MSF sahkan terima aduan ejen pada 2024 berkaitan sindiket bayi dari Indonesia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MSF sahkan terima aduan ejen pada 2024 berkaitan sindiket bayi dari Indonesia

Jan 25, 2026 | 9:21 PM

MSF sahkan terima aduan ejen pada 2024 berkaitan sindiket bayi dari Indonesia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pihak berkuasa Indonesia, sindiket pemerdagangan bayi, didakwa dihantar ke Singapura, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF)
Jurucakap polis Jawa Barat, Pesuruhjaya Kanan Hendra Rochmawan, berkata bahawa 14 bayi yang didakwa diperdagangkan dari Indonesia ke Singapura masih berada di Singapura. - Foto IHSAN WEST JAVA POLICE

Setahun sebelum satu sindiket pemerdagangan bayi dari Indonesia terbongkar pada 2025, seorang ejen yang menguruskan pengambilan anak angkat di Singapura telah melaporkan panggilan telefon yang mencurigakan kepada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Dalam kejadian pada April 2024 itu, seorang wanita telah memberitahu pengarah urusan agensi Lotus Child, Cik Alice Kaveree, bahawa beliau ialah ejen dari Pontianak dan menawarkan bayi untuk dijadikan anak angkat, lengkap bersama dokumen DNA dan sijil kelahiran palsu.

Wanita itu mendakwa beliau telah menyerahkan empat bayi Indonesia kepada sebuah agensi anak angkat di Singapura dan sedang bekerjasama dengan beberapa pihak lain.

Cik Kaveree menolak tawaran tersebut dan menghantar e-mel kepada MSF pada hari yang sama.

Seorang jurucakap MSF mengesahkan pada 24 Januari bahawa pihaknya telah menerima e-mel daripada Cik Kaveree, dan telah menyemak kes-kes anak angkat yang sepadan dengan gambaran umum yang diberikan.

“Namun, semakan tersebut tidak menemukan sebarang percanggahan atau unsur mencurigakan yang memerlukan siasatan lanjut atau pembatalan mana-mana permohonan,” kata jurucakap itu.

Pada Julai 2025, berita tersebar mengenai pihak berkuasa Indonesia yang membongkar satu sindiket pemerdagangan bayi yang telah mengatur penjualan 25 bayi sejak 2023. Daripada jumlah itu, 15 bayi telah dihantar ke Singapura melalui Jakarta.

Pengarah jenayah khas polis Jawa Barat, Pesuruhjaya Kanan Ade Sapari, berkata pada 21 Januari bahawa seorang suspek utama dalam sindiket tersebut berasal dari Pontianak dan mempunyai rangkaian yang luas di kawasan itu.

Disebabkan maklumat yang terhad pada 2024, tidak dapat dipastikan sama ada panggilan mencurigakan itu datang daripada individu dalam sindiket yang sama.

Jurucakap MSF berkata maklumat tambahan daripada laporan media pada 2025 serta butiran lebih jelas daripada pihak berkuasa Indonesia telah membolehkan kementerian itu mengenal pasti kes yang berkaitan dengan siasatan di Indonesia.

“Bersama pihak berkuasa yang berkaitan, kami bekerjasama rapat dengan rakan sejawat kami di Indonesia untuk menyemak dakwaan tersebut, memastikan kes-kes ini ditangani secepat mungkin, serta melindungi kebajikan dan kepentingan kanak-kanak terbabit,” katanya.

Tiga ejen yang menguruskan pengambilan anak angkat warga Singapura dengan nama singkatan Encik T.N., Encik P.T. dan Cik E.G. didakwa terlibat dalam sindiket tersebut, menurut jurucakap polis Jawa Barat, Pesuruhjaya Kanan Hendra Rochmawan, pada 22 Januari.

Nama penuh mereka akan didedahkan apabila perbicaraan kes sindiket itu bermula di Indonesia menjelang Mac.

Pemerintah Singapura dan Indonesia berkata pada 9 Januari bahawa mereka sedang bekerjasama dalam kes ini.

Penyiasat Indonesia telah mengenal pasti 26 suspek warga Indonesia dengan pelbagai peranan, termasuk orang tengah, penjaga bayi, ibu palsu dan pemalsu dokumen.

Anggota sindiket didakwa mendekati bakal ibu bapa dan menawarkan sehingga 20 juta rupiah ($1,500) sebagai pertukaran untuk menyerahkan bayi mereka, kata penyiasat.

Encik Hendra berkata ejen Indonesia akan menerangkan tentang bayi-bayi tersebut dan latar belakang mereka kepada bakal ibu bapa angkat di Singapura, dengan bantuan ejen Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg