Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Indonesia tahan 12 suspek didakwa seludup bayi ke S’pura

Jul 16, 2025 | 10:42 AM
seludup bayi, sindiket, indonesia
Pihak berkuasa Indonesia menumpaskan sindiket pemerdagangan bayi yang dilaporkan sudah dilakukan sejak 2023. - Foto X HERALOEBSS

BANDUNG: Pihak berkuasa Indonesia telah menahan 12 individu selepas membongkar sindiket pemerdagangan bayi yang dipercayai menghantar lebih sedozen bayi ke Singapura.

Demikian menurut kenyataan seorang pegawai kanan polis kepada agensi berita, AFP.

Kes itu terbongkar apabila seorang ibu membuat laporan polis berhubung penculikan bayi, yang kemudian membawa kepada penahanan seorang suspek.

Suspek berkenaan mengaku telah memperdagangkan 24 orang bayi, kata Pengarah Siasatan Jenayah Umum Polis Jawa Barat, Encik Surawan, yang hanya dikenali dengan satu nama.

Menurut Encik Surawan, bayi tersebut terlebih dahulu dipindahkan ke bandar Pontianak di Pulau Borneo sebelum dihantar ke Singapura.

“Berdasarkan dokumen yang kami temui, 14 bayi telah dihantar ke Singapura. Kesemuanya berumur di bawah setahun, termasuk yang berusia tiga, lima dan enam bulan,” ujarnya.

Pihak berkuasa berjaya menyelamatkan lima bayi di Pontianak dan seorang lagi di Tangerang, sebuah bandar berhampiran ibu kota Jakarta.

Serbuan turut membawa kepada penahanan 12 suspek di Jakarta, Pontianak dan Bandung.

“Mereka satu sindiket, sindiket pemerdagangan bayi. Setiap seorang mempunyai peranan tersendiri,” jelas Encik Surawan.

Menurut beliau, ada antara suspek yang ditugaskan mencari bayi, manakala yang lain bertanggungjawab menjaga, melindungi dan menyediakan dokumen pendaftaran sivil seperti kad keluarga dan pasport.

Hasil siasatan awal mendapati sindiket itu telah beroperasi sejak 2023.

“Mereka menyasarkan ibu bapa atau ibu yang tidak mahu menjaga anak mereka, dan menawarkan bayaran sebagai pertukaran,” tambahnya.

Ibu yang membuat laporan dipercayai pada awalnya telah membuat perjanjian dengan sindiket sebelum kelahiran anaknya.

Tetapi selepas tidak menerima bayaran yang dijanjikan, beliau tampil membuat laporan polis.

Berdasarkan soal siasat ke atas suspek, polis mendapati setiap bayi yang dibawa ke Singapura dijual dengan harga sekitar puluhan juta rupiah bagi setiap bayi.

“Bayi-bayi itu dibeli daripada ibu kandung dengan harga kira-kira 11 juta hingga 16 juta rupiah ($860-$1,260),” kata Encik Surawan dalam satu lagi wawancara pada 15 Julai seperti dipetik oleh CNN Indonesia.

Sementara itu, Duta Besar Indonesia ke Singapura, Encik Suryopratomo, menyatakan bahawa pihaknya belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung kes pemerdagangan bayi ini.

“Saya tidak tahu,” kata beliau dalam satu mesej teks kepada Tempo pada 15 Julai.

Menurutnya, dakwaan bahawa bayi-bayi itu diseludup masuk ke Singapura perlu disahkan terlebih dahulu.

“Apa bukti bahawa bayi-bayi ini dijual ke Singapura? Saya tidak boleh memberi komen terhadap sesuatu yang belum jelas,” ujar beliau.

Encik Suryopratomo, yang lebih dikenali sebagai Tommy, turut mempersoalkan bagaimana bayi-bayi tersebut boleh melepasi kawalan imigresen Singapura.

“Kalau bayi itu menggunakan pasport Indonesia, bagaimana dia dibawa masuk ke Singapura? Proses masuk ke sini amat ketat,” katanya.

Beliau menambah, walaupun pasport sah, pihak berkuasa lapangan terbang pasti akan menyoal status penjagaan bayi berkenaan.

“Pihak ICA (Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan) pasti akan bertanya kepada mereka, ‘Mengapa bayi ini tidak dibawa pulang?’” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg