JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, telah melontarkan satu istilah baru yang kini menarik perhatian pelbagai pihak, serakahnomics.
Dalam siri ucapannya pada 20 dan 21 Julai, beliau menggunakan istilah itu untuk mengkritik amalan ketamakan ekonomi dalam kalangan segelintir elit dan pengusaha yang menurutnya telah menyimpang jauh daripada prinsip keadilan sosial dan nasionalisme ekonomi.
Dalam penutupan Kongres Parti Solidaritas Indonesia (PSI) di Solo, serta pelancaran 80,000 Koperasi Desa Kelurahan Merah Putih di Klaten, Encik Prabowo, menyatakan kebimbangannya terhadap munculnya ‘mazhab ekonomi baru’ yang mengutamakan kepentingan peribadi dengan mengorbankan kesejahteraan rakyat.
Koperasi Desa Kelurahan Merah Putih ialah lembaga ekonomi yang beranggotakan masyarakat desa dan bertujuan meningkatkan kesejahteraan mereka melalui prinsip gotong-royong dan penyertaan bersama.
“Saya sebut ‘mazhab’ baru ekonomi itu serakahnomics,” katanya.
Menurut beliau, istilah itu merujuk kepada golongan yang hanya memikirkan keuntungan besar tanpa mempertimbangkan beban yang ditanggung rakyat.
Menurut Encik Prabowo, serakahnomics, bukanlah satu aliran ekonomi yang sah dari sudut keilmuan, sebaliknya gambaran kepada keserakahan yang melampaui batas.
“Ini bukan lagi perniagaan atau keusahawanan, ini sudah jadi keserakahan.
“Perkara seperti ini tidak diajar di mana-mana fakulti ekonomi,” ujarnya dengan nada geram.
Beliau menyentuh tindakan segelintir pengusaha yang enggan mematuhi Harga Pembelian Pemerintah (HPP) bagi beras dan yang menipu label kandungan beras untuk mengaut keuntungan lebih tinggi.
“Beras biasa dibungkus dan dicap sebagai beras premium, dijual jauh melebihi harga siling.
“Ini adalah penipuan. Ini adalah jenayah,” tegas beliau, sambil menyatakan bahawa beliau telah meminta Jaksa Agung dan Ketua Polis Negara mengambil tindakan tegas.
Encik Prabowo juga tidak teragak-agak menggunakan istilah yang keras terhadap golongan itu.
Beliau menyamakan mereka dengan “vampir-vampir ekonomi” atau lintah darat yang menghisap darah rakyat.
“Masa tega petani setengah mati, rakyat masih ramai yang susah, ada yang cari keuntungan di atas penderitaan mereka. Itu adalah parasit penghisap darah,” katanya.
Kenyataan itu mencerminkan kemarahan seorang pemimpin yang melihat sistem ekonomi dimanipulasi oleh mereka yang hanya mengejar keuntungan peribadi.
Dalam ucapan beliau, Encik Prabowo, turut mengancam untuk menyita kilang padi yang enggan mematuhi undang-undang.
“Saya akan sita penggiling-penggiling padi itu dan serahkan kepada koperasi.
“Mereka untung 2 trilion rupiah ($156.8 juta) setiap bulan, itu bukan keuntungan biasa, itu eksploitasi,” katanya.
Pakar ekonomi dari Universiti Indonesia, Dr Gede Sandra, menyokong kenyataan tegas Encik Prabowo.
“Istilah serakahnomics memberi makna bahawa ada segelintir elit yang merompak kekayaan dan dana negara demi kepentingan sendiri,” katanya kepada media.
Menurut beliau, kenyataan Encik Prabowo harus dijadikan momentum untuk menghentikan budaya ketamakan yang berakar dalam struktur ekonomi Indonesia.
Dr Gede turut menegaskan bahawa amaran Encik Prabowo adalah “peringatan nyata” kepada golongan elit dan pengusaha yang selama ini tidak mempedulikan penderitaan rakyat.
“Kenyataan ini harus disambut sebagai titik perubahan.
“Presiden sedang mengirim isyarat bahawa ketamakan tidak lagi akan dilindungi atas nama kebebasan pasaran,” ujarnya.
Analisis terhadap konsep serakahnomics tidak boleh dipisahkan daripada dimensi moral dan politik.
“Apa yang dikritik Encik Prabowo bukan sekadar manipulasi harga atau pelanggaran peraturan, bahkan satu bentuk pengkhianatan terhadap mandat sosial dan amanah kebangsaan,” tambah Dr Gede.
Dalam kenyataannya, Encik Prabowo, turut mengaitkan kerugian negara yang disebabkan oleh manipulasi industri beras dengan keupayaan negara membangunkan sistem pendidikan.
Beliau menggambarkan dengan jelas lagi tegas bahawa ia bukan sekadar isu ekonomi semata-mata.
Ia merupakan satu ilustrasi tegas tentang bagaimana ketamakan segelintir pihak mampu merampas masa depan generasi muda Indonesia.
“Kalau saya punya 100 trilion rupiah tiap tahun, bererti kita boleh perbaiki 100,000 sekolah.
“Kita punya 330,000 sekolah, dalam tiga setengah tahun kita akan baiki semuanya,” katanya.
Encik Prabowo menyifatkan fenomena itu sebagai bentuk sabotaj ekonomi.
“Bayangkan saudara-saudara, ini yang kita anggap sabotaj ekonomi Indonesia, menikam rakyat dari belakang dan ini kita harus hentikan,” tegas beliau.
Seruan itu bukan hanya untuk tindakan undang-undang, bahkan juga satu seruan moral kepada seluruh struktur pemerintahan, elit ekonomi, dan masyarakat agar membina semula sistem ekonomi lebih adil dan beretika.
Ia menandakan perubahan pendekatan kepimpinan negara daripada sekadar pengurusan ekonomi kepada pengembalian kepercayaan rakyat terhadap institusi.
Langkah Encik Prabowo yang disusuli dengan pelancaran 80,000 Koperasi Merah Putih di peringkat desa dan perkampungan menunjukkan beliau ingin memindahkan penguasaan ekonomi kembali kepada rakyat.
Dengan menyita aset-aset pelaku ekonomi yang menyeleweng dan menyerahkannya kepada koperasi, beliau secara simbolik memulihkan semula konsep ekonomi kerakyatan.
Koperasi dalam konteks ini bukan sahaja sebagai alternatif kepada korporat besar, bahkan juga sebagai lambang pemulihan kedaulatan ekonomi rakyat.
Bagi pengamat, fenomena serakahnomics yang disebut Encik Prabowo harus dibaca sebagai peluang bermuhasabah terhadap kegagalan sistem lama dalam membendung kerakusan kuasa ekonomi.
Dalam rangka akademik, ini mencerminkan ketegangan antara prinsip pasaran bebas dengan keadilan sosial.
Ia turut memperlihatkan bahawa perubahan ekonomi tidak boleh hanya bersandarkan kepada pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) semata-mata, bahkan mesti berpaksi etika, kesaksamaan dan berpihak kepada rakyat.
Seperti yang dinyatakan Encik Prabowo, “saatnya akan tiba”.
Ungkapan itu merupakan isyarat tegas bahawa era serakahnomics mungkin sedang menuju ke penghujungnya – dan rakyat Indonesia kini menuntut sebuah sistem ekonomi yang lebih adil, berdaya saing serta menjunjung maruah negara. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg