Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo adakan taklimat, persiap calon anggota Kabinet baru

Oct 16, 2024 | 2:13 PM
Bakal presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto (tiga dari kiri), bersama pemimpin Majlis Syura Parti Keadilan Sejahtera pada 10 Oktober di kediaman beliau di Jakarta. Pada 16 Oktober Encik Prabowo bertemu calon Kabinet pentadbiran beliau bagi majlis taklimat. Encik Prabowo akan mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 20 Oktober.
Bakal presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto (tiga dari kiri), bersama pemimpin Majlis Syura Parti Keadilan Sejahtera pada 10 Oktober di kediaman beliau di Jakarta. Pada 16 Oktober Encik Prabowo bertemu calon Kabinet pentadbiran beliau bagi majlis taklimat. Encik Prabowo akan mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 20 Oktober. - Foto INSTAGRAM SUFMI DASCO

JAKARTA: Bakal presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengadakan taklimat khas selama dua hari bagi calon menteri, timbalan menteri, dan ketua agensi pentadbirannya bersama bakal naib presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka.

Menurut Pengerusi Parti Gerindra, Encik Sufmi Dasco Ahmad, taklimat itu merangkumi pelbagai topik penting berkaitan hala tuju pentadbiran masa depan negara.

Ia bertujuan memberi pemahaman mendalam kepada calon menteri serta pemimpin agensi mengenai strategi pentadbiran dan dasar negara yang akan dilaksanakan, ujarnya.

Taklimat tersebut diadakan pada 16 dan 17 Oktober di kediaman peribadi Encik Prabowo di Hambalang, Bogor, Jawa Barat.

Pada hari pertama, Encik Prabowo dilaporkan memberikan ucapan pembukaan, diikuti dengan sesi pengenalan peserta dan perbincangan fokus pada strategi geopolitik, faktor kejayaan sesebuah negara, serta isu penting mengenai Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).

Pada hari kedua, peserta akan mendalami topik berkaitan kecerdasan buatan (AI), komunikasi, pasaran kerja masa hadapan, dan strategi antirasuah.

Taklimat itu berlangsung secara tertutup.

Sebelum ini, pada 14 Oktober Encik Prabowo memanggil 49 calon menteri ke kediamannya di Jalan Kartanegara, Jakarta Selatan, untuk bertemu dan berbincang.

Mereka terdiri daripada tokoh politik, ahli akademik, serta beberapa menteri yang berkhidmat di bawah pentadbiran Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Sumber turut melaporkan 59 calon timbalan menteri dan ketua agensi turut hadir di sesi kedua pada 15 Oktober.

Antara tokoh terkenal yang hadir ialah Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral, Encik Bahlil Lahadalia; Menteri Dalam Negeri, Encik Tito Karnavian; dan Menteri Setiausaha Negara, Encik Pratikno, yang kesemuanya rapat dengan Encik Jokowi.

Menteri Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, dan Menteri Kewangan, Cik Sri Mulyani, juga hadir dan dijangka meneruskan perkhidmatan mereka dalam pentadbiran Encik Prabowo.

Penganalisis politik berpendapat kehadiran ramai tokoh rapat dengan Encik Jokowi menunjukkan Encik Prabowo berusaha menyeimbangkan pengaruh dalam Kabinet barunya, termasuk memberi ruang kepada mereka yang berpengalaman daripada pentadbiran sebelumnya.

Antara tokoh lain yang tersenarai pada hari kedua ialah anak saudara Encik Prabowo, Encik Thomas Djiwandono.

Tokoh bukan Kabinet yang turut hadir termasuk Pengerusi Pasukan Undang-Undang Prabowo-Gibran, Encik Yusril Ihza Mahendra; Imam Besar Masjid Istiqlal, Dr Nasaruddin Umar; serta beberapa tokoh politik daripada parti Gerindra dan Golkar.

Bagaimanapun, ketiadaan wakil Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dalam perbincangan Kabinet itu menimbulkan spekulasi bahawa kedua-dua parti mungkin tidak terlibat dalam pentadbiran Encik Prabowo.

Namun, Encik Sufmi berkata pertemuan antara Encik Prabowo dengan Pengerusi PDI-P, Cik Megawati Sukarnoputri, masih dalam perancangan, dan perbincangan mengenai pembentukan Kabinet dijangka berterusan hingga 19 Oktober.

Pada 14 Oktober, Encik Prabowo menyatakan keyakinannya semua calon menteri, timbalan menteri, dan ketua agensi yang telah dipanggil ke kediamannya mempunyai keupayaan melaksanakan tanggungjawab dengan baik dalam Kabinet barunya.

Beliau juga telah memantau calon-calon itu selama beberapa waktu dan yakin mereka layak memegang jawatan yang bakal diberikan.

Pengumuman rasmi barisan Kabinet Encik Prabowo dijangka dilakukan beberapa jam selepas beliau dan Encik Gibran, yang juga anak sulung Presiden Jokowi, mengangkat sumpah sebagai presiden dan naib presiden pada 20 Oktober. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg