Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parlimen Indonesia hampir lulus undang-undang perluas peranan tentera dalam pemerintah

Mar 19, 2025 | 10:54 AM
Anggota tentera berarak di Banda Aceh pada 5 Oktober 2024 sempena sambutan ulang tahun ke-79 Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Anggota tentera berarak di Banda Aceh pada 5 Oktober 2024 sempena sambutan ulang tahun ke-79 Tentera Nasional Indonesia (TNI). - Foto AFP

JAKARTA: Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) kini selangkah lagi bagi meluluskan pindaan kontroversi terhadap Undang-Undang Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang akan memperluas peranan tentera dalam urusan pentadbiran awam.

Perkembangan ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kumpulan pro-demokrasi dan hak asasi manusia yang melihat langkah ini sebagai satu ancaman kepada pencapaian reformasi demokrasi sejak kejatuhan rejim kuku besi mantan Presiden Suharto.

Dalam satu mesyuarat Suruhanjaya I DPR yang mengendalikan hal ehwal pertahanan pada 18 Mac, semua lapan parti politik yang diwakili dalam Parlimen menyatakan sokongan mereka terhadap pindaan tersebut. Rang undang-undang itu membolehkan anggota TNI aktif memegang jawatan dalam agensi awam tanpa perlu bersara atau meletakkan jawatan terlebih dahulu.

Encik Utut Adianto, Pengerusi Suruhanjaya I dari Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P), berkata: “Kita telah mengundang semua pihak berkepentingan untuk membincangkan Rang Undang-Undang (RUU) ini. Semua parti politik telah menyatakan persetujuan mereka.”

Menteri Undang-Undang, Encik Supratman Andi Agtas, yang mewakili pentadbiran Presiden Prabowo Subianto dalam mesyuarat tersebut, menegaskan: “Pemerintah berharap agar pindaan terhadap Undang-Undang TNI ini dapat diluluskan dalam sidang Parlimen terdekat.”

Walaupun belum ada tarikh rasmi diumumkan untuk pengundian, Timbalan Speaker DPR, Encik Sufmi Dasco Ahmad dari Parti Gerindra, membayangkan kemungkinan ia akan dibentangkan dalam sidang pleno 20 Mac ini.

Namun, pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan bahawa langkah ini akan mengembalikan konsep ‘dwifungsi’ era Suharto – iaitu tentera bukan sahaja menjaga keselamatan negara, malah juga memainkan peranan aktif dalam politik dan pentadbiran awam.

Menurut aktivis hak asasi dari Imparsial, Encik Al Araf: “Kami bimbang kerana butiran pelaksanaan operasi bukan tempur TNI akan ditentukan melalui peraturan pemerintah atau peraturan presiden tanpa perbincangan awam yang bermakna.”

RUU yang sedang dibincangkan ini akan membenarkan anggota TNI aktif ditempatkan di lima agensi tambahan termasuk Pejabat Peguam Negara, Agensi Pengurusan Bencana (BNPB), Agensi Anti-Keganasan (BNPT), Agensi Keselamatan Maritim (Bakamla) dan Agensi Pengurusan Sempadan Negara (BNPP).

Ahli Suruhanjaya I, Encik TB Hasanuddin, yang juga bekas jeneral dua bintang dari PDI-P, berkata beberapa perubahan dibuat pada saat akhir selepas menerima kritikan masyarakat. Antaranya ialah penyingkiran peruntukan yang membenarkan anggota tentera bertugas di Kementerian Kelautan dan Perikanan serta pengguguran peranan tentera dalam penguatkuasaan undang-undang narkotik.

Encik Gavriel Putra Novanto yang mempengerusikan mesyuarat turut mendedahkan bahawa dalam draf terbaru, syarat anggota TNI mesti meletak jawatan sebelum menyertai pentadbiran awam turut disertakan sebagai perubahan yang cuba menangani kebimbangan awam.

Namun begitu, draf akhir RUU itu belum dikongsi kepada umum sehingga kini.

Beberapa kumpulan aktivis mengkritik proses penggubalan yang tergesa-gesa dan tidak telus. Pada 15 Mac lalu, sekumpulan aktivis hadir di sebuah hotel di Jakarta bagi membantah perbincangan tertutup ahli Parlimen.

“Proses ini terlalu tergesa-gesa dan tidak melibatkan penyertaan masyarakat secara bermakna,” tegas Encik Al Araf lagi. Imparsial juga melancarkan petisyen dalam talian untuk membantah RUU ini, yang telah mendapat lebih 15,000 tandatangan setakat malam 18 Mac.

Encik Supratman menegaskan sekali lagi bahawa “pindaan ini penting untuk menghadapi cabaran geopolitik dan keselamatan domestik masa kini”, namun bagi pengkritik seperti Encik Al Araf, “soal keselamatan tidak boleh dijadikan alasan untuk memperluas kuasa tentera secara senyap tanpa proses demokrasi yang telus.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg