Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrabowo-Putin: Keakraban peribadi kepada manfaat strategik Indonesia
Prabowo-Putin: Keakraban peribadi kepada manfaat strategik Indonesia
JAKARTA: Keakraban yang semakin terserlah antara Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, membuka ruang kepada Jakarta untuk memperluas hubungan ekonomi dan diplomatiknya tanpa meninggalkan dasar luar bebas dan aktif yang sekian lama menjadi pegangan Indonesia.
Pertemuan terkini kedua-dua pemimpin di Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-11 di Vladivostok, Russia pada 3 September bukan sekadar memperlihatkan hubungan peribadi yang semakin rapat.
Ia turut menjadi ujian sama ada hubungan politik di peringkat tertinggi itu dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata bagi Indonesia dalam perdagangan, pelaburan, tenaga, pertanian dan bidang strategik lain.
Ketika bertemu Encik Putin, Encik Prabowo memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi undangan sebelum ini untuk menghadiri sambutan Hari Kebangsaan Russia pada 12 Jun kerana urusan mendesak di dalam negeri.
“Saya kini berada di sini untuk membayar hutang saya,” katanya.
Encik Putin pula menekankan “hubungan peribadi yang berterusan” antara mereka dan menyifatkan hubungan Russia-Indonesia sebagai bersifat strategik.
Hubungan peribadi itu semakin penting kerana kedua-dua pemimpin telah beberapa kali bertemu dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, sekali gus memberi momentum baharu kepada hubungan Jakarta-Moscow.
Bagi Indonesia, hubungan tersebut memberi peluang memperluas pilihan kerjasama ketika persaingan antara kuasa besar semakin sengit.
Pengamat melihat pendekatan Encik Prabowo sebagai usaha memperkukuh kedudukan Indonesia sebagai negara yang mampu bekerjasama dengan pelbagai pihak tanpa perlu memilih satu blok.
Pengkaji Indikator Politik, Encik Bawono Kumoro, berkata lawatan luar negara Encik Prabowo telah membantu meningkatkan profil antarabangsa Indonesia sambil membawa kepentingan negara ke pentas sejagat.
“Hubungan baik dengan Russia membuktikan bahawa presiden kita boleh bekerjasama dengan semua pihak merentasi perbezaan geopolitik,” katanya.
Pendekatan itu selaras dengan pegangan Encik Prabowo bahawa “1,000 sahabat masih terlalu sedikit, seorang musuh sudah terlalu ramai”.
Lebih penting kini ialah bagaimana Jakarta menggunakan hubungan politik tersebut untuk memperoleh hasil ekonomi.
Perdagangan Indonesia-Russia bernilai sekitar AS$5 bilion ($6.4 bilion) pada 2025, hanya sekitar 1 peratus daripada keseluruhan perdagangan luar Indonesia.
Angka yang masih kecil itu sebenarnya menunjukkan terdapat ruang besar untuk berkembang.
Pakar ekonomi di Pusat Pembaharuan Ekonomi, Encik Dipo Satria Ramli, berkata struktur perdagangan kedua-dua negara saling melengkapi, sementara hubungan ekonomi yang masih belum berkembang sepenuhnya menyediakan banyak bidang untuk diteroka.
Tenaga, pertanian, baja, mineral dan prasarana antara sektor yang berpotensi menjadi pemacu hubungan baru itu.
Satu lagi perkembangan penting adalah perjanjian perdagangan bebas Indonesia dengan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU), yang merangkumi Russia, Armenia, Belarus, Kazakhstan dan Kyrgyzstan.
Perjanjian itu boleh membuka akses pasaran lebih luas kepada syarikat Indonesia, selain membantu Jakarta mempelbagaikan destinasi eksport dan sumber importnya.
Encik Prabowo sendiri menegaskan bahawa keputusan bekerjasama dengan Russia bukan bermakna Indonesia memilih pihak tertentu.
“Kami tidak menyertai mana-mana pakatan ketenteraan dan dari segi ekonomi, kami juga bebas,” katanya semasa EEF.
Prinsip itu penting kerana kekuatan dasar luar Indonesia selama ini terletak pada keupayaannya mengekalkan hubungan dengan kuasa yang mempunyai kepentingan berbeza.
Ketika Encik Prabowo bertemu Encik Putin di Vladivostok, sekitar 5,000 anggota tentera dari Indonesia, Amerika Syarikat dan 13 negara lain sedang menyertai latihan ketenteraan, ‘Super Garuda Shield 2026’, di Indonesia.
Kedua-dua perkembangan itu menunjukkan pendekatan Indonesia yang mahu terus bekerjasama dengan pelbagai kuasa besar tanpa memihak kepada mana-mana pihak.
