (Djaka)? Mengapa lantik seorang jeneral? Tiada lagikah rakyat awam yang lebih layak? Adakah Djaka dilantik hanya kerana beliau rapat dengan Prabowo?”

Pelantikan terbaru itu menambah kepada senarai pegawai tentera yang telah diberi jawatan strategik sejak Encik Prabowo, juga seorang mantan jeneral, dilantik sebagai Presiden Indonesia pada Oktober 2024.

Sebelum ini, Encik Prabowo telah melantik Leftenan Kolonel Teddy Indra Wijaya sebagai Setiausaha Kabinet, satu jawatan setaraf menteri.

Encik Teddy merupakan pembantu rapat Encik Prabowo ketika beliau menjawat Menteri Pertahanan pada 2019 hingga 2024.

Bagi sesetengah pihak, perkembangan itu menimbulkan rasa bimbang bahawa Indonesia mungkin sedang kembali ke zaman pemerintahan Encik Suharto (1968 hingga 1998), apabila tentera memegang kuasa besar dalam hampir semua aspek kehidupan awam.

“Keadaan ini benar-benar membimbangkan. Kita bimbang akan berlaku pengulangan sejarah yang tidak diingini,” kata Pengarah Eksekutif, Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (Celios), Encik Bhima Yudhistira.

Meskipun Menteri Kewangan, Cik Sri Mulyani Indrawati, menyatakan kehadiran Encik Djaka merupakan “nilai tambah” yang boleh memperkukuh penyelarasan dengan pasukan penguat kuasa undang-undang, persoalan besar terus timbul mengenai kelayakan teknikal beliau.

Cik Sri Mulyani menegaskan: “Kehadiran Djaka diharap dapat meningkatkan kemampuan Kementerian Kewangan untuk bekerjasama dengan institusi penguat kuasa lain secara lebih berkesan.”

Namun, Encik Bhima memberikan pandangan berbeza.

Beliau berkata: “Benar, isu seperti rasuah dan penyeludupan memerlukan pendekatan tegas.

“Tetapi menjadi Ketua Pengarah Kastam juga menuntut pemahaman ekonomi yang mendalam agar dasar yang digubal tidak membebankan peniaga dan pengguna.

“Pelantikan seorang tentera tanpa pengalaman ekonomi memberi isyarat yang salah kepada pelabur dan dunia perniagaan. Mereka memerlukan orang yang benar-benar layak.”

Pelantikan Encik Djaka turut menimbulkan persoalan tentang kesahihan dan kewajaran dari sudut undang-undang.

Dalam sidang media selepas majlis pelantikan, Encik Djaka menjelaskan bahawa beliau telah memohon untuk bersara daripada Tentera Nasional Indonesia (TNI) sejak 2 Mei 2025.

“Saya sudah melakukan surat-menyurat mengenai proses persaraan saya. Pengunduran diri saya berkuat kuasa mulai 2 Mei,” katanya.

Menteri Penyelaras Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, menyatakan bahawa status Encik Djaka kini sudah “purnawirawan” atau bersara penuh, justeru tiada isu perundangan.

“Pak Djaka sudah purnawirawan, jadi tidak ada masalah. Statusnya sudah selesai di TNI,” kata Encik Airlangga.

Namun, beberapa pengamat tetap berpendapat pelantikan itu lebih bersifat simbolik menggambarkan bagaimana budaya politik Indonesia semakin terbuka kepada kembalinya kekuasaan tentera dalam sektor awam.

Dalam konteks sejarah Indonesia, pelantikan pegawai tentera dalam sektor awam bukanlah perkara baru. Dua tokoh tentera pernah memimpin Jabatan Kastam dan Eksais sebelum ini.

Bagaimanapun, pelantikan Encik Djaka menjadi lebih kontroversi.

Ini kerana menurut laporan media tempatan sebelum ini, beliau dikatakan sebagai antara beberapa anggota Pasukan Mawar, sebuah unit khas tentera, yang didapati bersalah menculik dan ‘menghilangkan’ aktivis hak asasi secara paksa pada 1990-an, ketika pemerintahan Presiden Suharto.

Ia meninggalkan kesan mendalam dalam ingatan rakyat Indonesia.

Menurut Pengarah Penyiasatan Kejaksaan Agung, Encik Kuntadi, isu itu perlu difahami sebagai lebih daripada sekadar pelanggaran undang-undang.

“Ini bukan sekadar soal teknikal. Ia adalah tentang kepercayaan rakyat terhadap institusi awam yang sepatutnya bebas daripada pengaruh tentera,” katanya.

Pelantikan itu juga berlaku di tengah-tengah usaha Indonesia untuk meningkatkan hasil negara dan memerangi penyeludupan barangan di pelabuhan.

Encik Airlangga menekankan bahawa “kastam merupakan pintu utama bagi keluar masuk barangan negara,” dan mengakui bahawa “tugas Encik Djaka bukanlah sesuatu yang mudah, termasuk memastikan keselamatan pekerja migran yang menjadi wira hasil tukaran asing negara”.

Walaupun Encik Djaka telah bersara daripada TNI, kebimbangan masih wujud bahawa beliau membawa bersamanya budaya ketenteraan yang tidak selari dengan keperluan birokrasi moden.

“Ini tentang keseimbangan antara ketegasan dengan keperluan bagi dasar yang mesra perniagaan. Kita perlukan seorang karyawan ekonomi, bukan hanya seorang jeneral,” kata Encik Bhima.

Lebih membimbangkan, tambah Encik Al Araf, adalah bagaimana budaya pelantikan tentera ke jawatan strategik itu boleh menjadi satu “norma baru”.

“Kalau budaya ini diteruskan, rakyat akan hilang kepercayaan terhadap proses birokrasi yang telus,” ujarnya.

Pelantikan Encik Djaka telah membuka semula perdebatan lama mengenai kedudukan tentera dalam pentadbiran awam Indonesia.

Menurut dua sumber, pelantikan ke jawatan tertinggi dalam Kementerian Kewangan itu menunjukkan peranan tentera yang semakin berkembang dalam pemerintahan awam demokrasi Indonesia.

Di satu pihak, ia menunjukkan kecenderungan Encik Prabowo untuk mempercayai rakan-rakan lamanya daripada kalangan tentera; di pihak lain, ia menimbulkan persoalan besar tentang prinsip demokrasi dan meritokrasi.

Bagi rakyat Indonesia, pelantikan itu adalah satu ujian sama ada pemerintah benar-benar beriltizam ke arah pemerintahan yang telus dan profesional.

Seperti kata Encik Bhima: “Pelantikan ini bukan hanya tentang Djaka, tetapi tentang masa depan Indonesia sebagai sebuah negara demokrasi yang bebas daripada bayang-bayang autoritarianisme.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg