Lebih 1,800 orang ditangkap polis dari tujuh wilayah dalam satu operasi sebulan bagi memberkas penipu yang beroperasi di banyak negara.
Operasi yang dijalankan antara 28 April dengan 28 Mei itu melibatkan kerjasama antara Pasukan Antipenipuan Singapura dengan agensi antipenipuan dari Hong Kong, Korea Selatan, Malaysia, Maldives, Thailand dan Macau, menurut kenyataan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 4 Jun.
Menurut polis, 106 orang daripada mereka ditangkap di Singapura.
Mereka terlibat dalam lebih 1,300 kes yang mengakibatkan kerugian sekitar $39.3 juta. Selain itu, lebih $7.69 juta dirampas dalam 714 akaun bank yang dibekukan, lapor The Straits Times (ST).
Polis berkata bahawa para suspek sedang disiasat atas tuduhan membantu dalam penipuan dan memberi akses tanpa kebenaran kepada bahan komputer, membantu memegang keuntungan hasil jualan dadah atau kegiatan jenayah, serta pendedahan tidak sah kata laluan atau kod akses berkaitan perkhidmatan identiti digital nasional.
Sepanjang operasi itu, seramai 33,900 orang, berumur antara 14 dengan 81 tahun, disiasat atas penglibatan mereka dalam aktiviti penipuan.
Mereka dipercayai terlibat dalam lebih 9,200 kes penipuan.
Kebanyakannya melibatkan penipuan seperti menyamar sebagai pegawai pemerintah, penipuan pelaburan, penipuan sewa rumah, penipuan cinta dalam talian, menyamar sebagai kawan, penipuan kerja, dan penipuan e-dagang.
Menurut polis, mangsa-mangsa penipuan ini mengalami kerugian lebih $289 juta.
Pengarah Jabatan Ehwal Komersial Singapura, Encik David Chew, berkata: “Dalam era digital sekarang, sindiket penipuan beroperasi tanpa sempadan, menggunakan kaedah yang semakin canggih untuk menipu mangsa dan menyembunyikan hasil haram mereka.”
“Ancaman rentas sempadan memerlukan kerjasama rentas sempadan. Tiada satu bidang kuasa dapat menyelesaikan masalah ini sendirian, tetapi bersama kita lebih kuat.”
Encik Chew menambah bahawa usaha bersama antara anggota platform kolaborasi Antipenipuan rentas sempadan Operasi Frontier+ (Pasukan Operasi Pemulihan Dana dan Rangkaian, Menginspirasikan Resolusi Berkesan Plus) menunjukkan komitmen bersama untuk menggugat sindiket penipuan rentas sempadan ini.
Operasi Frontier+, yang ditubuhkan pada Oktober 2024, kini terdiri daripada wakil-wakil daripada pusat antipenipuan di Singapura, Hong Kong, Malaysia, Thailand, Maldives, Korea Selatan, Australia, Macau, Canada dan Indonesia.
Ia menumpukan pada usaha meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam menangani penipuan melalui perkongsian maklumat, tindak balas yang diselaraskan dan pertukaran pengetahuan.
Platform itu juga berharap dapat memperluas keanggotaannya untuk memperkukuh penguatkuasaan jenayah rentas sempadan.
“Dengan menggabungkan sumber dan keupayaan penguatkuasaan kita, kita membina barisan yang bersatu hati menentang penipuan. Kita akan terus mengukuhkan perkongsian antarabangsa ini untuk memastikan rakyat kita selamat dan penipu tidak mempunyai tempat perlindungan selamat,” kata Encik Chew.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg