Topic followed successfully
Go to BHkuSemua kegiatan awam radius 4 km dari kawah Gunung Dukono dilarang sejak 29 Mac
Semua kegiatan awam radius 4 km dari kawah Gunung Dukono dilarang sejak 29 Mac
Kali terakhir catat letusan besar pada April
Semua kegiatan awam radius 4 km dari kawah Gunung Dukono dilarang sejak 29 Mac
Ekspedisi 11 hari ke Maluku Utara yang disertai sembilan warga Singapura baru-baru ini telah dipasarkan sebagai cabaran mesra pemula, namun, ia tetap menuntut persediaan rapi.
Antara 30 April dengan 10 Mei, sekumpulan pendaki diatur untuk menawan tiga gunung berapi Indonesia, dengan “dua daripadanya sentiasa meletus,” lapor agensi pelancongan, The Outside, menerusi hantaran Instagram pada akhir 2025.
Tanpa menamakan puncak tersebut, hantaran itu sekadar menyatakan salah satunya telah meletus tanpa henti sejak 1993.
Hantaran tersebut telah dipadamkan pada 11 Mei.
Gunung berapi berkenaan iaitu Gunung Dukono di Pulau Halmahera, yang telah meletus pada 8 Mei, meragut nyawa dua warga Singapura dan seorang warga Indonesia.
Cik Angel Krishela Pradita, 28 tahun, pendaki warga Indonesia, merupakan mangsa pertama yang ditemui pada 9 Mei.
Dua warga Singapura – Encik Timothy Heng, 30 tahun, pemilik tunggal The Outside; dan Encik Shahin Muhrez Abdul Hamid, 27 tahun – ditemui pada keesokan harinya (10 Mei).
Mayat mereka ditemui bersebelahan satu sama lain kira-kira 50 meter dari puncak gunung, tertimbus di bawah runtuhan.
Lebih 150 anggota telah dikerah untuk operasi menyelamat yang berlangsung selama dua hari.
Ketiga-tiga mangsa adalah sebahagian daripada kumpulan yang terdiri daripada 20 pendaki yang berada di Gunung Dukono semasa ia meletus.
Sembilan daripada mereka adalah warga Singapura, dengan tujuh mangsa yang terselamat telah kembali ke Singapura pada 10 Mei.
Menurut Program Volkanisme Global Institusi Smithsonian, Gunung Dukono telah meletus secara berterusan sejak 1933 dan dikategorikan sebagai gunung berapi aktif – iaitu puncak yang pernah meletus dalam tempoh 11,700 tahun lalu.
Sebaliknya, gunung berapi pendam tidak pernah meletus dalam tempoh tersebut tetapi masih mempunyai ruang magma aktif, manakala gunung berapi mati telah terputus sepenuhnya daripada bekalan magma dan dianggap paling selamat untuk kegiatan pendakian riadah.
Sebelum letusan pada 8 Mei, kali terakhir Gunung Dukono mencatat letusan besar ialah pada April.
Ia telah diletakkan di bawah status amaran Tahap 2 sejak 29 Mac.
Di bawah tahap amaran itu – yang menunjukkan peningkatan kegiatan volkanik – semua kegiatan awam dalam radius 4 kilometer dari kawah gunung dilarang sama sekali.
Susulan larangan awal mendaki yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan pada 17 April, pemerintah tempatan Halmahera Utara telah mengeluarkan surat penting pada 8 Mei.
Ia mengarahkan ketua daerah dan ketua kampung agar menutup secara kekal semua laluan masuk ke gunung berapi tersebut serta-merta.
Surat itu menyatakan bahawa tiada sesiapa dibenarkan mendaki puncak gunung tersebut.
Pemerintah tempatan turut melarang pengeluaran sebarang permit pendakian.
Agensi yang menganjurkan kegiatan pendakian diarah memaklumkan pendaki mengenai amaran tersebut, dan pihak berkuasa menegaskan bahawa sesiapa yang didapati melanggar peraturan berkenaan akan berdepan tindakan undang-undang.
Agensi pelancongan yang menganjurkan ekspedisi Maluku Utara tersebut, The Outside, telah membina jenamanya berasas kegiatan pengembaraan ekstrem dan laluan jarang diterokai.
Berdasarkan carian pada pangkalan data Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra), The Outside, telah ditubuhkan pada 8 Oktober 2024 dan didaftarkan di alamat kediaman.
Rekod menunjukkan Encik Heng tidak memegang sebarang jawatan pengarah lain.
Ekspedisi agensi tersebut, yang kesemuanya diketuai oleh Encik Heng sendiri, merangkumi pelbagai kegiatan daripada merentas hutan di Sumatera hingga ke pendakian altitud tinggi di Nepal.