Indonesia boleh memperkukuh hubungan ekonomi dengan Russia sambil meneruskan kerjasama pertahanan dengan Amerika, hubungan perdagangan dengan China, pelaburan dari Jepun dan negara Teluk serta perkongsian dengan Kesatuan Eropah.
Cabaran lebih besar adalah memastikan hubungan dengan Moscow menghasilkan projek yang benar-benar dapat dilaksanakan.
Projek loji penapisan minyak Tuban di Jawa Timur menunjukkan mengapa pelaksanaan menjadi penting.
Projek bernilai AS$24 bilion itu, yang dibangunkan sebagai usaha sama antara Pertamina dengan Rosneft sejak 2017, dijangka mempunyai keupayaan memproses 300,000 tong minyak mentah sehari apabila siap.
Namun, projek tersebut berdepan kelewatan, termasuk isu pembiayaan yang dikaitkan dengan sekatan Barat terhadap sektor tenaga Russia.
Keadaan itu menunjukkan bahawa hubungan politik yang kukuh sahaja tidak mencukupi.
Jakarta perlu memilih projek yang berdaya maju, mempunyai sumber pembiayaan jelas dan memberi manfaat langsung kepada ekonomi Indonesia.
Pada masa sama, terdapat bidang lain yang kurang terdedah kepada tekanan geopolitik.
Penganalisis dasar luar Universiti Airlangga, Encik Radityo Dharmaputra, berkata Indonesia dan Russia masih mempunyai ruang untuk memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan dan pertukaran budaya.
Russia meningkatkan tawaran biasiswa kepada pelajar Indonesia, menjalin kerjasama dengan universiti tempatan dan memperluas hubungan dengan pertubuhan belia.
Kerjasama sedemikian boleh membina hubungan jangka panjang antara masyarakat kedua-dua negara, bukan sekadar bergantung kepada hubungan pemimpin.
Bidang pertahanan pula memerlukan pertimbangan lebih berhati-hati.
Russia sejak sekian lama menjadi salah satu sumber peralatan pertahanan Indonesia.
Mempelbagaikan pembekal boleh memberi Jakarta lebih banyak pilihan dan mengurangkan pergantungan kepada satu negara.
Namun, setiap pembelian besar perlu mengambil kira keserasian sistem, kos, penyelenggaraan serta kesannya terhadap hubungan Indonesia dengan rakan pertahanan lain.
Justeru, ukuran kejayaan hubungan Prabowo-Putin bukanlah sejauh manakah Jakarta mendekati Moscow, tetapi sejauh manakah hubungan itu menambah pilihan strategik Indonesia.
Indonesia kini mempunyai kedudukan yang semakin penting sebagai ekonomi terbesar Asia Tenggara, anggota Kumpulan 20 (G20) dan Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (Brics) serta negara utama dalam Asean.
Kedudukan itu membolehkan Jakarta menjalin hubungan dengan Russia tanpa perlu mengorbankan kerjasama dengan Amerika, China, Jepun, Kesatuan Eropah, India atau negara Timur Tengah.
Malah, hubungan yang seimbang dengan pelbagai kuasa boleh meningkatkan nilai strategik Indonesia di mata setiap rakan.
Namun, Jakarta perlu memastikan langkahnya tidak menimbulkan tanggapan bahawa Indonesia sedang bergerak ke arah mana-mana blok.
Hubungan dengan Russia juga perlu menyokong, bukan menghakis, kedudukan Asean sebagai teras dasar serantau Indonesia.
Dalam dunia yang semakin berpecah akibat persaingan kuasa besar, kemampuan untuk bercakap dan bekerjasama dengan semua pihak boleh menjadi aset diplomatik yang semakin berharga.
Hubungan peribadi Encik Prabowo dengan Encik Putin memberi Indonesia satu lagi saluran untuk memanfaatkan keadaan tersebut.
Tugas seterusnya adalah mengubah keakraban itu kepada perdagangan lebih besar, pelaburan yang dapat dilaksanakan, kerjasama teknologi dan tenaga serta peluang pendidikan yang memberi manfaat kepada rakyat Indonesia.
Jika Jakarta berjaya berbuat demikian sambil mengekalkan hubungan kukuh dengan rakan lain, pendekatan Encik Prabowo terhadap Russia boleh menjadi contoh bagaimana dasar bebas dan aktif Indonesia disesuaikan dengan dunia multipolar.
Dalam konteks itu, hubungan Prabowo-Putin bukan semata-mata mengenai keakraban dua pemimpin.
Ia adalah peluang bagi Indonesia membuktikan tidak berpihak bukan bermakna berada di pinggir persaingan kuasa besar, tetapi mempunyai kebebasan untuk bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan sendiri. – Agensi berita.
