Polis Indonesia bongkar sindiket jual bayi melalui media sosial, 12 suspek ditahan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Indonesia bongkar sindiket jual bayi melalui media sosial, 12 suspek ditahan

Feb 26, 2026 | 11:53 AM

Polis Indonesia bongkar sindiket jual bayi melalui media sosial, 12 suspek ditahan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
sindiket pemerdangan bayi indonesia, media sosial
Timbalan Ketua Badan Siasatan Jenayah Polis Nasional (Bareskrim), Inspektor Jeneral Nunung Syaifuddin (tengah) menunjukkan bahan bukti kes pemerdagangan bayi di Jakarta, 25 Februari. - Foto HUMAS POLRI

JAKARTA: Polis Indonesia membongkar satu sindiket pemerdagangan bayi yang memperdagangkan bayi melalui media sosial dengan menyamar sebagai proses pengambilan anak angkat, selepas menahan 12 suspek dan menyelamatkan tujuh bayi.

Timbalan Ketua Badan Siasatan Jenayah (Bareskrim) Nunung Syaifuddin berkata rangkaian jenayah itu dipercayai beroperasi sejak 2024 di beberapa wilayah dan meraih keuntungan ratusan juta rupiah.

“Penyiasat telah menamakan 12 suspek, merampas bukti penting dan menyelamatkan tujuh bayi mangsa,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Bareskrim.

Menurut beliau, kes berkenaan terbongkar hasil lanjutan siasatan kes penculikan bayi sebelum ini di Makassar yang melibatkan kerjasama pelbagai unit polis.

“Kami mahu memastikan negara memainkan peranan melindungi setiap kanak-kanak. Setiap bayi yang diselamatkan adalah nyawa yang sangat berharga,” katanya.

Pengarah Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak serta Anti-Pemerdagangan Orang, Cik Nurul Azizah, berkata sindiket menggunakan platform seperti Facebook dan TikTok untuk mencari pembeli.

Bayi dipasarkan sebagai anak angkat sah, namun transaksi sebenar berlaku secara haram.

“Mereka menawarkan pengambilan anak angkat secara tidak sah melalui platform digital dan menggunakan dokumen kelahiran palsu,” katanya.

Siasatan mendapati rangkaian itu beroperasi di banyak kawasan termasuk Jakarta, Banten, Yogyakarta, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Sulawesi Selatan, Jambi, Bali, Kalimantan, Kepulauan Riau dan Papua.

Cik Nurul berkata daripada 12 suspek, lapan berperanan sebagai orang tengah yang mencari bayi dan menguruskan transaksi, manakala empat lagi merupakan ibu bapa kandung yang menjual bayi mereka sendiri.

“Berdasarkan pengakuan suspek, kegiatan ini berjalan sejak 2024 dan menghasilkan keuntungan ratusan juta rupiah,” katanya.

Polis turut merampas 21 telefon bimbit, 17 kad ATM, 74 dokumen serta beg berisi barangan bayi yang dipercayai digunakan dalam operasi itu.

Kesemua suspek disiasat mengikut Undang-Undang Perlindungan Kanak-Kanak dan undang-undang antipemerdagangan orang, yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Pihak berkuasa kini menelusuri kemungkinan mangsa lain serta aliran kewangan rangkaian tersebut.

Sementara itu, tujuh bayi yang diselamatkan sedang menjalani penilaian oleh Kementerian Sosial.

Pengarah Pemulihan Sosial Kanak-kanak kementerian itu, Encik Agung Suhartoyo, berkata pihaknya akan menentukan status penjagaan setiap bayi.

“Kami melakukan penilaian untuk memastikan mereka mendapat perlindungan dan penjagaan terbaik, sama ada kembali kepada keluarga atau melalui penjagaan alternatif mengikut undang-undang,” katanya.

Kementerian Pemberkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-kanak menyatakan kes pemerdagangan kanak-kanak masih menjadi kebimbangan serius di negara itu.

Wakil kementerian, Atwirlany Ritonga, berkata sebanyak 91 kes melibatkan 180 kanak-kanak direkodkan antara 2022 hingga Oktober 2025.

“Kes penculikan dan penjualan kanak-kanak adalah jenayah serius. Penguatkuasaan undang-undang dan perlindungan mangsa mesti berjalan serentak,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai segera melaporkan sebarang petunjuk perdagangan kanak-kanak melalui talian bantuan nasional.

Polis Indonesia menegaskan komitmennya membanteras pemerdagangan manusia, khususnya yang menyasarkan bayi dan kanak-kanak sebagai golongan paling rentan.

Encik Nunung berkata kes itu diberi perhatian khas oleh pimpinan polis kerana melibatkan nyawa dan masa depan kanak-kanak.

“Ini bukan sekadar jenayah kewangan. Ia jenayah terhadap kemanusiaan. Kami akan terus memburu rangkaian lain sehingga ke akar umbi,” katanya.

Kes tersebut turut mengingatkan masyarakat terhadap kejadian Januari 2025 di Riau, apabila seorang bayi dijual pada harga kira-kira 35 juta rupiah ($S$3,000), menunjukkan kegiatan seumpama itu masih berulang walaupun tindakan undang-undang semakin diperketat.

Pihak berkuasa kini menumpukan usaha mengenal pasti mangsa lain dan memastikan setiap kanak-kanak yang terlibat mendapat perlindungan sewajarnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg