Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo perkukuh hubungan dengan Russia, tandatangani perjanjian strategik

Jun 20, 2025 | 11:25 AM
Encik Vladimir Putin,  Prabowo Subianto
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin (kanan), dan rakan sejawatnya dari Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menghadiri majlis menandatangani perjanjian selepas pertemuan mereka di Saint Petersburg pada 19 Jun. - Foto AFP

SAINT PETERSBURG (Russia): Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, telah mengukuhkan hubungan dua hala dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dalam satu pertemuan rasmi di Istana Constantine, Saint Petersburg, pada 19 Jun.

Lawatan dua hari sempena ulang tahun ke-75 hubungan Indonesia-Russia menyaksikan penandatanganan beberapa perjanjian penting, ketika konflik serantau semakin meruncing dan hubungan antarabangsa kian kompleks.

Emcik Prabowo tiba di Saint Petersburg pada 18 Jun atas jemputan rasmi Encik Putin.

Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Russia sebagai Presiden Indonesia.

Dalam pertemuan bersama Encik Putin, Encik Prabowo melahirkan penghargaan atas sambutan hangat Russia dan menekankan bahawa hubungan antara kedua-dua negara telah “berkembang pesat”.

“Hubungan kita terus bertambah baik dalam pelbagai sektor,” kata Encik Prabowo sambil merujuk kepada kemajuan kerjasama ekonomi dan pertukaran peringkat tinggi antara kedua-dua negara.

Menurut Encik Prabowo, beliau telah bertemu Timbalan Perdana Menteri Pertama Russia, Encik Denis Manturov, sebanyak dua kali di Jakarta dalam tempoh kurang setahun, dan sekali lagi di Saint Petersburg sebaik sahaja ketibaannya pada 18 Jun.

Encik Prabowo sebelum ini pernah mengunjungi Russia pada Ogos 2024 sebagai Presiden terpilih dan Menteri Pertahanan, dan beliau berjanji akan memperkukuh hubungan dua hala apabila mula berkhidmat.

Encik Putin pula menyambut baik peningkatan kerjasama dengan Indonesia, terutama dalam sektor perdagangan, pertanian, tenaga, penerokaan angkasa, serta kerjasama teknikal ketenteraan.

Beliau turut memuji keanggotaan penuh Indonesia dalam kumpulan ekonomi baru Brics (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) dan berharap Indonesia dapat “memberi sumbangan besar” kepada pertubuhan itu.

Pertemuan tersebut turut menyaksikan pemeteraian satu deklarasi perkongsian strategik serta empat perjanjian kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, pengangkutan, teknologi maklumat dan komunikasi.

Salah satu pencapaian utama ialah perjanjian pelaburan antara dana kekayaan negara Indonesia, Danantara, dan Dana Pelaburan Langsung Russia untuk menubuhkan sebuah platform pelaburan bernilai 2 bilion euro ($2.96 bilion).

Lebih penting, kedua-dua negara telah menamatkan rundingan bagi perjanjian perdagangan bebas antara Indonesia dengan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU), yang merangkumi Russia, Armenia, Belarus, Kazakhstan dan Kyrgyzstan.

Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov, melahirkan harapan agar perjanjian itu ditandatangani segera ketika bertemu rakan sejawatnya iaitu Menteri Luar Indonesia, Encik Sugiono, pada 17 Jun 2025.

Encik Prabowo dijadual menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Antarabangsa Saint Petersburg (SPIEF) pada 20 Jun, sebuah acara utama pelaburan Russia yang dikenali sebagai ‘Davos Russia’.

Forum 2025 itu bertema, ‘Nilai Bersama: Asas Pertumbuhan dalam Dunia Multipolar’, dan dijangka menarik ribuan delegasi antarabangsa.

Bagaimanapun, keputusan Encik Prabowo menghadiri SPIEF dan menolak jemputan ke Sidang Puncak Kumpulan Tujuh (G7) di Canada telah menimbulkan persoalan mengenai arah baru dasar luar Indonesia.

Perdana Menteri Canada, Encik Mark Carney, telah menjemput beliau lebih awal dalam minggu yang sama.

“Negara Barat mungkin melihat ini sebagai kecenderungan Indonesia ke arah Russia,” kata pakar hubungan antarabangsa Universiti Airlangga, Encik Radityo Dharmaputra, kepada The Jakarta Post.

Encik Radityo turut menyatakan bahawa walaupun China hanya menghantar timbalan perdana menterinya ke Russia, Indonesia menghantar presidennya sendiri – satu isyarat kuat kepada dunia.

Namun begitu, beliau mempersoalkan faedah konkrit yang bakal diraih Indonesia daripada lawatan itu.

“Ekonomi Russia sedang berperang dan tidak mampu menawarkan pelaburan besar. Satu-satunya transaksi nyata mungkin pembelian senjata, tetapi Indonesia mempunyai banyak pilihan lain,” ujarnya.

Encik Radityo berpendapat adalah lebih strategik sekiranya Encik Prabowo menghadiri kedua-dua mesyuarat G7 dan pertemuan dengan Encik Putin sebagai bukti kebolehan Indonesia mengekalkan keseimbangan dasar luar.

Pihak berkuasa Indonesia pula menafikan ia sebagai satu penolakan diplomatik, sebaliknya menyatakan berlaku pertindihan jadual kerana Encik Prabowo juga dalam lawatan negara ke Singapura awal minggu itu sebelum bertolak ke Russia. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg