Prabowo calonkan anak saudara jawatan Timbalan Gabenor Bank Indonesia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo calonkan anak saudara jawatan Timbalan Gabenor Bank Indonesia

Jan 20, 2026 | 2:11 PM

Prabowo calonkan anak saudara jawatan Timbalan Gabenor Bank Indonesia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
(FOTO FAIL): Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, telah mencalonkan anak saudaranya, Thomas Djiwandono (gambar), untuk menyertai Lembaga Gabenor bank pusat negara itu.
(FOTO FAIL): Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, telah mencalonkan anak saudaranya, Thomas Djiwandono (gambar), untuk menyertai Lembaga Gabenor bank pusat negara itu. - Foto REUTERS

JAKARTA: Timbalan Menteri Kewangan Indonesia, Thomas “Tommy” Djiwandono, dilaporkan telah dicalonkan untuk mengisi jawatan Timbalan Gabenor Bank Indonesia (BI), satu langkah yang segera mencetuskan persoalan mengenai kebebasan bank pusat berikutan hubungan kekeluargaannya dengan Presiden Prabowo Subianto.

Pegawai pemerintah dan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) mengesahkan bahawa Tommy, yang merupakan anak saudara Prabowo, dijadualkan bertukar jawatan dengan Timbalan Gabenor BI sedia ada, Encik Juda Agung, yang telah mengemukakan surat peletakan jawatan.

Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi, pada 19 Januari berkata Encik Juda telah meletakkan jawatan secara rasmi dan proses pengisian kekosongan perlu dimulakan mengikut peraturan sedia ada.
“Apabila berlaku kekosongan, proses pelantikan perlu diteruskan mengikut mekanisme yang ditetapkan,” katanya, sambil mengesahkan pemerintah telah menghantar surat rasmi pencalonan kepada Parlimen.

Mengikut peruntukan undang-undang, calon anggota Lembaga Gabenor BI dicalonkan oleh presiden sebelum melalui sesi temu duga saringan oleh DPR, dan hanya boleh dilantik selepas mendapat kelulusan Parlimen.

Pengerusi Suruhanjaya XI DPR yang menyelia hal ehwal kewangan, Encik Mukhamad Misbakhun, berkata satu mesyuarat dalaman akan diadakan bagi menetapkan jadual temu duga untuk Tommy serta dua calon lain, iaitu Encik Solikin M. Juhro, Penolong Gabenor BI, dan Encik Dicky Kartikoyono, seorang lagi pegawai kanan bank pusat itu.

Encik Dicky sebelum ini pernah melalui proses sama pada Julai 2025 ketika dicalonkan sebagai timbalan gabenor.

Berbeza dengan dua calon lain yang membina kerjaya dalam institusi monetari, Tommy datang dari latar belakang fiskal, setelah memegang jawatan Timbalan Menteri Kewangan sejak Julai 2024.

Encik Tommy ialah anak kepada Encik Soedradjad Djiwandono, bekas Gabenor BI pada era 1990-an, dan pernah berkhidmat sebagai timbalan ketua pegawai eksekutif Arsari Group, milik adik Prabowo, Encik Hashim Djojohadikusumo. Beliau berkelulusan ijazah sarjana muda dari Haverford College, Amerika Syarikat, serta ijazah sarjana dalam hubungan antarabangsa dan ekonomi antarabangsa dari Universiti Johns Hopkins.

Encik Misbakhun mempertahankan pencalonan itu dan menyatakan keyakinannya terhadap kelayakan Encik Tommy.

“Pak Tommy seorang yang merendah diri. Dari segi pendidikan, beliau berkelayakan dan mempunyai pengalaman dalam birokrasi. Beliau memahami isu ekonomi dengan baik,” katanya.

Namun, pencalonan itu memberi kesan segera kepada pasaran. Rupiah, yang sebelum ini berada dalam trend lemah, susut nilai selepas berita pencalonan itu tersebar, sebelum mengurangkan sebahagian kerugian dan ditutup pada 16,955 rupiah bagi setiap dolar Amerika pada dagangan 19 Januari, menurut data Bloomberg.

Ditanya mengenai reaksi pasaran, Menteri Kewangan Encik Purbaya Yudhi Sadewa menyifatkannya sebagai spekulasi. “Orang membuat spekulasi bahawa kebebasan BI akan terhakis. Saya tidak fikir itu akan berlaku. Apabila keadaan kembali rasional, rupiah akan pulih kerana asas ekonomi kita kekal kukuh,” katanya, sambil menambah bahawa ekonomi dijangka berkembang lebih pantas pada masa hadapan.

Encik Purbaya turut menyatakan sokongannya terhadap pencalonan Encik Tommy dan menyifatkan pertukaran jawatan dengan Encik Juda sebagai “pertukaran yang seimbang”. Beliau juga memaklumkan akan bertemu Encik Juda pada 20 Januari.

Jurucakap BI, Encik Ramdan Denny Prakoso, mengesahkan bahawa Encik Juda telah menyerahkan surat peletakan jawatan pada 13 Januari, walaupun tempoh perkhidmatannya hanya dijadualkan berakhir pada 2027.

Dalam kalangan penganalisis, kebimbangan lebih mendalam mula disuarakan. Profesor ekonomi Universiti Andalas, Syafruddin Karimi, berkata pelantikan ahli keluarga presiden ke jawatan yang mempunyai hak mengundi dalam Lembaga Gabenor boleh menjejaskan persepsi pelabur.

“Apabila presiden mencalonkan saudara terdekat ke jawatan strategik dalam bank pusat, pasaran akan menilai risiko campur tangan politik terhadap dasar monetari, terutamanya ketika pemerintah menekan sasaran pertumbuhan yang agresif,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa perubahan persepsi pasaran boleh meningkatkan premium risiko, melemahkan kadar pertukaran dan menaikkan kos pembiayaan kerajaan, selain berpotensi mencetuskan tekanan inflasi.

Pandangan lebih keras disuarakan oleh Pengarah Eksekutif Center of Economic and Law Studies (Celios), Encik Bhima Yudhistra, yang menyifatkan pencalonan itu sebagai satu langkah ke belakang daripada reformasi pasca-1998.

“Seorang timbalan gabenor BI sepatutnya datang daripada bakat dalaman bank pusat dan benar-benar memahami dasar monetari. Pelantikan ini kelihatan seperti campur tangan fiskal dalam sektor monetari, yang akan menjejaskan imej kebebasan BI dan melemahkan rupiah di mata pelabur,” katanya.

Encik Tommy tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen. Beliau kini berada dalam rombongan presiden ke United Kingdom dan Switzerland.

BI pula sedang berada dalam tempoh “senyap”, iaitu tujuh hari bekerja sebelum keputusan kadar faedah, dan mesyuarat Lembaga Gabenor dijadualkan berlangsung pada 20 Januari dan 30 Januari, ketika Parlimen turut membahaskan rang undang-undang baharu bagi mengukuhkan peranan bank pusat dalam menyokong pertumbuhan ekonomi. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg